... banyak perkara - mengenai filem.
Dia dan aku duduk di dalam 1 bilik. Mula bercakap mengenai filem Malaysia. 'Ngangkung' yang mula mendapat kutipan RM8 juta.
"Baguslah. Sekurangnya kita tahu penonton masih mahu dan akan menonton filem kita."
"Tapi bagus ke filem tu?" bagaimana aku nak kata?
"Memang macam bangang cerita dia. Aku dah tengok. Memang teruk gila ar. Banyak masalah dalam cerita tu. Dari segi pelakon, cerita, pengarah. Semuanyalah. Tapi boleh dapat RM8 juta. Pelik tapi bagus."
Dia mula melenting. Dia katakan yang dia pernah bekerja dengan pengarah filem tersebut. Tetapi dia tak mahu kata lebih. Aku juga tak boleh mengagak. Dia tidak menonton filem itu (sebegitu) kerana dia tak mahu menyokong.
"Adakah aku menyokong? Tak! Aku cuma mahu menonton untuk mengetahui bagaimana filem itu. Dan menyokong industri filem kita. Kalau bukan kita, siapa lagi? Orang indon?"
"Bila kau tengok, maksudnya kau sokong. Kau beratur macam semut. Cuma kau tak angkat beban je. Kau nak tonton. Dan kau bayar. Maksudnya kau dah sokong filem itu kerana penerbit (David Teo) akan bersyukur dengan rezeki yang diterima dan akan terus membuat filem begitu lebih banyak lagi.
Tujuan dia adalah untuk mencari wang. Semuanya untuk duit. Kau tahu kenapa dia tak buat filem cina walhal orang cina sekarang ni pun sudah mula menerima filem berbahasa cina tempatan sekarang ni?"
Kerana melayu mengikut. Menunduk kerana mahukan duit - yang untuk mengisi pasir di dalam perut mereka.
"Jadi, kalau kau nak tengok filem kita lebih baik, kau kena buat trend. Bukan ikut trend. Bila kau buat trend baru, barulah filem kita ni akan jadi lebih baik. Kita ada dua benda dalam pembikinan filem ni. Untuk duit dan untuk mahakarya - artsie film. Untuk kita membikin trend, kita kena gabungkan dua perkara ni. (Untuk duit, trend mengikut apa yang penonton mahu - jadilah filem seperti 'Ngangkung\, 'Adnan Sempit', 'Damping Malam'. Untuk mahakarya, kita membuat filem dari hati, emosi tetapi tak semua faham - jadilah filem... apa ya? Yang bukan kehendak penonton tongong kita).
Jadi kita harus mencipta trend. Dengan gabungan dua perkara ini," dia beredar.
Benar kata dia. Penonton kita sudah terlalu lama disogokkan dengan filem-filem yang begini. Apabila filem kita semakin hebat dengan pembikinan filem efek, CGI, kita sudah kehilangan isi filem itu sendiri. Kita sendiri harus menyokong filem yang baik. Bagaimana nak tahu filem itu adalah sebuah filem yang baik?
Dia kembali.
"Aku bercakap mengenai sambutan penonton. Bila penonton tak mahu menonton filem kita, buat apa kita buat filem? Walaupun filem kita tu ciptaan trend? Bila filem kita tak ada penonton, adakah pawagam akan mengambil filem kita untuk tayangan?" aku memprovokasi.
"Itu tujuan filem sebenarnya. Untuk mengajar penonton. Untuk memberikan suasana baru kepada mereka. Sememangnya filem itu untuk hiburan. Tetapi dalam pada masa yang sama, ia haruslah berilmu. Bukan mengenai moral dan mesejnya sahaja yang penting. Banyak perkara perlu diambil. Yang penting sekarang, bila sebuah filem itu buruk, adakah patut kita menonton - walaupun sekadar menyokong 'industri filem tempatan'? Kita kena mendesak penonton kita untuk menjadi bijak. Untuk jadi baik. Untuk jadi intelektual."
Kau suka filem apa?
"Kala Malam Bulan Mengambang, karya Mamat Khalid. Mahakaryanya. Terbaik dari semua filemnya," hembus.
Sebenarnya pertikaian kami panjang. Aku cuma malas pula nak taip dalam blog ni. Ew... aku nak berkongsi dengan kalian apa yang dia rasa dan apa yang aku rasa. Pendapat adalah hak masing-masing. Aku cuma berkata, sampai bila menunggu bintang gugur? Yang penting bukan angkasawan yang ke bintang. Tetapi bagaimana kita sebagai manusia menarik bintang turun ke bumi.
Dan dia teruskan kerjanya - mengikut penggambaran filem tempatan.
merindui zaman filem2 Yasmin Ahmad...T_T
BalasPadam