Jumaat, 20 Mei 2011

Pesta Filem Perancis : Review



Pesta Filem Perancis telah lama dijalankan di Malaysia sejak (mungkin) 3 tahun lepas setelah Golden Screen Cinemas mula menerima filem-filem luar negara dengan tema 'Film Festival' - sudah semestinya dengan kerjasama daripada pihak kedutaan negara. 2 tahun lepas saya tidak melepaskan peluang untuk menonton 5 daripada 7 filem yang ditayangkan. Manakala tahun lepas saya cuma mampu menonton 2 sahaja daripada 9 filem. Tahun ini, pesta ini dijayakan pada 12 hingga 31 Mei 2011 dengan matlamat supaya peminat tegar filem Eropah (khususnya di sini, Perancis) dapat menonton kesemua 6 buah filem cereka pelbagai genre dan rupa. Dari gelak tawa, drama (yang masih gelak tawa), kanak-kanak hinggalah kepada misteri serta sedikit fantasi. Di sini, saya ingin berkongsi kepada kalian, apa yang saya dapat dan kepuasan dalam menonton kesemua filem ini. 


Trouble At Timpeltill

Pengarah: Nicolas Bary
Pelakon: Carole Bouquet, Gérard Depardieu, Armelle, Léo Legrand
Genre: Pengembaraan 
Durasi: 1 Jam 43 Minit




Bagi saya, saya tidaklah terlalu menggemari filem ini (maaf jika saya bersifat terus). Filem ini indah dari segi set dan props. Ianya sebuah filem fantasi kanak-kanak. Dikatakan pengembaraan tetapi saya tidak dapat merasakan pengembaraan ini. Mungkin lebih kepada perubahan dan perjalanan dalam mereka menjadi matang dan memahami kedewasaan. 
         Ceritanya berkisah kawasan kampung Timpeltill yang tidak terlalu aman kerana penduduknya sering diganggu oleh kanak-kanak nakal di kampung tersebut. Lalu pihak ibu bap mengambil keputusan untuk bercuti dan tinggalkan kanak-kanak ini untuk belajar berdikari sendiri. Jadi, ceritanya bermula. Di sinilah mereka mula belajar mengendalikan kampung tersebut dengan kumpulan mereka terpecah kepada  dua : baik dan jahat. Seperti biasa, yang baik akan menang dengan simpati dan pengorbanan. 
         Cerita untuk kanak-kanak, ya tetapi subjek yang diketengahkan agak berat - mengenai kedewasaan dan kesalahan untuk menghukum mana yang baik dan yang salah. Cerita yang biasa tetapi set, rekaan produksi dan warna yang digunakan dalam filem ini sungguh cantik dan indah. Bagai kita rindukan filem-filem indah seperti ini - kerana selalu dijolokkan dengan filem-filem kotor dan bersifat realiti. Lakonan juga sangat mengasyikkan. Menonton hampir 50 orang kanak-kanak berlakon dalam filem, memang menghiburkan.
         Akhir sekali, dari 10 bintang, saya berikan 5 bintang. Terima kasih menghiburkan saya. Cuma saya mahu lebih. 




In Mom's Head


Pengarah: Carine Tardieu
Pelakon: Karin Viard, Chloé Coulloud, Kad Merad, Pascal Elbé, Jane Birkin, Jan Hammenecker
Genre: Komedi / Drama
Durasi: 1 Jam 35 Minit

Saya sayangkan filem ini. Dari segi pengarahan, cerita, lakonan, rekaan produksi, sinematografi, tiada cacat cela kepada filem ini. Saya sukakan setiap inci diberikan kepada saya. Ianya cukup indah. Cukup bernyawa. Cukup rasa. 
            Lulu (Lucille - jangan kau tumbuk aku) mempunyai masalah dengan ibunya. Dia tidak memahami ibunya. Ibu akan sering duduk di laman rumah dan termenungkan tembok kosong selama berjam-jam. Lalu Lulu membuat kesimpulan, mungkin ibunya memikirkan ayahnya dan moyangnya yang mati dalam keadaan tragik. Dengan itu, dia mungkin memahami ibunya. Muncul satu gambar yang mana ibunya sedang berpakaian Hawaii dengan senyuman yang indah. Dia tidak pernah melihat ibunya tersenyum seperti di dalam gambar itu. Dia mahu tahu kisah lalu ibunya. Akhirnya dia menemui cinta sejati ibunya - yang kacak, yang baik. Di sinilah peranannya sebagai anak, bermula. Membantu ibunya gembira kembali ataupun mengekalkan keluarga kembali bersatu di saat hujung nyawa ibu. 
                    Dari apa yang ditulis, mungkin ini adalah filem drama yang sedih. Tetapi percayalah, ini sebuah filem yang sangat menghiburkan. Ceritanya yang unik dengan budaya yang berbeza (cinta adalah budaya mereka). Penyampaian watak dan cerita yang lain membuatkan anda melekat dengan filem ini. 
                     Saya sangat sayangkan rekaan produksinya. Mainan warna dinding, mood dan baju setiap karektor memberikan semangat kepada saya untuk terus fokus (kerana saya belajar filem). Terdapat satu syot ada cerminan refleksi ibu, seekor cheetah dan kekasih lama ibu sedang duduk menghadapap kamera sambil kamera kembali fokus kepada mereka. Metafor yang saya tidak dapat tangkap hingga kini. Cukuplah saya katakan filem ini cantik dan penuh makna bagi saya. Sempurna. Akhir cerita yang sungguh sempurna. 
                   Dari 10 bintang, saya berikan 9 1/2!




The Girl From Monaco

Pengarah: Anne Fontaine
Pelakon: Fabrice Luchini, Roschdy Zem, Stéphane Audran, Louise Bourgoin
Genre: Komedi / Drama / Romantik
Durasi: 1 Jam 35 Minit

Biarkan saya sendiri. Tak perlulah saya menonton filem ini. Saya cuma sukakan pengakhiran filem ini sahaja. Saya tak sukakan watak lelaki peguam tuanya. Saya tak sukakan watak femme fatalenya. Tak sukakan keseluruhannya. Bagi saya, ini filem yang menyakitkan. 
             Bertrand (peguam tua lemah) mendapat satu kes di Monaco. Dia diberikan seorang bodyguard untuk menjaga keselamatannya. Bodyguard ini memberikan nasihat mengenai seorang perempuan pembaca berita mengenai cuaca yang sangat nakal (notty) dan mengasyikkan. Bertrand tak mahu dengar. Dia degil dan mula jatuh cinta - kerana seks yang diberikan sangat hebat dan berlainan. Jadi dia tertarik dengan perempuan ini (slut). Akhirnya perempuan itu mati, dia berjaya dalam kesnya dan dia dipenjara. Bodyguard tu hanya mampu mengiakan. 
               Bosan bukan? Tidak. Ceritanya agak menarik. Saya cuma tidak sukankan karektornya. Lelaki peguam yang lemah dari segi syahwat, tidak kreatif dan membosankan. Bertemu dengan perempuan femme fatale yang gedik, mengada-ngada, tidak menghormati cinta dan suka berparti. Manakala bodyguard itu adalah bekas kekasih perempuan itu yang banyak kali memberikan amaran dan nasihat kepada lelaki peguam tua itu. Jadinya cerita ini drama yang diselang selikan dengan komedi serta romantik tua yang menggelikan. Agak membosankan. Cuma akhir cerita membuatkan aku terjaga. Bodyguard itu sukakan Bertrand - kerana rasa tanggungjawab dia untuk menjaga peguam tua itu dari segala sudut. Itulah cinta. 
                 Dari 10, saya berikan 6 kerana review ini membuka minda aku untuk memahami filem ini yang sebenarnya. 




Micmacs


Pengarah: Jean-Pierre Jeunet
Pelakon: Dany Boon, Dominique Pinon, Yolande Moreau, André Dussollier
Genre: Komedi / Penyiasatan
Durasi: 1 Jam 44 Minit

Dah lama saya mencari filem Jean-Pierre Jeunet. 'Amelie', 'Delicatesen'... Yang saya baca, filem-filem Jean-Pierre Jeunet sangat menakjubkan. Permainan warna dengan watak yang sinikal, menjadikan beliau pengarah Perancis paling berbakat masa ini. Filem ini sungguh menghiburkan dengan menghubungkan dunia imaginasi beliau dengan dunia peperangan kelip-kelip kini.
             Bapa Bazil mati hasil peninggalan bom bawah tanah selepas perang di mana-mana negara Arab. Ibunya jadi gila dan Bazil dihantar ke rumah anak yatim. Dia kemudiannya lari dari tempat itu. 10 tahun kemudian, Bazil bekerja di kedai video. Sedang elok dia memimikkan dialog sebuah filem yang dia tonton, terjadinya kejadian tembak menembak di luar kedai dan dia terkena peluru sesat. Dia hampir mati tetapi tidak mati. Dia berjumpa dengan sekumpulan orang-orang tidak berkeluarga yang tinggal serumah di kawasan pelupusan sampah. Setiap seorang dengan kebolehan masing-masing. Elastic Girl dengan kebolehan contortionist (badan yang elastik), Mama Chow ketua kumpulan dan tukang masak yang hebat, Remington bekas ethnographer bercakap dalam nuansa indah (dari kata-kata lama), Buster pernah membuat Rekod Dunia dengan meriam manusia, Tiny Pete seorang tua yang menjadikan skulptur sebagai rakannya (serta yang paling kuat), Slammer bekas banduan dan Calculator, perempuan remaja yang sangat matematik. Ketika membawa balik sampah, Bazil bertemu dengan 2 bangunan pembikin senjata api yang bertentangan satu sama lain. Kedua-dua itulah yang menghancurkan hidup Bazil. Bazil mengambil keputusan untuk membalas dendam. Dengan cara yang sangat sinikal dan lembut.
             Kenapa filem ini bagus? Pernah menonton 'Ocean Eleven'? Ceritanya lebih kurang begini tetapi lebih bersifat terasing (tidak sehebat Hollywood). Filem ini sangat baik dari segi naratif cerita, rekaan produksi, perkembangan karektor dan permainan warna. Filem ini sungguh warna-warni walaupun warnanya kelam (bagi menggambarkan kehidupan yang tidak aman jika peperangan masih berlaku dengan pengedar senjata api ini masih wujud). Dari segi lakonan, anda mungkin tidak akan perasan dengan emosi yang mendalam dengan syot muka selama 2 minit untuk menangis. Anda tidak akan dapat itu. Lakonannya sungguh jujur, cepat dan tidak membosankan. Mungkin kerana cerita yang padat dan tidak membosankan serta longgar menyebabkan pelakon tidak memerlukan masa terlalu lama untuk memahami emosi karektor. Ianya mudah dan sangat menghiburkan. Saya sukakan penggunaan warna, cerita yang tidak dijangka serta akhir cerita yang cantik. Filem ini sangat dekat di hati penonton, pemahaman watak yang jelas, cantik serta sinikal dan satira.
              Dari 10 bintang, saya berikan 8 1/2.




Heartbreaker


Pengarag: Pascal Chaumeil
Pelakon: Romain Duris, Vanessa Paradis, Julie Ferrier, François Damiens
Genre: Romantik Komedi
Durasi: 1 Jam 45 Minit

Pelakon utama perempuan bagai Madonna (gigi jarang depan) dengan lelaki utama macam tak terurus (mungkin budaya mereka menganggap lelali rambut kerinting tidak bersikap dengan jambang penuh di muka adalah lelaki macho dan sangat hot). Bagi saya, filem ini menghiburkan. Noktah. Itu sahaja. Ia mengenai cinta dan cinta. Seperti biasa, lelaki yang tidak percayakan cinta akhirnya bercinta dengan tugasnya yang memerlukan dia memecahkan hati perempuan itu.
            Alex serta kumpulannya (kakaknya dan suami kakaknya) bekerja sebagai penyedar bagi perempuan yang tidak menyedari kedukaan dalam bercinta dengan pasangan mereka. Mereka sudah berjaya dengan misi di Jepun dan seluruh dunia. Mereka mendapat misi baru. Misi yang sangat sukar kerana hanya 5 hari diberikan, mereka dalam keadaan pokai, ah long mengejar mereka dan perempuan itu sangat bahagia. Pegangan mereka, mereka tidak mahu menerima misi jika perempuan tersebut bahagia. Tetapi mereka terpaksa. Alex mulakan langkah sebagai bodyguard perempuan tersebut. Dan akhir sekali... biasalah. Anda tahu.
               Ceritanya agak klise tetapi menghiburkan. Anda tidak akan lupakan watak dan cerita ini kerana lagak serta gurauan filem ini sangat baik dan mengasyikkan. Tidak ada apa yang hendak dikatakan. Ia sebuah filem yang baik, dibikin dengan baik dan menghiburkan tetapi biasa bagi saya. Permulaan yang sungguh baik di mana watak diterangkan dengan baik sekali.
               Dari 10, saya berikan 7 bintang kerana sesungguhnya saya gelak tak keruan sepanjang filem ini. Walla!




Crossed Tracks


Pengarah: Claude Lelouche
Pelakon: Fanny Ardant, Dominique Pinon, Zinedine Soualem, Myriam Boyer, Michèle Bernier
Genre: Thriller / Penyiasatan
Durasi: 1 Jam 43 Minit

Nah aku berikan lagi trailer filem ni!


Ini adalah antara filem terbaik yang pernah aku tonton! Aku pembaca novel tegar. Kupasan filem ini, dari babak ke babak, di ceritakan dengan konsep novel thriller. Ia sungguh menakjubkan dan sangat cantik. Ia sebuah filem thriller dan penyiasatan dengan permulaan cerita yang hitam putih - ala-ala noir - di mana kita akan disajikan bahawa penulis perempuan ini adalah seorang yang jahat. Sanggup membunuh 2 orang lelaki untuk menjadi penulis yang baik dan popular. Tetapi jika diteliti keseluruhan cerita ini, novel yang dibikin penulis di dalam filem ini sebenarnya adalah sama seperti filem itu sendiri. Cuma akhir cerita yang berbeza.
               Judith Ralitzer disiasat kerana kes pembunuhan seorang lelaki (setiausahanya) yang dikaitkan dengannya. Jadi, dia mula bercerita sejak mula dia bertemu dengan lelaki tersebut. Ah... Malas aku nak ceritakan sinopsisnya. Sepanjang review ini, anda akan tahu.
                Mula cerita, selepas flashback Judith anda akan ditayangkan syot jalan raya low angle dengan sangat perlahan dissolve (dalam 3 minit) dan nama-nama utama pun keluar. Ada satu suara DJ radio memberi berita terdapat seorang pembunuh pedophilia yang menggunakan magik sebagai tarikan utamanya, telah berjala meloloskan diri dari penjara. Pierre Laclos sedang menyanyi sambil membawa kereta. Dia singgah di stesen minyak. Dia membuat trik magik kepada budak dengan keluarga. Dia ternampak sepasang pasangan bergaduh dan lelaki tersebut tinggalkan perempuan itu di stesen minyak. Pierre kemudiannya mahu menumpangkan perempuan itu ke tempat dituju. Perempuan itu tidak mahu. 3 pagi. Matahari memancar, Pierre masih menunggu perempuan itu. Huegett namanya. Huegett setuju. Pierre memperkenalkan dia adalah penulis hantu (ghost) untuk Judith. dan Huegett teruja. Pierre ajak Huegett jalan di dalam hutan tetapi Huegett tak mahu. Pierre beritahu yang dia bukanlah penulis hantu yang dimaksudkan. Dia cuma seorang lelaki yang meninggalkan isteri dan anak serta kerja di rumah. Huegett ajak Pierre menjadi tunangnya dan balik ke kampungnya bertemu keluarga dan anak perempuannya. Pierre setuju. Di kampung, Pierre keluar bersama anak perempuan Huegett menangkap ikan di tempat yang orang lain tak tahu. Malam itu, mereka semua berseronok. Esoknya Pierre balik dan rahsia Huegett pecah - tunangnya yang sebenar datang ke kampung dan membuat onar. Di dalam kereta, Pierre mendengar berita yang pembunuh bersiri magik itu telah berjaya ditangkap. Pierre ke Cannes untuk bertemu dengan Judith. Dia menerangkan ceritanya kali ini kepada Judith. Dan dia tak mahu lagi menjadi penulis hantu lagi. Dia mahu tanda tangan bukunya sendiri kali ini. Judith tak berapa suka tetapi terpaksa. Di satu set lain, Pierre menelefon kakaknya yang suaminya tidak balik selama tiga hari meninggalkan isteri, anak dan kerjaya. Pierre kemudiannya menyiapkan novelnya dan mendengar ura-ura yang Judith akan tetap menjadikan novel 'God, the Other' sebagai novelnya, bukan Pierre Laclos. Esoknya, Pierre hilang. Dia dikatakan mati terjatuh di dalam laut. Mayatnya tak dijumpai. Akhirnya, novel tersebut jadi milik Judith. Huegett yang mengenali Pierre menyerang Judith kerana telah membunuh Pierre. Judith disoal siasat. Pierre muncul di balai polis. Dia tak mati. Dia sengaja membuat begitu untuk mengajar Judith kerana tidak menepati janji. Lagipun, dengan kontroversi, novelnya akan laku dengan hebatnya. Oleh kerana malu dengan diri sendiri, Judith membunuh diri - untuk menjaga nama dan kesalahannya mengenai Pierre mati begitu saja. Huegett dan Pierre bertemu lagi di tempat pertama mereka bertemu. Dan mereka bercium. Tamat.
             Jadi, anda faham? Faham kenapa filem ini filem terhebat? (Gelak). Filem ini agak memeningkan. Jadi anda perlu menyimpan segala memori dari babak ke babak untuk mengingati keseluruhan cerita pada akhirnya akan dirungkai. Jika tidak, anda akan jadi seperti jiran saya, tidur. Sepanjang cerita, anda akan disajikan konsep cerita yang bagai anda membaca novel. Prolog, bab 1 dan seterusnya serta epilog. Ianya sebuah filem thriller dan novel itu juga thriller. Filem ini sungguh baik hingga anda tak tahu mana cacatnya. Saya bukanlah penggemar filem artistik sangat. Saya lebih mengutamakan cerita berbanding sebuah filem itu sendiri. Jika ceritanya bagus dan sangat bagus, saya akan sayang. Rekaan produksinya biasa, tetapi dibantu oleh lakonan yang cemerlang setiap pelakon dalam filem ini. Anda akan tertanya-tanya apa yang akan terjadi dan anda akan membuat cerita sendiri. Tetapi akhirnya anda ditipu. Itu adalah sajian pengarah atau penulis untuk membuat anda tertipu (biasalah untuk thriller). Jadi, saya sayangkan filem ini. Saya sangat sukakan filem ini seperti saya sukakan filem 'Chloe' (oleh Atom Egoyan).
          Jadi, dari 10 bintang, saya berikan 9 1/2 juga. Terima kasih kerana membuat saya nak menampar Claude Lelouche.





. . .


Jadi, itulah dia review saya. Keseluruhannya, saya puas dengan sajian pesta filem kali ini. Saya puas. Saya memang menyayangi filem-filem Eropah khususnya dari Perancis. Dan malam ini, saya akan tidur nyenyak bermimpikan Bazil, Pierre Laclos dan Lulu (Lucille) berbual dengan saya sambil makan keropok lekor. Selamat malam semua!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan