Isnin, 20 Jun 2011

Aku, Kau, Sila Tengok Dia!

INT. DALAM RUMAH - MALAM

Seorang budak lelaki, berumur 10 tahun sedang bermain dengan mainan figura adiwiranya. Adiwira itu membelasah adiwira ini dan tercampak jauh. Adiwira ini kembali bangun dan memancutkan senjata pada lengan entah mana datang pada adiwira itu. Adiwira itu terkecai. Tetapi kembali tercantum dan mencampak budak lelaki itu pada adiwira ini. Menghempap adiwira ini dengan ganas hingga juga membunuh adiwira ini. Adiwira itu berjalan ke arah budak lelaki tidak bernyawa itu, memanjat badannya dan berdiri megah sambil menunggu apa, tak pasti.

TAMAT

. . .

Itulah babak terakhir untuk skrip filem pendek aku. Aku fikir mahu mengarahkannya pada hujung tahun ini, pada waktu cuti sekolah. Bolehlah aku memanggil kawan-kawanku untuk melakonkan watak budak dan... Oh ya, pelakon aku hanya seorang. Cuma aku perlukan orang yang boleh melakukan stop motion sahaja.

        Mungkin Junid. Dia gemar bermain efek gambar dan video. Dia juga selalu menyunting filem-filem pendek aku. Komputer juga amat canggih. Cuma... aku dengar dia akan bercuti ke kampungnya di London selama cuti sekolah ini. Padli mungkin boleh. Tapi dia pemalas. Tidak! Bukan Padli!

       Alamak... siapa saja yang boleh membantu aku?

. . .

Aku, Karim. Lelaki normal, berumur 14 tahun dengan semangat filem yang sangat tinggi. Aku ada menonton banyak filem. Yang ditonton di wayang, mahupun dibeli di kedai cina dengan kualiti yang baik dan koleksi yang menyengat. Filem yang ditayangkan di sini, tak banyak yang dapat membuka minda aku.

          The Matrix telah membuka minda aku kepada filem tidak sedar kepada aku. Keunikan dan kecelaruan ceritanya telah mencarik minda aku satu persatu kepada dunia filem yang sungguh besar. Benar, aku pada mulanya tidak faham dan mencampakkan kata filem ini tidak bagus tetapi setelah mendengar penerangan oleh orang dari Youtube, akhirnya aku faham dan aku menonton filem itu berulang-ulang kali.

         Lama kelamaan, koleksi filem aku bertambah. Kebanyakkan filem yang dikumpul adalah filem tidak masuk panggung. Seperti Eternal Sunshine of The Spotless Mind, Dark City, Cabinet of Dr Caligari (versi remake tahun 2000 - aku tak tahu filem asalnya pada tahun 1930-an!), dan Memento (pecah kepala).

        Aku sukakan filem-filem ini kerana mereka akan memberikan adrenalin yang merangsang otak aku untuk mengepam darah yang banyak bagi membolehkan aku terjaga membuat kerja sekolah - walaupun tidak banyak yang betul, kerja sekolah aku siap!

        Jadi, kamu mahu aku mencerikan bagaimana aku berkenalan dengan Nirsha? Aku boleh ceritakan. Nirsha berumur 14 tahun, sebaya dengan aku...

. . .

"Umur Nirsha 14 tahun, sebaya dengan kau. Dia baru pindah. Aku dengar bapak dia, negro. Kawin dengan mak dia. Mak dia orang kelantan. Dan aku rasa, bapak dia mesti selalu pukul dia,"

           "Haih, sampai ke situ pun kau tau? Aku jiran dia pun tak tau apa-apa,"

           "Aku peninjau. Ada kau tengok muka dia? Yang selalu tertutup dengan rambut panjang dia?"

            Aku menggeleng. Betul juga kata Padil ni. Dia ni memang pemerhati. Baru 3 hari Nirsha pindah ke tempat ni, dia dah selidik dah asal usul Nirsha tu. Seram pula aku rasakan bila duduk seblik dengan dia sambil mengintai jenguk Nirsha di sebelah rumah sedang duduk menghadap dinding.

             "Aku ada nampak lebam kat muka dia. Kat mata dengan mulut. Kesian pulak aku tengok si Nirsha tu. Mak dia baik...," menambah kekeliruan aku. Mana pulalah dia tahu. Pernah masuk mak diakah? Mak dia pernah bagi makankah?

              "Aku rasalah. Aku tak pernah pergi depan rumah dan mintak makan. Agak-agaklah kau ni. Aku taklah seteruk tu,"

               Macam faham pula kau membaca fikiran aku. Aku menjenguk lagi Nirsha yang masih tak berganjak. Dari bilik aku yang terletak di tingkat dua, boleh menampakkan taman di rumah sebelah serta ruang tamunya sedikit. Aku juga boleh nampak bilik di seberang bilik aku. Yang sekarang ni boleh menampakkan bayangan tubuh badan sedang menukar baju. Hah?! Bila masa dia naik ke bilik?

             Padil tidak berganjak dari tempat duduknya dengan mulit ternganga sedikit dan mata tidak berkelip. Aku menolak Padil dan menutup tingkap. Malu.

              "Dah nak Maghrib, balik!"

             "Alah... kacaulah kau ni. Masa cam ni lah pulak kau fikir Maghrib. Kedekut," dengar sayup-sayup tapak kaki Padil turun ke bawah rumah semakin menghilang.

              Jujur aku katakan, aku juga tidak dapat melarikan fikiran aku dari bayangan Nirsha tadi. Tubuhnya yang... entah. Aku pun tak tahu bagaimana mahu bayangkan kerana ia cuma bayangan! Bukan nampak betul pun. Tapi kalau aku intai sekali lagi, mungkin boleh nampak.

             Sedikit saja aku mahu tengok. Kain langsir yang tertutup aku selak sedikit bagi memuatkan pandangan mata sebelah melihat apa yang berlaku di bilik seberang sana. Bayangan tubuh badan Nirsha tadi dah tak ada. Aduh... melepas!

              "Tengok apa?"

               Woi! Terkejut aku bila ayah aku betul-betul di pipi kiri ku sambil bertanya kenapa. Berderap darah macam aku tonton filem The Shutter (versi Thailand). Aku terbaring sambil mengelap peluh di seluruh badan.

                "Intai apa? Tak ada apa-apa pun,"

                 Ayah tak akan nampak. Dia tak akan faham. Dunia dia lain, dunia aku lain. Aku anak ayah, dan ayah anak atuk. Hahaha!

                "Dah, dah. Padil dah balik dah. Jom sembahyang jemaah sama. Cepat siap,"

. . .

Aku duduk makan rehat pagi seperti biasa seorang diri. Macam biasa. Padil pergi bermain dengan kawan-kawannya. Takkan aku nak turut serta dengan dia? Aku dah masuk remaja, takkan aku nak main-main macam budak-budak? Junid melepak di perpustakaan dan tak makan pagi. Bosanlah duduk di sana dengan perut kosong. Kawan-kawan yang lain? Mereka selalu menganggap aku pelik. Aku suka berimaginasi yang pelik-pelik. Kadang aku membuat bunyi yang mengganggu dunia sempurna mereka. Dunia bosan.

              Aku kembali melihat skrip filem pendek yang aku tulis seminggu lepas. Mahu mencari kesilapan. Mungkin ada celah yang boleh aku sertakan Nirsha sekali untuk penggambaran filem pendek hujung tahun ini.

             "Okay. Saya setuju jadi heroin filem pendek awak. Hujung tahun ni pun saya tak ke mana,"

             Ah, sudah. Dari mana pula dia datang? Bila masa dia intai tengok tulisan tak cantik aku ditulis pada buku latihan sekolah comot tak kemas ni? Kenapa perempuan selalu muncul dalam hidup aku dalam masa yang tak sesuai? Bekal mak aku beri tadi pun aku tak sempat simpan. AH!!! Aku anak mak yang tidak pandai menulis dengan buku yang comot, tulisan yang buruk dan berangan tak sudah serta muka yang tak tahu kacak atau tidak!

              "Jangan risau. Saya baca skrip awak tu, saya rasa menarik. Mungkin awak nak tambah babak untuk saya, dan saya rasa elok juga saya mulakan karier saya dengan berlakon,"

               "Ma... Man, mana awak tahu? Saya nak ambik awak jadi heroin?"

               "Nama saya awak tulis berulang kali dengan muka saya dalam syot filem, dekat buku latihan awak tu," wah, mata yang sangat hebat. Cantik dan bulat matanya. Irisnya perang dengan kening yang tebal. Alur mata dia sangat kemas, cantik. Bila dia senyum, sempurna sungguh jaluran matanya. Aku nampak warna merah, kesan sesuatu pada mata kiri. Cepat-cepat Nirsha menutup kesan itu dengan rambut lembut wangi ala-ala model Eropah.

                "Jadi... awak sudilah untuk berlakon dalam filem saya ni?" lancar sungguh pertanyaan aku. Ini semua untuk aku meluangkan masa dengannya. Aku boleh melakukan tekan tubi untuk filem ini - cuma alasan untuk mengenali dia lebih rapat.

                Dia cuma mengangguk. Alamak, comelnya dia ni... sekali lagi kesan merah pada matanya kelihatan.

                "Saya pergi dulu. Apa-apa, jumpa esok,"

                 Belum pun sempat aku beritahu apa-apa (seperti aku duduk berjiran dengan kau, lalu bolehlah aku berjumpa kau selalu!), Nirsha berlalu pergi meninggalkan aku seorang di kantin, bertemankan buku latihan, bekal mak aku beri dengan kesan sos cili masih di pipi - sepanjang aku bercakap dengan Nirsha, kesan sos itu melekat di pipi!.

. . .

Balik itu, aku ada nampak Nirsha. Dia berjalan kaki seorang diri ke rumah. Tak nak pula aku mahu berjalan dengan dia. Aku cuma melihat dia dari jauh. Lenggok badannya amat menjatuhkan hati. Nangka pun tak jatuh macam tu. Bila sudah hampir ke rumah, baru aku perasan, lagaknya aku melihat dia macam seorang psycho melihat mangsa dari jauh untuk membunuh tanpa sebab dengan alasan kepuasan.

               Dia membuka pagar dan memandang ke sini.

               Dia senyum pada aku. Aku senyum balik. Dia menunggu di pagar. Menunggu aku? Kenapa kau tak masuk?

              "Awak ikut saya ke?" perasan. Ingat cantik sangatkah? - memang ya!

              "Taklah. Rumah saya kat sini je. Kita berjiran,"

              "Kita berjiran rupanya!" gelak dia, menampakkan gigi sempurnanya, melenggokkan lembutnya rambut dengan galak tangan menutup bibir, malu entah kenapa. Aku pula tidak senang dengan gelak galaknya itu.

               "Saya masuk dulu," aku meminta diri. Dan baru aku ingat, "Oh ya, saya ada filem yang awak kena tengok untuk watak heroin yang awak kena lakonkan untuk filem pendek saya,"

                Dia terkaku. "Saya kena tengok ke?"

                "Untuk fahamkan filem saya ni, ya. Awak kena tengok. Cerita ni memang bagus. Sangat bagus. Mulanya agak bosan tapi bila dah masuk akhir cerita, awak akan terkejut. Takashi Miike memang gila. Ada banyak filem dia yang macam ni, agak gila sikit...,"

                Dia masih kaku. Tak faham dengan kekalutan aku.

                Aku malu, dan aku nak masuk rumah. Jangan sesiapa tegur aku. Aku seorang gagalis kerana tidak memahami perempuan. Kau kacau!

                "Awak nak ambik filem tu ke?"

                 Apa? Dia masih nak tengok filem tu lagi?

                 "Saya tunggu sinilah kalau awak nak ambik filem tu sekarang. Okay?"

                 Besar mata aku terkejut dengan permintaan dia. Aku masuk dalam rumah - buka kasut - campak beg  entah ke mana - buka laci simpanan DVD - memunggah segala macam DVD - mencari tajuk filem Audition oleh Takashi Miike - berlari kembali ke pagar tidak memakai apa-apa di kaki - serahkan kepada Nirsha. Dia kelihatan baru nak duduk di tembok rumah aku.

                 "Wah, cepatnya. Kenapa tercungap-cungap ni?"

                 "Saya... memang ada... asma... kalau gementar...," tipu aku tak nak dia sedar aku berlari ke dalam untuk dia. Untuk dia!

                 "Okay. Tengok macam best je. Sekarang juga saya tengok filem ni. Okay, kalau saya ada apa-apa soalan, saya panggil awak, okay?" dia terus masuk ke dalam rumah.

                 Letih aku, duduk atas tembok yang Nirsha baru nak duduk tadi. Baru aku perasan, macam mana dia nak panggil aku? Aduh. Kena tipukah aku?

. . .

Aku intai ke rumah Nirsha dari bilik. Aku tengok dalam bilik dia, dia tak ada. Langsir pada tingkapnya terbuka. Aku tengok ke taman, tak ada. Aku lihat di ruang tamu, nampak sipi-sipi je kakinya sedang melepak sambil menonton TV. Mungkin menonton filem aku! Yahooo!!!

               Aku baring, sambil memikirkan wajah takut bercampur seram si Nirsha, bila watak perempuan itu memenggal kaki si lelaki. Lama kelamaan, aku tak sedar aku dah tidur...

. . .

Ktang!

               Tingkap aku retak. Dibaling sesuatu dari luar oleh seseorang.

               Siapalah yang bodoh sangat nak balik benda kat bilik aku untuk berhubung dengan aku? Nisha! Nirsha nampak siap sedia nak balik satu lagi sesuatu ke arah aku. Bila dia dah tahu aku dah sedar, dia senyum. Dia tunjukkan DVD aku pada tingkap dan menunjukkan tanda bagus.

               Dia sangat sukakannya! Aku tak sangka ada orang boleh faham cerita itu selain aku - dan keluarga aku. Dia pandang aku yang sedang gembira sendiri di atas katil. Aku tahu dia sedang tengok aku tapi aku pura-pura yang aku sedang mengemas katil.

               Aku lihat macam pintu bilik Nirsha diketuk. Nirsha macam takut. Tapi dia senyum, semacam bersedia dengan apa saja yang akan berlaku dan nak berlaku. Nirsha buka kunci pada pintu. Ayahnya (negro) masuk dengan marah. Dia marah-marahkan si Nirsha. Ibu Nirsha cuba masuk ke dalam bilik untuk menghalang tetapi dihalang oleh ayahnya Nirsha dan mengunci bilik itu dari dalam.

             Aku nampak kekalutan. Aku tak nak masuk campur urusan keluarga orang. Aku tak suka tengok orang bergaduh di depan mata aku. Aku tak suka walaupun aku tak pernah bertemu pertempuran. Aku tutup langsir dan memandang Nirsha kali terakhir. Nirsha senyum tanda tidak akan apa-apa akan berlaku. Aku senyum juga dan menutup penuh langsir tingkap. Tetapi mata aku tetap mengintai celah langsir yang terbuka sedikit.

              Ayahnya masih marah-marah. Nirsha buat tak tahu saja. Dia macam dah lali dengan lalaknya negro tu. Aku yang tengok pun, aku marah. Sakit hati. Tabah sungguh Nirsha mendengar maki ayahnya. Bila negro tu perasan Nirsha tak ambil peduli dengan apa yang dia bisingkan, dia mula gunakan kekerasan. Muka Nirsha digenggam dan dimakinya Nirsha di depan muka. Bila masih tak puas hati, dia mula memukul Nirsha. Dia perasankan langsir tingkap yang terbuka. Dia nak tutup. Bila tertutup saja langsir tingkap, aku nampak pisau tertembus keluar dari kain langsir. Bayangan tubuh badan si ayah masih di situ, sedang membetulkan langsir di atas tetapi kaku. Pisau itu betul-betul tertembus pada perutnya. Aku nampak ada cecair merah mula mewarnai langsir hijau itu. Aku tak pasti merah ataupun warna lain. Tetapi aku pasti nampak cecair pekat mengalir deras sejuru pisau itu hilang. Pisau itu kembali tembus pada kain langsir. Kali ini leher.

            Si ayah nampak menggelungsur jatuh sambil membawa pisau dan memotong tegak langsir hijau itu. Langsir itu juga jatuh, mungkin tersangkut pada mana-mana dan dibawa si ayah ke lantai. Aku nampak Nirsha dengan mata bulat serta cecair merah pada badan dan baju. Mungkin darah pada lukanya dipukul tadi. Mungkin Nirsha sedang luka!

             Nirsha tunduk menghadap ayahnya di bawah. Aku nampak Nirsha semacam menarik sesuatu, agak lekat. Pisau! Dengan darah yang penuh padanya. Mengalir ke tangan Nirsha. Pekatnya darah itu, macam pekat darah semasa menonton B class movie gore Hollywood. Pekat, merah hitam dan sangat banyak pada seluruh tubuh Nirsha. Dia senyum. Aku nampak giginya. Yang aku tak nampak, dia sedang memandang tepat ke arah aku. Senyumnya semakin galak.

             Aku mula rasa takut. Aku sembunyikan diri dari balik langsir. Peluh mencurah keluar dari setiap rongga yang ada pada badan aku. Aku kembali mengintai. Mungkin tabiat aku sukakan sesuatu yang melawan kehendak aku - walaupun aku tak mahu.

            Nirsha sudah membelakangi aku, menuju ke pintu. Mungkin pintu masih diketuk. Aku lihat Nirsha membuka pintu. Si ibu terkejut pisau dengan berlumuran darah pada tangan Nirsha. Dia nak bunuh si ibu pula? Ibu melihat di atas lantai. Terus saja dia menjerit. Dia lihat Nirsha, dan terus saja dia berlari entah ke mana. Nirsha masih di pintu. Dia mengundur dan duduk di atas katil. Pisau dijatuhkan tadi. Dia duduk dan kemudiannya baring. Aku rasa, dia tidur. Dan aku nampak, dia tersenyum.




200611 / 0109 / S.Y.Mu

2 ulasan:

  1. psiko gila awek nih..cu ko olah lagi, musti best..

    ps; asl aku tader dlm bloglist ko??

    BalasPadam
  2. CT : ntah. aku pun xde dlm bloglist ko. hehehe. ini kerja sejam. aku malas nak panjang2 kan lagi. ini pendek punya. nnti aku tulis mini novella ye...

    BalasPadam