Masa depan, jika memikirkan amat menyakitkan hati. Perkara yang tak
jelas, belum jelas dan tak pasti, membuatkan kita sentiasa berfikir. Apa itu
masa depan?
Kedudukan sosial yang
kukuh? Keluarga yang bahagia, dengan 7 orang anak, dan hidup aman damai
selamanya? Pekerjaan? Hidup dengan kejujuran? Atau kehidupan yang penuh ranjau
hingga pengalaman itu mendewasakan kita? Masa depan yang membuatkan kita
tembuhi cabaran demi cabaran hingga menjadikan kita patung skulptur yang
menanti pecah, barai.
Pendewasaan kita bermula sejak kita mula
bernafas sejurus keluar dari rahim ibu. Sejak kita dijadikan daripada
pensenyawaan sperma dan ovum di dalam ruang ovul (atau rahim). Pendewasaan kita
akan berakhir sejurus mayat kita mereput menjadi sebahagian daripada tanah dan
pasir, yang selalu kita pijak jika tidak ada konkrit, tar atau jubin.
Pendewasaan kita akan berlaku selama kita hidup dan mati. Pendewasaan itulah
masa depan.
Bila kita merangka apa yang dicadangkan pada
saat atau jam mahupun hari yang seterusnya, kita membayangkan bayangan apa yang
akan terjadi. Itu juga masa depan. Kabur. Bila rangkaan itu tidak menjadi, kita
teruskan dengan apa yang boleh kita capai agar kita tidak mati kecewa dan
kesal. Plan B. Kita mula merangka seterus yang tak jelas, kabur, tak pasti.
Sakit itu akan datang. Bergantung kepada kekuatan pada diri, iman dan niat.
Bohong jika berkata kita tidak memerlukan
duit (wang) untuk berjalan mahupun merangkak menuju ke masa depan. Untuk
mencari wang (kebahagiaan), harus mendahulukan dahulu wang. Investment. Bila kita sudah punya wang,
apa yang kita mahu lakukan lagi? Bila pengembaraan itu adalah pada akhir
kehidupan, jika pengembaraan itu sudah tamat, adakah kita sudah bersedia untuk
mati?
Kematian itu juga masa depan. Bila kita akan
mati? Bagaimana? Persoalannya adalah bersediakah kita? Bersediakah kita bertemu
dengan masa depan? Bersediakah kita menempuhi masa depan itu sendiri?
Kita patut takut kerana masa depan itu bagai
kita berjalan dalam malam kelam tanpa cahaya. Dan mata kita mula menampakkan
sedikit bentuk dalam gelap. Sedikit demi sedikit kita nampak, semakin tak jelas
apa yang ada di depan. Diberikan sedikit bentuk agar kita berharap ada jalan di
depan. Tetapi hakikatnya, kita buta!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan