Isnin, 20 Jun 2011

Aku, Kau, Sila Tengok Dia!

INT. DALAM RUMAH - MALAM

Seorang budak lelaki, berumur 10 tahun sedang bermain dengan mainan figura adiwiranya. Adiwira itu membelasah adiwira ini dan tercampak jauh. Adiwira ini kembali bangun dan memancutkan senjata pada lengan entah mana datang pada adiwira itu. Adiwira itu terkecai. Tetapi kembali tercantum dan mencampak budak lelaki itu pada adiwira ini. Menghempap adiwira ini dengan ganas hingga juga membunuh adiwira ini. Adiwira itu berjalan ke arah budak lelaki tidak bernyawa itu, memanjat badannya dan berdiri megah sambil menunggu apa, tak pasti.

TAMAT

. . .

Itulah babak terakhir untuk skrip filem pendek aku. Aku fikir mahu mengarahkannya pada hujung tahun ini, pada waktu cuti sekolah. Bolehlah aku memanggil kawan-kawanku untuk melakonkan watak budak dan... Oh ya, pelakon aku hanya seorang. Cuma aku perlukan orang yang boleh melakukan stop motion sahaja.

        Mungkin Junid. Dia gemar bermain efek gambar dan video. Dia juga selalu menyunting filem-filem pendek aku. Komputer juga amat canggih. Cuma... aku dengar dia akan bercuti ke kampungnya di London selama cuti sekolah ini. Padli mungkin boleh. Tapi dia pemalas. Tidak! Bukan Padli!

       Alamak... siapa saja yang boleh membantu aku?

. . .

Aku, Karim. Lelaki normal, berumur 14 tahun dengan semangat filem yang sangat tinggi. Aku ada menonton banyak filem. Yang ditonton di wayang, mahupun dibeli di kedai cina dengan kualiti yang baik dan koleksi yang menyengat. Filem yang ditayangkan di sini, tak banyak yang dapat membuka minda aku.

          The Matrix telah membuka minda aku kepada filem tidak sedar kepada aku. Keunikan dan kecelaruan ceritanya telah mencarik minda aku satu persatu kepada dunia filem yang sungguh besar. Benar, aku pada mulanya tidak faham dan mencampakkan kata filem ini tidak bagus tetapi setelah mendengar penerangan oleh orang dari Youtube, akhirnya aku faham dan aku menonton filem itu berulang-ulang kali.

         Lama kelamaan, koleksi filem aku bertambah. Kebanyakkan filem yang dikumpul adalah filem tidak masuk panggung. Seperti Eternal Sunshine of The Spotless Mind, Dark City, Cabinet of Dr Caligari (versi remake tahun 2000 - aku tak tahu filem asalnya pada tahun 1930-an!), dan Memento (pecah kepala).

        Aku sukakan filem-filem ini kerana mereka akan memberikan adrenalin yang merangsang otak aku untuk mengepam darah yang banyak bagi membolehkan aku terjaga membuat kerja sekolah - walaupun tidak banyak yang betul, kerja sekolah aku siap!

        Jadi, kamu mahu aku mencerikan bagaimana aku berkenalan dengan Nirsha? Aku boleh ceritakan. Nirsha berumur 14 tahun, sebaya dengan aku...

. . .

"Umur Nirsha 14 tahun, sebaya dengan kau. Dia baru pindah. Aku dengar bapak dia, negro. Kawin dengan mak dia. Mak dia orang kelantan. Dan aku rasa, bapak dia mesti selalu pukul dia,"

           "Haih, sampai ke situ pun kau tau? Aku jiran dia pun tak tau apa-apa,"

           "Aku peninjau. Ada kau tengok muka dia? Yang selalu tertutup dengan rambut panjang dia?"

            Aku menggeleng. Betul juga kata Padil ni. Dia ni memang pemerhati. Baru 3 hari Nirsha pindah ke tempat ni, dia dah selidik dah asal usul Nirsha tu. Seram pula aku rasakan bila duduk seblik dengan dia sambil mengintai jenguk Nirsha di sebelah rumah sedang duduk menghadap dinding.

             "Aku ada nampak lebam kat muka dia. Kat mata dengan mulut. Kesian pulak aku tengok si Nirsha tu. Mak dia baik...," menambah kekeliruan aku. Mana pulalah dia tahu. Pernah masuk mak diakah? Mak dia pernah bagi makankah?

              "Aku rasalah. Aku tak pernah pergi depan rumah dan mintak makan. Agak-agaklah kau ni. Aku taklah seteruk tu,"

               Macam faham pula kau membaca fikiran aku. Aku menjenguk lagi Nirsha yang masih tak berganjak. Dari bilik aku yang terletak di tingkat dua, boleh menampakkan taman di rumah sebelah serta ruang tamunya sedikit. Aku juga boleh nampak bilik di seberang bilik aku. Yang sekarang ni boleh menampakkan bayangan tubuh badan sedang menukar baju. Hah?! Bila masa dia naik ke bilik?

             Padil tidak berganjak dari tempat duduknya dengan mulit ternganga sedikit dan mata tidak berkelip. Aku menolak Padil dan menutup tingkap. Malu.

              "Dah nak Maghrib, balik!"

             "Alah... kacaulah kau ni. Masa cam ni lah pulak kau fikir Maghrib. Kedekut," dengar sayup-sayup tapak kaki Padil turun ke bawah rumah semakin menghilang.

              Jujur aku katakan, aku juga tidak dapat melarikan fikiran aku dari bayangan Nirsha tadi. Tubuhnya yang... entah. Aku pun tak tahu bagaimana mahu bayangkan kerana ia cuma bayangan! Bukan nampak betul pun. Tapi kalau aku intai sekali lagi, mungkin boleh nampak.

             Sedikit saja aku mahu tengok. Kain langsir yang tertutup aku selak sedikit bagi memuatkan pandangan mata sebelah melihat apa yang berlaku di bilik seberang sana. Bayangan tubuh badan Nirsha tadi dah tak ada. Aduh... melepas!

              "Tengok apa?"

               Woi! Terkejut aku bila ayah aku betul-betul di pipi kiri ku sambil bertanya kenapa. Berderap darah macam aku tonton filem The Shutter (versi Thailand). Aku terbaring sambil mengelap peluh di seluruh badan.

                "Intai apa? Tak ada apa-apa pun,"

                 Ayah tak akan nampak. Dia tak akan faham. Dunia dia lain, dunia aku lain. Aku anak ayah, dan ayah anak atuk. Hahaha!

                "Dah, dah. Padil dah balik dah. Jom sembahyang jemaah sama. Cepat siap,"

. . .

Aku duduk makan rehat pagi seperti biasa seorang diri. Macam biasa. Padil pergi bermain dengan kawan-kawannya. Takkan aku nak turut serta dengan dia? Aku dah masuk remaja, takkan aku nak main-main macam budak-budak? Junid melepak di perpustakaan dan tak makan pagi. Bosanlah duduk di sana dengan perut kosong. Kawan-kawan yang lain? Mereka selalu menganggap aku pelik. Aku suka berimaginasi yang pelik-pelik. Kadang aku membuat bunyi yang mengganggu dunia sempurna mereka. Dunia bosan.

              Aku kembali melihat skrip filem pendek yang aku tulis seminggu lepas. Mahu mencari kesilapan. Mungkin ada celah yang boleh aku sertakan Nirsha sekali untuk penggambaran filem pendek hujung tahun ini.

             "Okay. Saya setuju jadi heroin filem pendek awak. Hujung tahun ni pun saya tak ke mana,"

             Ah, sudah. Dari mana pula dia datang? Bila masa dia intai tengok tulisan tak cantik aku ditulis pada buku latihan sekolah comot tak kemas ni? Kenapa perempuan selalu muncul dalam hidup aku dalam masa yang tak sesuai? Bekal mak aku beri tadi pun aku tak sempat simpan. AH!!! Aku anak mak yang tidak pandai menulis dengan buku yang comot, tulisan yang buruk dan berangan tak sudah serta muka yang tak tahu kacak atau tidak!

              "Jangan risau. Saya baca skrip awak tu, saya rasa menarik. Mungkin awak nak tambah babak untuk saya, dan saya rasa elok juga saya mulakan karier saya dengan berlakon,"

               "Ma... Man, mana awak tahu? Saya nak ambik awak jadi heroin?"

               "Nama saya awak tulis berulang kali dengan muka saya dalam syot filem, dekat buku latihan awak tu," wah, mata yang sangat hebat. Cantik dan bulat matanya. Irisnya perang dengan kening yang tebal. Alur mata dia sangat kemas, cantik. Bila dia senyum, sempurna sungguh jaluran matanya. Aku nampak warna merah, kesan sesuatu pada mata kiri. Cepat-cepat Nirsha menutup kesan itu dengan rambut lembut wangi ala-ala model Eropah.

                "Jadi... awak sudilah untuk berlakon dalam filem saya ni?" lancar sungguh pertanyaan aku. Ini semua untuk aku meluangkan masa dengannya. Aku boleh melakukan tekan tubi untuk filem ini - cuma alasan untuk mengenali dia lebih rapat.

                Dia cuma mengangguk. Alamak, comelnya dia ni... sekali lagi kesan merah pada matanya kelihatan.

                "Saya pergi dulu. Apa-apa, jumpa esok,"

                 Belum pun sempat aku beritahu apa-apa (seperti aku duduk berjiran dengan kau, lalu bolehlah aku berjumpa kau selalu!), Nirsha berlalu pergi meninggalkan aku seorang di kantin, bertemankan buku latihan, bekal mak aku beri dengan kesan sos cili masih di pipi - sepanjang aku bercakap dengan Nirsha, kesan sos itu melekat di pipi!.

. . .

Balik itu, aku ada nampak Nirsha. Dia berjalan kaki seorang diri ke rumah. Tak nak pula aku mahu berjalan dengan dia. Aku cuma melihat dia dari jauh. Lenggok badannya amat menjatuhkan hati. Nangka pun tak jatuh macam tu. Bila sudah hampir ke rumah, baru aku perasan, lagaknya aku melihat dia macam seorang psycho melihat mangsa dari jauh untuk membunuh tanpa sebab dengan alasan kepuasan.

               Dia membuka pagar dan memandang ke sini.

               Dia senyum pada aku. Aku senyum balik. Dia menunggu di pagar. Menunggu aku? Kenapa kau tak masuk?

              "Awak ikut saya ke?" perasan. Ingat cantik sangatkah? - memang ya!

              "Taklah. Rumah saya kat sini je. Kita berjiran,"

              "Kita berjiran rupanya!" gelak dia, menampakkan gigi sempurnanya, melenggokkan lembutnya rambut dengan galak tangan menutup bibir, malu entah kenapa. Aku pula tidak senang dengan gelak galaknya itu.

               "Saya masuk dulu," aku meminta diri. Dan baru aku ingat, "Oh ya, saya ada filem yang awak kena tengok untuk watak heroin yang awak kena lakonkan untuk filem pendek saya,"

                Dia terkaku. "Saya kena tengok ke?"

                "Untuk fahamkan filem saya ni, ya. Awak kena tengok. Cerita ni memang bagus. Sangat bagus. Mulanya agak bosan tapi bila dah masuk akhir cerita, awak akan terkejut. Takashi Miike memang gila. Ada banyak filem dia yang macam ni, agak gila sikit...,"

                Dia masih kaku. Tak faham dengan kekalutan aku.

                Aku malu, dan aku nak masuk rumah. Jangan sesiapa tegur aku. Aku seorang gagalis kerana tidak memahami perempuan. Kau kacau!

                "Awak nak ambik filem tu ke?"

                 Apa? Dia masih nak tengok filem tu lagi?

                 "Saya tunggu sinilah kalau awak nak ambik filem tu sekarang. Okay?"

                 Besar mata aku terkejut dengan permintaan dia. Aku masuk dalam rumah - buka kasut - campak beg  entah ke mana - buka laci simpanan DVD - memunggah segala macam DVD - mencari tajuk filem Audition oleh Takashi Miike - berlari kembali ke pagar tidak memakai apa-apa di kaki - serahkan kepada Nirsha. Dia kelihatan baru nak duduk di tembok rumah aku.

                 "Wah, cepatnya. Kenapa tercungap-cungap ni?"

                 "Saya... memang ada... asma... kalau gementar...," tipu aku tak nak dia sedar aku berlari ke dalam untuk dia. Untuk dia!

                 "Okay. Tengok macam best je. Sekarang juga saya tengok filem ni. Okay, kalau saya ada apa-apa soalan, saya panggil awak, okay?" dia terus masuk ke dalam rumah.

                 Letih aku, duduk atas tembok yang Nirsha baru nak duduk tadi. Baru aku perasan, macam mana dia nak panggil aku? Aduh. Kena tipukah aku?

. . .

Aku intai ke rumah Nirsha dari bilik. Aku tengok dalam bilik dia, dia tak ada. Langsir pada tingkapnya terbuka. Aku tengok ke taman, tak ada. Aku lihat di ruang tamu, nampak sipi-sipi je kakinya sedang melepak sambil menonton TV. Mungkin menonton filem aku! Yahooo!!!

               Aku baring, sambil memikirkan wajah takut bercampur seram si Nirsha, bila watak perempuan itu memenggal kaki si lelaki. Lama kelamaan, aku tak sedar aku dah tidur...

. . .

Ktang!

               Tingkap aku retak. Dibaling sesuatu dari luar oleh seseorang.

               Siapalah yang bodoh sangat nak balik benda kat bilik aku untuk berhubung dengan aku? Nisha! Nirsha nampak siap sedia nak balik satu lagi sesuatu ke arah aku. Bila dia dah tahu aku dah sedar, dia senyum. Dia tunjukkan DVD aku pada tingkap dan menunjukkan tanda bagus.

               Dia sangat sukakannya! Aku tak sangka ada orang boleh faham cerita itu selain aku - dan keluarga aku. Dia pandang aku yang sedang gembira sendiri di atas katil. Aku tahu dia sedang tengok aku tapi aku pura-pura yang aku sedang mengemas katil.

               Aku lihat macam pintu bilik Nirsha diketuk. Nirsha macam takut. Tapi dia senyum, semacam bersedia dengan apa saja yang akan berlaku dan nak berlaku. Nirsha buka kunci pada pintu. Ayahnya (negro) masuk dengan marah. Dia marah-marahkan si Nirsha. Ibu Nirsha cuba masuk ke dalam bilik untuk menghalang tetapi dihalang oleh ayahnya Nirsha dan mengunci bilik itu dari dalam.

             Aku nampak kekalutan. Aku tak nak masuk campur urusan keluarga orang. Aku tak suka tengok orang bergaduh di depan mata aku. Aku tak suka walaupun aku tak pernah bertemu pertempuran. Aku tutup langsir dan memandang Nirsha kali terakhir. Nirsha senyum tanda tidak akan apa-apa akan berlaku. Aku senyum juga dan menutup penuh langsir tingkap. Tetapi mata aku tetap mengintai celah langsir yang terbuka sedikit.

              Ayahnya masih marah-marah. Nirsha buat tak tahu saja. Dia macam dah lali dengan lalaknya negro tu. Aku yang tengok pun, aku marah. Sakit hati. Tabah sungguh Nirsha mendengar maki ayahnya. Bila negro tu perasan Nirsha tak ambil peduli dengan apa yang dia bisingkan, dia mula gunakan kekerasan. Muka Nirsha digenggam dan dimakinya Nirsha di depan muka. Bila masih tak puas hati, dia mula memukul Nirsha. Dia perasankan langsir tingkap yang terbuka. Dia nak tutup. Bila tertutup saja langsir tingkap, aku nampak pisau tertembus keluar dari kain langsir. Bayangan tubuh badan si ayah masih di situ, sedang membetulkan langsir di atas tetapi kaku. Pisau itu betul-betul tertembus pada perutnya. Aku nampak ada cecair merah mula mewarnai langsir hijau itu. Aku tak pasti merah ataupun warna lain. Tetapi aku pasti nampak cecair pekat mengalir deras sejuru pisau itu hilang. Pisau itu kembali tembus pada kain langsir. Kali ini leher.

            Si ayah nampak menggelungsur jatuh sambil membawa pisau dan memotong tegak langsir hijau itu. Langsir itu juga jatuh, mungkin tersangkut pada mana-mana dan dibawa si ayah ke lantai. Aku nampak Nirsha dengan mata bulat serta cecair merah pada badan dan baju. Mungkin darah pada lukanya dipukul tadi. Mungkin Nirsha sedang luka!

             Nirsha tunduk menghadap ayahnya di bawah. Aku nampak Nirsha semacam menarik sesuatu, agak lekat. Pisau! Dengan darah yang penuh padanya. Mengalir ke tangan Nirsha. Pekatnya darah itu, macam pekat darah semasa menonton B class movie gore Hollywood. Pekat, merah hitam dan sangat banyak pada seluruh tubuh Nirsha. Dia senyum. Aku nampak giginya. Yang aku tak nampak, dia sedang memandang tepat ke arah aku. Senyumnya semakin galak.

             Aku mula rasa takut. Aku sembunyikan diri dari balik langsir. Peluh mencurah keluar dari setiap rongga yang ada pada badan aku. Aku kembali mengintai. Mungkin tabiat aku sukakan sesuatu yang melawan kehendak aku - walaupun aku tak mahu.

            Nirsha sudah membelakangi aku, menuju ke pintu. Mungkin pintu masih diketuk. Aku lihat Nirsha membuka pintu. Si ibu terkejut pisau dengan berlumuran darah pada tangan Nirsha. Dia nak bunuh si ibu pula? Ibu melihat di atas lantai. Terus saja dia menjerit. Dia lihat Nirsha, dan terus saja dia berlari entah ke mana. Nirsha masih di pintu. Dia mengundur dan duduk di atas katil. Pisau dijatuhkan tadi. Dia duduk dan kemudiannya baring. Aku rasa, dia tidur. Dan aku nampak, dia tersenyum.




200611 / 0109 / S.Y.Mu

Jumaat, 20 Mei 2011

Pesta Filem Perancis : Review



Pesta Filem Perancis telah lama dijalankan di Malaysia sejak (mungkin) 3 tahun lepas setelah Golden Screen Cinemas mula menerima filem-filem luar negara dengan tema 'Film Festival' - sudah semestinya dengan kerjasama daripada pihak kedutaan negara. 2 tahun lepas saya tidak melepaskan peluang untuk menonton 5 daripada 7 filem yang ditayangkan. Manakala tahun lepas saya cuma mampu menonton 2 sahaja daripada 9 filem. Tahun ini, pesta ini dijayakan pada 12 hingga 31 Mei 2011 dengan matlamat supaya peminat tegar filem Eropah (khususnya di sini, Perancis) dapat menonton kesemua 6 buah filem cereka pelbagai genre dan rupa. Dari gelak tawa, drama (yang masih gelak tawa), kanak-kanak hinggalah kepada misteri serta sedikit fantasi. Di sini, saya ingin berkongsi kepada kalian, apa yang saya dapat dan kepuasan dalam menonton kesemua filem ini. 


Trouble At Timpeltill

Pengarah: Nicolas Bary
Pelakon: Carole Bouquet, Gérard Depardieu, Armelle, Léo Legrand
Genre: Pengembaraan 
Durasi: 1 Jam 43 Minit




Bagi saya, saya tidaklah terlalu menggemari filem ini (maaf jika saya bersifat terus). Filem ini indah dari segi set dan props. Ianya sebuah filem fantasi kanak-kanak. Dikatakan pengembaraan tetapi saya tidak dapat merasakan pengembaraan ini. Mungkin lebih kepada perubahan dan perjalanan dalam mereka menjadi matang dan memahami kedewasaan. 
         Ceritanya berkisah kawasan kampung Timpeltill yang tidak terlalu aman kerana penduduknya sering diganggu oleh kanak-kanak nakal di kampung tersebut. Lalu pihak ibu bap mengambil keputusan untuk bercuti dan tinggalkan kanak-kanak ini untuk belajar berdikari sendiri. Jadi, ceritanya bermula. Di sinilah mereka mula belajar mengendalikan kampung tersebut dengan kumpulan mereka terpecah kepada  dua : baik dan jahat. Seperti biasa, yang baik akan menang dengan simpati dan pengorbanan. 
         Cerita untuk kanak-kanak, ya tetapi subjek yang diketengahkan agak berat - mengenai kedewasaan dan kesalahan untuk menghukum mana yang baik dan yang salah. Cerita yang biasa tetapi set, rekaan produksi dan warna yang digunakan dalam filem ini sungguh cantik dan indah. Bagai kita rindukan filem-filem indah seperti ini - kerana selalu dijolokkan dengan filem-filem kotor dan bersifat realiti. Lakonan juga sangat mengasyikkan. Menonton hampir 50 orang kanak-kanak berlakon dalam filem, memang menghiburkan.
         Akhir sekali, dari 10 bintang, saya berikan 5 bintang. Terima kasih menghiburkan saya. Cuma saya mahu lebih. 




In Mom's Head


Pengarah: Carine Tardieu
Pelakon: Karin Viard, Chloé Coulloud, Kad Merad, Pascal Elbé, Jane Birkin, Jan Hammenecker
Genre: Komedi / Drama
Durasi: 1 Jam 35 Minit

Saya sayangkan filem ini. Dari segi pengarahan, cerita, lakonan, rekaan produksi, sinematografi, tiada cacat cela kepada filem ini. Saya sukakan setiap inci diberikan kepada saya. Ianya cukup indah. Cukup bernyawa. Cukup rasa. 
            Lulu (Lucille - jangan kau tumbuk aku) mempunyai masalah dengan ibunya. Dia tidak memahami ibunya. Ibu akan sering duduk di laman rumah dan termenungkan tembok kosong selama berjam-jam. Lalu Lulu membuat kesimpulan, mungkin ibunya memikirkan ayahnya dan moyangnya yang mati dalam keadaan tragik. Dengan itu, dia mungkin memahami ibunya. Muncul satu gambar yang mana ibunya sedang berpakaian Hawaii dengan senyuman yang indah. Dia tidak pernah melihat ibunya tersenyum seperti di dalam gambar itu. Dia mahu tahu kisah lalu ibunya. Akhirnya dia menemui cinta sejati ibunya - yang kacak, yang baik. Di sinilah peranannya sebagai anak, bermula. Membantu ibunya gembira kembali ataupun mengekalkan keluarga kembali bersatu di saat hujung nyawa ibu. 
                    Dari apa yang ditulis, mungkin ini adalah filem drama yang sedih. Tetapi percayalah, ini sebuah filem yang sangat menghiburkan. Ceritanya yang unik dengan budaya yang berbeza (cinta adalah budaya mereka). Penyampaian watak dan cerita yang lain membuatkan anda melekat dengan filem ini. 
                     Saya sangat sayangkan rekaan produksinya. Mainan warna dinding, mood dan baju setiap karektor memberikan semangat kepada saya untuk terus fokus (kerana saya belajar filem). Terdapat satu syot ada cerminan refleksi ibu, seekor cheetah dan kekasih lama ibu sedang duduk menghadapap kamera sambil kamera kembali fokus kepada mereka. Metafor yang saya tidak dapat tangkap hingga kini. Cukuplah saya katakan filem ini cantik dan penuh makna bagi saya. Sempurna. Akhir cerita yang sungguh sempurna. 
                   Dari 10 bintang, saya berikan 9 1/2!




The Girl From Monaco

Pengarah: Anne Fontaine
Pelakon: Fabrice Luchini, Roschdy Zem, Stéphane Audran, Louise Bourgoin
Genre: Komedi / Drama / Romantik
Durasi: 1 Jam 35 Minit

Biarkan saya sendiri. Tak perlulah saya menonton filem ini. Saya cuma sukakan pengakhiran filem ini sahaja. Saya tak sukakan watak lelaki peguam tuanya. Saya tak sukakan watak femme fatalenya. Tak sukakan keseluruhannya. Bagi saya, ini filem yang menyakitkan. 
             Bertrand (peguam tua lemah) mendapat satu kes di Monaco. Dia diberikan seorang bodyguard untuk menjaga keselamatannya. Bodyguard ini memberikan nasihat mengenai seorang perempuan pembaca berita mengenai cuaca yang sangat nakal (notty) dan mengasyikkan. Bertrand tak mahu dengar. Dia degil dan mula jatuh cinta - kerana seks yang diberikan sangat hebat dan berlainan. Jadi dia tertarik dengan perempuan ini (slut). Akhirnya perempuan itu mati, dia berjaya dalam kesnya dan dia dipenjara. Bodyguard tu hanya mampu mengiakan. 
               Bosan bukan? Tidak. Ceritanya agak menarik. Saya cuma tidak sukankan karektornya. Lelaki peguam yang lemah dari segi syahwat, tidak kreatif dan membosankan. Bertemu dengan perempuan femme fatale yang gedik, mengada-ngada, tidak menghormati cinta dan suka berparti. Manakala bodyguard itu adalah bekas kekasih perempuan itu yang banyak kali memberikan amaran dan nasihat kepada lelaki peguam tua itu. Jadinya cerita ini drama yang diselang selikan dengan komedi serta romantik tua yang menggelikan. Agak membosankan. Cuma akhir cerita membuatkan aku terjaga. Bodyguard itu sukakan Bertrand - kerana rasa tanggungjawab dia untuk menjaga peguam tua itu dari segala sudut. Itulah cinta. 
                 Dari 10, saya berikan 6 kerana review ini membuka minda aku untuk memahami filem ini yang sebenarnya. 




Micmacs


Pengarah: Jean-Pierre Jeunet
Pelakon: Dany Boon, Dominique Pinon, Yolande Moreau, André Dussollier
Genre: Komedi / Penyiasatan
Durasi: 1 Jam 44 Minit

Dah lama saya mencari filem Jean-Pierre Jeunet. 'Amelie', 'Delicatesen'... Yang saya baca, filem-filem Jean-Pierre Jeunet sangat menakjubkan. Permainan warna dengan watak yang sinikal, menjadikan beliau pengarah Perancis paling berbakat masa ini. Filem ini sungguh menghiburkan dengan menghubungkan dunia imaginasi beliau dengan dunia peperangan kelip-kelip kini.
             Bapa Bazil mati hasil peninggalan bom bawah tanah selepas perang di mana-mana negara Arab. Ibunya jadi gila dan Bazil dihantar ke rumah anak yatim. Dia kemudiannya lari dari tempat itu. 10 tahun kemudian, Bazil bekerja di kedai video. Sedang elok dia memimikkan dialog sebuah filem yang dia tonton, terjadinya kejadian tembak menembak di luar kedai dan dia terkena peluru sesat. Dia hampir mati tetapi tidak mati. Dia berjumpa dengan sekumpulan orang-orang tidak berkeluarga yang tinggal serumah di kawasan pelupusan sampah. Setiap seorang dengan kebolehan masing-masing. Elastic Girl dengan kebolehan contortionist (badan yang elastik), Mama Chow ketua kumpulan dan tukang masak yang hebat, Remington bekas ethnographer bercakap dalam nuansa indah (dari kata-kata lama), Buster pernah membuat Rekod Dunia dengan meriam manusia, Tiny Pete seorang tua yang menjadikan skulptur sebagai rakannya (serta yang paling kuat), Slammer bekas banduan dan Calculator, perempuan remaja yang sangat matematik. Ketika membawa balik sampah, Bazil bertemu dengan 2 bangunan pembikin senjata api yang bertentangan satu sama lain. Kedua-dua itulah yang menghancurkan hidup Bazil. Bazil mengambil keputusan untuk membalas dendam. Dengan cara yang sangat sinikal dan lembut.
             Kenapa filem ini bagus? Pernah menonton 'Ocean Eleven'? Ceritanya lebih kurang begini tetapi lebih bersifat terasing (tidak sehebat Hollywood). Filem ini sangat baik dari segi naratif cerita, rekaan produksi, perkembangan karektor dan permainan warna. Filem ini sungguh warna-warni walaupun warnanya kelam (bagi menggambarkan kehidupan yang tidak aman jika peperangan masih berlaku dengan pengedar senjata api ini masih wujud). Dari segi lakonan, anda mungkin tidak akan perasan dengan emosi yang mendalam dengan syot muka selama 2 minit untuk menangis. Anda tidak akan dapat itu. Lakonannya sungguh jujur, cepat dan tidak membosankan. Mungkin kerana cerita yang padat dan tidak membosankan serta longgar menyebabkan pelakon tidak memerlukan masa terlalu lama untuk memahami emosi karektor. Ianya mudah dan sangat menghiburkan. Saya sukakan penggunaan warna, cerita yang tidak dijangka serta akhir cerita yang cantik. Filem ini sangat dekat di hati penonton, pemahaman watak yang jelas, cantik serta sinikal dan satira.
              Dari 10 bintang, saya berikan 8 1/2.




Heartbreaker


Pengarag: Pascal Chaumeil
Pelakon: Romain Duris, Vanessa Paradis, Julie Ferrier, François Damiens
Genre: Romantik Komedi
Durasi: 1 Jam 45 Minit

Pelakon utama perempuan bagai Madonna (gigi jarang depan) dengan lelaki utama macam tak terurus (mungkin budaya mereka menganggap lelali rambut kerinting tidak bersikap dengan jambang penuh di muka adalah lelaki macho dan sangat hot). Bagi saya, filem ini menghiburkan. Noktah. Itu sahaja. Ia mengenai cinta dan cinta. Seperti biasa, lelaki yang tidak percayakan cinta akhirnya bercinta dengan tugasnya yang memerlukan dia memecahkan hati perempuan itu.
            Alex serta kumpulannya (kakaknya dan suami kakaknya) bekerja sebagai penyedar bagi perempuan yang tidak menyedari kedukaan dalam bercinta dengan pasangan mereka. Mereka sudah berjaya dengan misi di Jepun dan seluruh dunia. Mereka mendapat misi baru. Misi yang sangat sukar kerana hanya 5 hari diberikan, mereka dalam keadaan pokai, ah long mengejar mereka dan perempuan itu sangat bahagia. Pegangan mereka, mereka tidak mahu menerima misi jika perempuan tersebut bahagia. Tetapi mereka terpaksa. Alex mulakan langkah sebagai bodyguard perempuan tersebut. Dan akhir sekali... biasalah. Anda tahu.
               Ceritanya agak klise tetapi menghiburkan. Anda tidak akan lupakan watak dan cerita ini kerana lagak serta gurauan filem ini sangat baik dan mengasyikkan. Tidak ada apa yang hendak dikatakan. Ia sebuah filem yang baik, dibikin dengan baik dan menghiburkan tetapi biasa bagi saya. Permulaan yang sungguh baik di mana watak diterangkan dengan baik sekali.
               Dari 10, saya berikan 7 bintang kerana sesungguhnya saya gelak tak keruan sepanjang filem ini. Walla!




Crossed Tracks


Pengarah: Claude Lelouche
Pelakon: Fanny Ardant, Dominique Pinon, Zinedine Soualem, Myriam Boyer, Michèle Bernier
Genre: Thriller / Penyiasatan
Durasi: 1 Jam 43 Minit

Nah aku berikan lagi trailer filem ni!


Ini adalah antara filem terbaik yang pernah aku tonton! Aku pembaca novel tegar. Kupasan filem ini, dari babak ke babak, di ceritakan dengan konsep novel thriller. Ia sungguh menakjubkan dan sangat cantik. Ia sebuah filem thriller dan penyiasatan dengan permulaan cerita yang hitam putih - ala-ala noir - di mana kita akan disajikan bahawa penulis perempuan ini adalah seorang yang jahat. Sanggup membunuh 2 orang lelaki untuk menjadi penulis yang baik dan popular. Tetapi jika diteliti keseluruhan cerita ini, novel yang dibikin penulis di dalam filem ini sebenarnya adalah sama seperti filem itu sendiri. Cuma akhir cerita yang berbeza.
               Judith Ralitzer disiasat kerana kes pembunuhan seorang lelaki (setiausahanya) yang dikaitkan dengannya. Jadi, dia mula bercerita sejak mula dia bertemu dengan lelaki tersebut. Ah... Malas aku nak ceritakan sinopsisnya. Sepanjang review ini, anda akan tahu.
                Mula cerita, selepas flashback Judith anda akan ditayangkan syot jalan raya low angle dengan sangat perlahan dissolve (dalam 3 minit) dan nama-nama utama pun keluar. Ada satu suara DJ radio memberi berita terdapat seorang pembunuh pedophilia yang menggunakan magik sebagai tarikan utamanya, telah berjala meloloskan diri dari penjara. Pierre Laclos sedang menyanyi sambil membawa kereta. Dia singgah di stesen minyak. Dia membuat trik magik kepada budak dengan keluarga. Dia ternampak sepasang pasangan bergaduh dan lelaki tersebut tinggalkan perempuan itu di stesen minyak. Pierre kemudiannya mahu menumpangkan perempuan itu ke tempat dituju. Perempuan itu tidak mahu. 3 pagi. Matahari memancar, Pierre masih menunggu perempuan itu. Huegett namanya. Huegett setuju. Pierre memperkenalkan dia adalah penulis hantu (ghost) untuk Judith. dan Huegett teruja. Pierre ajak Huegett jalan di dalam hutan tetapi Huegett tak mahu. Pierre beritahu yang dia bukanlah penulis hantu yang dimaksudkan. Dia cuma seorang lelaki yang meninggalkan isteri dan anak serta kerja di rumah. Huegett ajak Pierre menjadi tunangnya dan balik ke kampungnya bertemu keluarga dan anak perempuannya. Pierre setuju. Di kampung, Pierre keluar bersama anak perempuan Huegett menangkap ikan di tempat yang orang lain tak tahu. Malam itu, mereka semua berseronok. Esoknya Pierre balik dan rahsia Huegett pecah - tunangnya yang sebenar datang ke kampung dan membuat onar. Di dalam kereta, Pierre mendengar berita yang pembunuh bersiri magik itu telah berjaya ditangkap. Pierre ke Cannes untuk bertemu dengan Judith. Dia menerangkan ceritanya kali ini kepada Judith. Dan dia tak mahu lagi menjadi penulis hantu lagi. Dia mahu tanda tangan bukunya sendiri kali ini. Judith tak berapa suka tetapi terpaksa. Di satu set lain, Pierre menelefon kakaknya yang suaminya tidak balik selama tiga hari meninggalkan isteri, anak dan kerjaya. Pierre kemudiannya menyiapkan novelnya dan mendengar ura-ura yang Judith akan tetap menjadikan novel 'God, the Other' sebagai novelnya, bukan Pierre Laclos. Esoknya, Pierre hilang. Dia dikatakan mati terjatuh di dalam laut. Mayatnya tak dijumpai. Akhirnya, novel tersebut jadi milik Judith. Huegett yang mengenali Pierre menyerang Judith kerana telah membunuh Pierre. Judith disoal siasat. Pierre muncul di balai polis. Dia tak mati. Dia sengaja membuat begitu untuk mengajar Judith kerana tidak menepati janji. Lagipun, dengan kontroversi, novelnya akan laku dengan hebatnya. Oleh kerana malu dengan diri sendiri, Judith membunuh diri - untuk menjaga nama dan kesalahannya mengenai Pierre mati begitu saja. Huegett dan Pierre bertemu lagi di tempat pertama mereka bertemu. Dan mereka bercium. Tamat.
             Jadi, anda faham? Faham kenapa filem ini filem terhebat? (Gelak). Filem ini agak memeningkan. Jadi anda perlu menyimpan segala memori dari babak ke babak untuk mengingati keseluruhan cerita pada akhirnya akan dirungkai. Jika tidak, anda akan jadi seperti jiran saya, tidur. Sepanjang cerita, anda akan disajikan konsep cerita yang bagai anda membaca novel. Prolog, bab 1 dan seterusnya serta epilog. Ianya sebuah filem thriller dan novel itu juga thriller. Filem ini sungguh baik hingga anda tak tahu mana cacatnya. Saya bukanlah penggemar filem artistik sangat. Saya lebih mengutamakan cerita berbanding sebuah filem itu sendiri. Jika ceritanya bagus dan sangat bagus, saya akan sayang. Rekaan produksinya biasa, tetapi dibantu oleh lakonan yang cemerlang setiap pelakon dalam filem ini. Anda akan tertanya-tanya apa yang akan terjadi dan anda akan membuat cerita sendiri. Tetapi akhirnya anda ditipu. Itu adalah sajian pengarah atau penulis untuk membuat anda tertipu (biasalah untuk thriller). Jadi, saya sayangkan filem ini. Saya sangat sukakan filem ini seperti saya sukakan filem 'Chloe' (oleh Atom Egoyan).
          Jadi, dari 10 bintang, saya berikan 9 1/2 juga. Terima kasih kerana membuat saya nak menampar Claude Lelouche.





. . .


Jadi, itulah dia review saya. Keseluruhannya, saya puas dengan sajian pesta filem kali ini. Saya puas. Saya memang menyayangi filem-filem Eropah khususnya dari Perancis. Dan malam ini, saya akan tidur nyenyak bermimpikan Bazil, Pierre Laclos dan Lulu (Lucille) berbual dengan saya sambil makan keropok lekor. Selamat malam semua!

Isnin, 2 Mei 2011

Kisah Seorang Lelaki dengan Kotak Usang

Seorang lelaki yang mempunyai kuasa dan baik tidak pernah bercinta malah sering mengurungkan dirinya di dalam penjara biliknya. Dari tingkap, dia terlihat seorang perempuan yang sangat cantik dan lembut dilihat mata. Dia memanggil perempuan itu. Oleh kerana lelaki itu punya rumah yang besar dan berkuasa, perempuan itu sudi berdepan dengannya. Lelaki itu mengatakan "Aku tidak dapat memberikan kamu wang dan kuasa ku pada mu. Aku cuma boleh berikan ini. Lalu, sudikah kau menjadi isteriku?". Lelaki memberikan sebuah kotak usang kepada perempuan itu. Perempuan itu terkejut dan berkata "Apa yang aku inginkan adalah duit dan kuasa. Duit menyenangkan aku. Dan dengan kuasa, aku boleh lakukan apa sahaja. Tanpa itu dapat kau berikan pada aku," Terus perempuan itu keluar. Tanpa dia lihat isi di dalam kotak itu. Lelaki itu bersedih kembali. Selama-lamanya. Tanpa terbuka lagi tingkap di biliknya. Apabila pekerjanya bertanya apakah isi di dalam kotak itu, lelaki itu berikan kepadanya. Dia berkata "Di dalam kotak itu adalah alam semesta. Bentuk dan warnanya seperti bunga yang baru mekar. Itu ada ciptaanku dan kecantikannya adalah kuasa segalanya. Jika kau rasakan kuasanya terlalu besar dan kuat untuk kau, campakkanlah alam semesta itu ke langit. Nescaya ia akan terapung dan menjadi kuasa ciptaan terbaik serta terakhir dariku!" Sejurus itu, lelaki itu mati.



Isnin, 18 April 2011

Review Filem 'Limitless'



Diarahkan oleh Neil Burger (Interview with the Assasin & The Illusionist - ya, kedua-dua filem saya tak pernah tonton lagi), saya rasakan filem ini istimewa. Kerana apa? Filem ini menginagtkan saya kepada filem 'Requiem for a Dream' dan 'Trainspotting' di mana visualnya yang kurang menyenangkan tetapi ekstravaganza. 

Filem ini mengisahkan Eddie (seorang penulis yang buntu idea) berjumpa dengan bekas abang ipar yang tak berapa baik tetapi mendapat hadiah yang seterusnya mengubah sejarah hidupnya. Cerita ini penuh dengan pemikiran tidak berat tetapi kepada mereka yang tidak berapa berminat dengan sains dan psikologi, anda dinasihatkan membawa kawan dengan latar belakang ini untuk duduk di sebelah anda. Ianya tidak terlalu berat dan saintifik tetapi ianya unik dan instimewa. 
Mengikut daripada poster, ianya mungkin satu lagi filem thriller yang bosan dan biasa. Seperti yang saya katakan tadi, ianya unik. 

Terdapat beberapa babak yang digunakan pengarah untuk mencampakkan penonton merasai rangsangan NZT -48 dengan menggunakan syot yang saya boleh katakan 360darjah. Ianya distort dan luas. Ini untuk menggambarkan betapa luasnya otak dan penggunaan fikiran yang cuma 20% digunakan kita sekarang. Tak dapat saya jelaskan bagaimana syot ini. Paling dekat penerangan saya adalah ianya fish eye lense syot tetapi lebih luas. 360darjahkan saya katakan tadi? 

Saya seorang yang sukakan dunia surreal dan gothic. Jangan risau kerana filem ini bukan filem berunsurkan gothic dan surreal tetapi terdapat satu bahagian yang digunakan dalam beberapa babak yang agak surreal. Di mana diri si pemakan berpecah kepada beberapa menggambarkan fikirannya berpusing tanpa henti dan melangkau lebih jauh ke depan dengan mendapat deja-vu. 

Ya, ianya sebuah lagi filem oleh Hollywood. Saya kurang senang dengan pengakhiran cerita di mana Eddie akhirnya serasa selamat dan nak jadi Presiden U.S. Kawan lama cuba untuk blackmail dia tetapi Eddie ada sesuatu yang tak disangka. Prolog ini saya kurang senang tetapi isi pada babak akhir ini amat menarik. Meninggalkan kita dengan gantungan penyelesaian kepada penonton sendiri. Agak 'Inception' tetapi berguna untuk penonton berfikir dan seterusnya melekap kepada para penonton dan membuatkan kami tidak mudah lupa dengan filem ini - hanya kepada mereka yang faham. 




Secara keseluruhan, filem ini bagus, unik dan istimewa. Bukanlah sebagus 'Inception' dan 'Requeim for a Dream' tetapi cukup membuatkan saya menulis blog dan berkongsi rasa kepada semua. 'Limitless' adalah gabungan 'Inception' dan 'Social Network' serta 'Kick-Ass'. Gabungan filem yang pelik bukan? Kerana itulah saya katakan filem ini istimewa.

Selamat menonton!

notakaki : ada filem yang agak bagus juga dengan gabungan filem 'Inception', 'Matrix' dan 'Mulholland Drive'. Jake Gyllenhaal 'Source Code'. Malas nak mengulas walaupun filem ini sama bagus - kerana filem ini berasaskan fizik dan dunia mimpi. 

Ahad, 3 April 2011

Langkah Si Kaki Suci

Mereka berjalan dengan langkah tanpa rasa gentar menuju satu arah tak pasti. Kaki kanan, kaki kiri perlahan melangkah dengan yakin. 'Itulah arah tujuan untuk kami' kata hati suci mereka. Segala liku, sakit senang dan payah mereka tempuhi dengan penuh azam dan semangat. 
          Mulanya mereka belajar dengan memegang tangan dan diarah untuk berdiri dan berjalan. 
          "Ta-teh..."
          Mereka berdiri dengan kaki suci mereka. Belum mampu berjalan untuk menampung berat badan ringan tanpa dosa mereka. Setiap kali mereka jatuh, segera diusap dan dibangunkan semula, memujuk dan memberikan semangat untuk terus berjalan lagi. Terus melangkah. 
          Mereka diberikan kasuh sebagai lapik bagi tapak kaki mungil mereka yang nipis tanpa pengalaman. Suci kami katakan. Jika kasut itu rosak mahupun sudah buruk dan tidak lagi muat, mereka diberikan lagi dengan kasut yang baru. Satu demi satu kaki itu diberikan keselesaan dan keyakinan untuk terus melangkah. Dan langkah itu diteruskan dengan larian...

. . . 

Kini, kaki mereka tidak lagi suci. Langkah mereka mula longlai. Dahulu mereka sudah mula berlari tetapi kini mereka mula menapak. Mungkin sudah bertemu dengan arah tuju mereka. Mungkin mereka sudah penat mencari arah tak pasti. Mungkin juga mereka sakit. Mahu diteruskan jalan dan langkah tetapi umur dan badan tidak mengizinkan. 
            "Mungkin juga kami sudah terlambat. Adakah kami perlua menyesal?"
            Kaki yang dulunya suci, kini penuh dengan daki dan kerutu tua serta kupas kulit yang teruk. Kaki itu tergantung pada alat rehat badan. Mereka senyap. Berhenti memikirkan jalan dan langkah yang mereka pernah lalui. 
            Semasa kecil, kaki itulah yang dengan semangat berlari menendang bola bersama rakan-rakan. Kaki itu jugalah yang berenang menyelamat adiknya yang hampir lemas. Kaki itu jugalah digunakan untuk memanjat dari ranting ke ranting mencari rambutan tok nek di kampung. Semua itu manis dan masih lagi suci. Tetapi bila mereka sudah tahu langkah yang harus dibuat (mahupun tidak harus), kaki itu mula memanjat lagi. Bukan di kebun tok nek mereka, tetapi di rumah jiran kampung sebelah. 
           "Mangga Pak Abu ni kuning semacamlah. Rugi kalau tak makan! Mari panjat!"
           Kaki itu mula digunakan untuk mencuri dan melarikan diri. Bila didenda, kaki itu jugalah yang sakitnya di rotan. Bila di sekolah juga sama. Kaki itu mula dihayunkan dengan lenang pada badan rakan sebaya. Dengan ringannya kaki itu yang mulanya suci, dipijaknya badan dan disepaknya muka. Bila didenda, kaki itu cuma berdiri lemah, lengah. Sakit tak kepalang kerana habis waktu sekolah, kaki itu akan mulakan kerjanya kembali. 
           Zaman persekolahan berlalu. Kaki mula menapak ke bidang yang lebih serius. Zaman perkerjaan tidak kenal erti lelah dan bosan. Setiap kali bosan, kaki itu mula menapak ke kelab malam. Di sepak-sepak ke udara dan lantai mengikut rentak muzik. Bersama rakan, kaki itu tidak kenal bosan. Wang kerja mereka yang tk seberapa diberikan kepada kawan untuk mengenal dunia. Dunia yang sementara. Kaki mereka tidak menjadi mangsa tetapi apabila salur pada tangan, kaki pun tidur. Yang hitam itu putih, yang putih itu biru. 
           Kaki mereka semakin longlai, lemah. Akhirnya, mereka sedar yang benda itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Lalu mereka putuskan untuk terus melangkah. Kali ini dengan lebih bertanggungjawab dan berdikari. Mereka mula bekerja. Kaki mereka giat melangkah ke sana ke mari bekerja dan membantu. Kali ini mereka berjaya. Mereka mula menerima tawaran untuk melangkah dengan lebih jauh. Mereka akur. Mereka jauh melangkah untuk terus berjaya. Dahulu kedai mereka kecil, kini sudah besar dengan hasil usaha sendiri dengan tenaga kerah kaki mereka. Perlahan-lahan mereka berjaya. 
           Kaki cuma mengekor setiap gerak geri sang penyuruh. Ya, mereka mula mengenali rasuah, riba dan segalanya untuk segera melangkah ke hujung. Arah mereka yang semakin jelas, sudah semakin mendekat. Akhirnya, sepandai topai melompat jatuh juga mereka ke lumpur. 
           Kembali kaki mereka berhenti melangkah. Arah tuju yang sudah dekat semakin menjauh. Berat rasa untuk terus melangkah. Bertemu dengan sang perempuan. Sekian lama berkenalan, mereka berkahwin dan kembali bersemangat. Tetapi kali ini, mereka mahu melangkah kecil. Bukan berlari, bukan melompat. Cuma melangkah berjalan biasa menuju destinasi. Arah itu tak pasti tetapi akan tiba juga pada akhirnya. 
            Lecak, lumpur, tahi, minyak. Segala macam kotor pernah diredahi mereka. Langkah mereka kecil tetapi ada sekala, langkah mereka besar untuk kaki yang baru. Kaki yang suci seperti kaki mereka dahulu. Mereka mula membeli kereta. Mula membeli rumah. Usaha mereka semakin berjaya. Tetapi langkah mereka masih lagi kecil. 
            Begitulah seterusnya dalam kehidupan mereka. Kaki anak mereka juga sama seperti mereka dahulu. Sudah mengenal erti berlari dan berlompat. Cuma kali ini, kaki anak mereka diberikan tunjukan ajar dengan hati-hati supaya tak salah tapak menapak. 

Kaki itu masih tersadai sidai pada pangkin rumah mereka. Digoyangakn sikit untuk menghalau lalat. 
             "Sudah puaskah kami melangkah? Sudah tibakah kami pada jalan kami?"
             Menatap keindahan agung di depan. Menanti apa, mereka tak pasti. 
             "Anak awak dah balik...," isterinya berucap. 
             Kakinya kembali melangkah. Mahu bertemu dengn kaki suci yang baru lagi. Sudah bijak berjalan cucunya...

Rabu, 9 Mac 2011

Apabila Hijau itu Cantik Sangat!

Hijau bertanya kepada Hitam, apa ada dengan kehidupan?

Lalu Hitam pun jawab, aku cuma tahu kegelapan. Tetapi semua kehidupan perlukan aku untuk sembunyi dan mencipta sesuatu dari aku. Aku diperlukan. 

Hijau tanya kepada Merah.

Merah pun jawab dengan tangisan, aku cuma membawa sengsara kepada kehidupan. Aku mewakili darah dari mereka. Aku membawa amarah. Lihat saja warna bendera mereka yang dahagakan darah. Semuanya diwakili oleh aku!

Hijau tidak sukakan kedukaan. Lantas dia terus bertanya kepada Biru. 

Jika kau lihat, akulah kehidupan. Aku menyamankan. Aku menenangkan. Aku membawa bayu kepada kehidupan. Yang lain tidak membawa apa-apa selain kemusnahan dan kerosakan. Aku sayangkan aku. Aku sayangkan Biru. 

Hijau berkata, jika kau sayangkan Biru, siapa Biru? Jika kau adalah kehidupan, siapalah aku? Bukankah aku juga kehidupan? Aku juga menenangkan. Aku sendiri mewakili kehidupan. Jika Biru tanpa Hijau, dimanakah harmoninya? Kau perlukan aku!

Siapa kata aku perlukan kau? Lihat saja aku. Aku mewakili hampir keseluruhan dunia ini. Aku juga dinamakan sempena dunia ini!

Lalu, Hijau berasa terkesan. Dia berlalu meninggalkan kehidupan. 

Apa yang akan terjadi?


Isnin, 21 Februari 2011

Selamat Menonton!

Black Swan


Perlukah aku kisahkan kisahnya? Jika kalian mahu tahu ceritanya, cari saja di dalam Internet. Banyak menyebut katakan mengenai filem yang mendapat banyak pencalonan dalam Anugerah Akademi (Academy Award). 

Mungkin filem ini bukan untuk kaki tonton filem biasa (yang menonton filem 'Jangan Pandang Belakang Congkak' dan 'Avatar') kerana filem ini secara luar biasanya bagus. Penceritaannya agak berat tetapi dibantu dengan sinematografi dan penggunaan set serta rekaan produksi ringkas, mudah hingga dirasakan filem ini agak indipenden. Serasanya pergerakan kamera yang secara sengaja digoyangkan dengan keras dan suntingan yang mengejut, berjaya membuai kita selaku penoton berasa bersahaja di dalam filem tersebut. Secara keseluruhannya, filem ini berjaya. Berjaya dari segi apa? Bergantung kepada anda sebagai penonton. Tetapi jika kalian mahukan pecah-rahsia (hint) mengenai filem ini, sejujurnya, saya juga tertipu dengan karektor dan ceritanya. 


Visualnya ringkas tetapi penuh makna. Anda janganlah fikirkan mis-en-scene-nya terlalu mendalam. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, filem ini akan dirasakan terlalu indipenden. Anda akan merasakan watak ini. Anda akan kenal dengan watak ini tetapi dalam pada masa yang sama, siapa dia? Terdapat karektor-karektor lain yang akan membantutkan pemikiran anda dalam menilai filem ini sejak awal lagi. Anda akan diganggu dari psikologi. 

Nasihat saya, janganlah anda terlalu ikutkan dengan watak itu. Sejujurnya, saya menangis pada akhir filem. Walaupun filem ini adaptasi dari novel dengan tajuk yang sama, saya mengucapkan tahniah kepada Darren Aronofsky (yang pada tahun lepas dinominasikan dalam Anugerah Akademi untuk filem 'The Wrestler' dan pada tahun sebelum-sebelum itu filem 'Requeim for a Dream') kerana berjaya menceritakan sebuah kisah yang epik (epik kerana kisah dan arahannya) serta mengaitkan filem dengan cerita 'Swan Lake' itu sendiri. Anda berjaya memberi karektor kepada watak yang (boleh saya katakan) tak berapa penting. 

Anda, kalian, penonton. Bersiap sedialah dengan filem ini yang mengganggu jiwa dan pemikiran anda. Sedikit berbeza dengan 'There Will Be Blood', kisahnya hampir sama. Memfokuskan pada satu watak dari mula hingga ke akhirnya. Dan kedua-duanya mengejar satu impian (yang pasti). Jadi, selemat menonton!


p/s : Sengaja aku membikin kata-kata yang tak jelas supaya anda semua pergi menonton filem ini dan menilai sendiri kematangan fikiran anda. Anda bersedia?





Isnin, 14 Februari 2011

Aku Lihat atau Aku Tengok

Perempuan itu seksi. Aku sukakan kakinya yang berkilat, licin dan gebu. Kasut tumit tinggi berwarna merah pekat bak pelacur kelas atasan itu dengan berketinggian 5 inci, aku lihat sudah sama harganya dengan motor berkuasa tinggi ciptaan Itali. Teliti buatannya. Dipasangkan sekali dengan kakinya yang panjang dan gebu itu. Sangat menakjubkan. Terlecur seketika lidah aku tatkala dia membetulkan berdirinya. Otot betis dan pahanya yang menyokong seluruh badan membuatkan dadaku merancak semakin laju.

Belum lagi aku ceritakan tubuh badannya. Apabila aku palingkan kepala ku ke muka dia, Masya-Allah. Jantan ke? Mana pergi bulu kaki? Mana datangnya licin dan gebunya peha? Oh, otot itu... Otot betis dan peha itu milik lelaki. Adus! Aku tertipu. Eh, bukankah aku perempuan?

Tahniah kepada Chiu dengan Filem "Great Day"nya!

Tahniah. Itu saja yang boleh aku katakan. Aku bukan seperti mamat dalam TontonFilem Blog tu. Aku sekadar penonton yang memilih (fussy) dalam sesebuah perkara. Dan ternyata filem ini amat membanggakan aku yang hidup di negara kesayangan Malaysia. Filem ini tidak ada unsur negatif di dalamnya. Jika ada pun, ianya akan dipatahkan dengan lawak jenaka dan secara berseloroh. Bagi aku, kalian memang patut menonton filem ini. Ianya menyegarkan. Bukan seperti cerita Melayu mengenai orang tua yang biasa dalam drama di TV kita. Cerita pun berbahasa Cina dan berbangsa Cina. Jadi, mungkin saja budayanya lain. Tetapi filem ini mengenai Malaysia. Dunia kasih sayang keluarga di Malaysia. Cerita yang sungguh mudah tetapi sangat berkesan dalam menilai laku kita sebagai manusia.

Tak perlulah aku bercerita terlalu dalam mengenai filem ini. Aku mementingkan cerita, bukan teknikal dan lakonannya sangat - tapi aku sangat sukakan pelakon utama (orang tua yang merantau ke KL) dan cucunya (seringkali dapat dilihat menyanyikan lagu-lagu Malayu/Malaysia dalam persembahan kebangsaan/kerajaan). Visualnya cukup indah, cantik dan bermakna. Syot di KL juga berlainan dengan syot-syot yang ditangkap dalam filem mahupun drama yang sedia ada.

Secara keseluruhannya, filem ini wajib tonton bagi penggemar filem tempatan. Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan menonton dan menyokong filem ini? Warga Singapura? Mereka sudah ada "Homecoming". Tak perlu "Great Day".

p/s : akan tonton "Homecoming"


Selasa, 25 Januari 2011

Tak Berani Kata

Senyap. Diam. Tuli. Pekak. Sunyi.

Takut dengan dunia sekarang. Aku cuma mampu...

Ahad, 16 Januari 2011

Aku dan Dia Berbicara Tentang...

... banyak perkara - mengenai filem.

Dia dan aku duduk di dalam 1 bilik. Mula bercakap mengenai filem Malaysia. 'Ngangkung' yang mula mendapat kutipan RM8 juta.

"Baguslah. Sekurangnya kita tahu penonton masih mahu dan akan menonton filem kita."

"Tapi bagus ke filem tu?" bagaimana aku nak kata?

"Memang macam bangang cerita dia. Aku dah tengok. Memang teruk gila ar. Banyak masalah dalam cerita tu. Dari segi pelakon, cerita, pengarah. Semuanyalah. Tapi boleh dapat RM8 juta. Pelik tapi bagus."

Dia mula melenting. Dia katakan yang dia pernah bekerja dengan pengarah filem tersebut. Tetapi dia tak mahu kata lebih. Aku juga tak boleh mengagak. Dia tidak menonton filem itu (sebegitu) kerana dia tak mahu menyokong.

"Adakah aku menyokong? Tak! Aku cuma mahu menonton untuk mengetahui bagaimana filem itu. Dan menyokong industri filem kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Orang indon?"

"Bila kau tengok, maksudnya kau sokong. Kau beratur macam semut. Cuma kau tak angkat beban je. Kau nak tonton. Dan kau bayar. Maksudnya kau dah sokong filem itu kerana penerbit (David Teo) akan bersyukur dengan rezeki yang diterima dan akan terus membuat filem begitu lebih banyak lagi.

Tujuan dia adalah untuk mencari wang. Semuanya untuk duit. Kau tahu kenapa dia tak buat filem cina walhal orang cina sekarang ni pun sudah mula menerima filem berbahasa cina tempatan sekarang ni?"

Kerana melayu mengikut. Menunduk kerana mahukan duit - yang untuk mengisi pasir di dalam perut mereka.

"Jadi, kalau kau nak tengok filem kita lebih baik, kau kena buat trend. Bukan ikut trend. Bila kau buat trend baru, barulah filem kita ni akan jadi lebih baik. Kita ada dua benda dalam pembikinan filem ni. Untuk duit dan untuk mahakarya - artsie film. Untuk kita membikin trend, kita kena gabungkan dua perkara ni. (Untuk duit, trend mengikut apa yang penonton mahu - jadilah filem seperti 'Ngangkung\, 'Adnan Sempit', 'Damping Malam'. Untuk mahakarya, kita membuat filem dari hati, emosi tetapi tak semua faham - jadilah filem... apa ya? Yang bukan kehendak penonton tongong kita).

Jadi kita harus mencipta trend. Dengan gabungan dua perkara ini," dia beredar.

Benar kata dia. Penonton kita sudah terlalu lama disogokkan dengan filem-filem yang begini. Apabila filem kita semakin hebat dengan pembikinan filem efek, CGI, kita sudah kehilangan isi filem itu sendiri. Kita sendiri harus menyokong filem yang baik. Bagaimana nak tahu filem itu adalah sebuah filem yang baik?

Dia kembali.

"Aku bercakap mengenai sambutan penonton. Bila penonton tak mahu menonton filem kita, buat apa kita buat filem? Walaupun filem kita tu ciptaan trend? Bila filem kita tak ada penonton, adakah pawagam akan mengambil filem kita untuk tayangan?" aku memprovokasi.

"Itu tujuan filem sebenarnya. Untuk mengajar penonton. Untuk memberikan suasana baru kepada mereka. Sememangnya filem itu untuk hiburan. Tetapi dalam pada masa yang sama, ia haruslah berilmu. Bukan mengenai moral dan mesejnya sahaja yang penting. Banyak perkara perlu diambil. Yang penting sekarang, bila sebuah filem itu buruk, adakah patut kita menonton - walaupun sekadar menyokong 'industri filem tempatan'? Kita kena mendesak penonton kita untuk menjadi bijak. Untuk jadi baik. Untuk jadi intelektual."

Kau suka filem apa?

"Kala Malam Bulan Mengambang, karya Mamat Khalid. Mahakaryanya. Terbaik dari semua filemnya," hembus.

Sebenarnya pertikaian kami panjang. Aku cuma malas pula nak taip dalam blog ni. Ew... aku nak berkongsi dengan kalian apa yang dia rasa dan apa yang aku rasa. Pendapat adalah hak masing-masing. Aku cuma berkata, sampai bila menunggu bintang gugur? Yang penting bukan angkasawan yang ke bintang. Tetapi bagaimana kita sebagai manusia menarik bintang turun ke bumi.

Dan dia teruskan kerjanya - mengikut penggambaran filem tempatan.

Selamat Tiba dan Selamat Membaca

Assalamua'alaikum

Kepada yang tidak mengenali aku - aku cuma seorang manusia yang dikenali dengan namanya SesiapaYangMungkin. Pendeknya S.Y.Mu.

Ini pertama kali aku memulakan sebuah blog. Ini bukan blog peribadi. Cuma sebuah blog untuk berkongsi dengan kalian (ya, pembaca) mengenai apa yang aku gemarkan lebih; yakni FILEM dan BUKU.

Dengan itu, diharapkan kalian bulih menyatakan isi buah dan hati kepada setiap blog yang akan aku poskan ke dalam tulisan digital tak beremosi ini.

Di harap bersabar dan terima kasih.

Wassalam.