Ahad, 3 April 2011

Langkah Si Kaki Suci

Mereka berjalan dengan langkah tanpa rasa gentar menuju satu arah tak pasti. Kaki kanan, kaki kiri perlahan melangkah dengan yakin. 'Itulah arah tujuan untuk kami' kata hati suci mereka. Segala liku, sakit senang dan payah mereka tempuhi dengan penuh azam dan semangat. 
          Mulanya mereka belajar dengan memegang tangan dan diarah untuk berdiri dan berjalan. 
          "Ta-teh..."
          Mereka berdiri dengan kaki suci mereka. Belum mampu berjalan untuk menampung berat badan ringan tanpa dosa mereka. Setiap kali mereka jatuh, segera diusap dan dibangunkan semula, memujuk dan memberikan semangat untuk terus berjalan lagi. Terus melangkah. 
          Mereka diberikan kasuh sebagai lapik bagi tapak kaki mungil mereka yang nipis tanpa pengalaman. Suci kami katakan. Jika kasut itu rosak mahupun sudah buruk dan tidak lagi muat, mereka diberikan lagi dengan kasut yang baru. Satu demi satu kaki itu diberikan keselesaan dan keyakinan untuk terus melangkah. Dan langkah itu diteruskan dengan larian...

. . . 

Kini, kaki mereka tidak lagi suci. Langkah mereka mula longlai. Dahulu mereka sudah mula berlari tetapi kini mereka mula menapak. Mungkin sudah bertemu dengan arah tuju mereka. Mungkin mereka sudah penat mencari arah tak pasti. Mungkin juga mereka sakit. Mahu diteruskan jalan dan langkah tetapi umur dan badan tidak mengizinkan. 
            "Mungkin juga kami sudah terlambat. Adakah kami perlua menyesal?"
            Kaki yang dulunya suci, kini penuh dengan daki dan kerutu tua serta kupas kulit yang teruk. Kaki itu tergantung pada alat rehat badan. Mereka senyap. Berhenti memikirkan jalan dan langkah yang mereka pernah lalui. 
            Semasa kecil, kaki itulah yang dengan semangat berlari menendang bola bersama rakan-rakan. Kaki itu jugalah yang berenang menyelamat adiknya yang hampir lemas. Kaki itu jugalah digunakan untuk memanjat dari ranting ke ranting mencari rambutan tok nek di kampung. Semua itu manis dan masih lagi suci. Tetapi bila mereka sudah tahu langkah yang harus dibuat (mahupun tidak harus), kaki itu mula memanjat lagi. Bukan di kebun tok nek mereka, tetapi di rumah jiran kampung sebelah. 
           "Mangga Pak Abu ni kuning semacamlah. Rugi kalau tak makan! Mari panjat!"
           Kaki itu mula digunakan untuk mencuri dan melarikan diri. Bila didenda, kaki itu jugalah yang sakitnya di rotan. Bila di sekolah juga sama. Kaki itu mula dihayunkan dengan lenang pada badan rakan sebaya. Dengan ringannya kaki itu yang mulanya suci, dipijaknya badan dan disepaknya muka. Bila didenda, kaki itu cuma berdiri lemah, lengah. Sakit tak kepalang kerana habis waktu sekolah, kaki itu akan mulakan kerjanya kembali. 
           Zaman persekolahan berlalu. Kaki mula menapak ke bidang yang lebih serius. Zaman perkerjaan tidak kenal erti lelah dan bosan. Setiap kali bosan, kaki itu mula menapak ke kelab malam. Di sepak-sepak ke udara dan lantai mengikut rentak muzik. Bersama rakan, kaki itu tidak kenal bosan. Wang kerja mereka yang tk seberapa diberikan kepada kawan untuk mengenal dunia. Dunia yang sementara. Kaki mereka tidak menjadi mangsa tetapi apabila salur pada tangan, kaki pun tidur. Yang hitam itu putih, yang putih itu biru. 
           Kaki mereka semakin longlai, lemah. Akhirnya, mereka sedar yang benda itu tidak akan membawa mereka ke mana-mana. Lalu mereka putuskan untuk terus melangkah. Kali ini dengan lebih bertanggungjawab dan berdikari. Mereka mula bekerja. Kaki mereka giat melangkah ke sana ke mari bekerja dan membantu. Kali ini mereka berjaya. Mereka mula menerima tawaran untuk melangkah dengan lebih jauh. Mereka akur. Mereka jauh melangkah untuk terus berjaya. Dahulu kedai mereka kecil, kini sudah besar dengan hasil usaha sendiri dengan tenaga kerah kaki mereka. Perlahan-lahan mereka berjaya. 
           Kaki cuma mengekor setiap gerak geri sang penyuruh. Ya, mereka mula mengenali rasuah, riba dan segalanya untuk segera melangkah ke hujung. Arah mereka yang semakin jelas, sudah semakin mendekat. Akhirnya, sepandai topai melompat jatuh juga mereka ke lumpur. 
           Kembali kaki mereka berhenti melangkah. Arah tuju yang sudah dekat semakin menjauh. Berat rasa untuk terus melangkah. Bertemu dengan sang perempuan. Sekian lama berkenalan, mereka berkahwin dan kembali bersemangat. Tetapi kali ini, mereka mahu melangkah kecil. Bukan berlari, bukan melompat. Cuma melangkah berjalan biasa menuju destinasi. Arah itu tak pasti tetapi akan tiba juga pada akhirnya. 
            Lecak, lumpur, tahi, minyak. Segala macam kotor pernah diredahi mereka. Langkah mereka kecil tetapi ada sekala, langkah mereka besar untuk kaki yang baru. Kaki yang suci seperti kaki mereka dahulu. Mereka mula membeli kereta. Mula membeli rumah. Usaha mereka semakin berjaya. Tetapi langkah mereka masih lagi kecil. 
            Begitulah seterusnya dalam kehidupan mereka. Kaki anak mereka juga sama seperti mereka dahulu. Sudah mengenal erti berlari dan berlompat. Cuma kali ini, kaki anak mereka diberikan tunjukan ajar dengan hati-hati supaya tak salah tapak menapak. 

Kaki itu masih tersadai sidai pada pangkin rumah mereka. Digoyangakn sikit untuk menghalau lalat. 
             "Sudah puaskah kami melangkah? Sudah tibakah kami pada jalan kami?"
             Menatap keindahan agung di depan. Menanti apa, mereka tak pasti. 
             "Anak awak dah balik...," isterinya berucap. 
             Kakinya kembali melangkah. Mahu bertemu dengn kaki suci yang baru lagi. Sudah bijak berjalan cucunya...

1 ulasan: