Risallah Untuk Cinta
8 minit / 2012 / Drama Romantik
Pengarah & Penulis Skrip : Ashroff Nor Shaid / Penolong Pengarah 1 : Syakira Pauzi / Penolong Pengarah 2 & Penolong Pengurus Produksi : Ammar Abdul Adzis / Pengurus Produksi : Azri Abu Hassan / Pengarah Forotgarfi & Jurukamera : Yasran Aiman / Pembantu Jurukamera & Juruaudio : Charles Roberts / Penyunting : Aliff JJ & Ashroff Nor Shaid
Perbelanjaan : (ehem-ehem)
Sebuah filem pendek hasil daripada emosi bila mendengar lagu Sheila On 7, 'Berhenti Berharap' feat. Dian Sastrawadoyo (membaca puisi). Sudah lama aku tidak membikin cerita cinta. Lantas aku memikirkan sesuatu yang mahu kesamaan dengan 'Waiting for Godot' oleh Samuel Beckett. Secara ringkasnya, aku membayangkan 2 orang perempuan berbicara tentang sesuatu. Perempuan menangis dan perempuan pendengar. Yang menangis asyik mempersoalkan kenapa hubungannya (bersama lelaki lain) yang diberikan kebahagiaan dan perlu diakhir dengan kematian. Dalam 'Waiting for Godot', watak -wataknya seringkali mempersoalkan apa yang mereka sedang tunggu. Secara lapisan, mereka mempersoalkan kehadiran Tuhan. Dalam karya ini juga, aku memberikan tanggapan kepada perempuan menangis yang mempersoalkan Tuhan, kenapa takdirnya perlu begitu. Untuk menjadikannya lebih berat, aku jadikan watak perempuan pendengar itu, seorang yang meminati perempuan lain (perwatakan bagai tomboy tetapi perasaan lebih meminati perempuan) dan perbezaan agama. Apabila kita lemah, mudah saja orang lain yang lebih sukakan kita, kuat, pasti akan mengambil peluang ini untuk bersama mereka.
Dalam masa 2 hari, aku kumpulkan sahabat handai aku untuk membantu dalam melaksanakan filem pendek ini. Aku hasilkan skrip dan terus saja melakukan audition di ASWARA. Alhamdulillah, sambutan yang hadir agak ramai, walau saat-saat akhir mereka hadir (berharap), di kala aku mahu bungkus (pulang), hadir dua bidadari yang amat sesuai memegang watak Meg dan Sya. Mereka adalah Syazana Nadira dan Iklil Jannah. Pada mulanya aku keliru, mahu menjadikan siapa berwatak Meg. Iklil berfizikal agak matang dari Sya tetapi Sya lebih matang daripada Iklil. 2 minggu sebelum penggambaran, aku berikan watak Meg pada Iklil dan Sya kepada Syazana. Aku sayangkan watak Meg kerana watak itu lebih hebat dan aku amat percaya yang Iklil pasti dapat memegang watak itu. Tetapi malangnya, aku terlupa, ini adalah filem pendek pertama lakonan mereka dan mereka baru berusia 19 tahun. Bagi aku, mereka belum cukup matang dan faham dengan cerita ini.
Penggambaran berjalan selama 2 + 1 hari. Kami shoot semua intercut (insert) scene dahulu (yang membabitkan watak teman lelaki Sya dan hubungan jarak jauh Sya-Meg). Malam itu, kami bergerak ke lokasi kedua untuk lebih mudah lakukan penggambaran pada esok hari (untuk babak Meg di bilik tidur). Adegan bilik tidur, agak sukar kerana pengalaman Iklil. Tetapi akhirnya, babak itulah yang aku paling suka. Keindahan riak mukanya menjadikan satu frame video itu menjadi poster filem pendek ini.
Pada hari kedua itu juga, kami menunggu malam untuk melakukan penggambaran utama - babak monolog Sya-Meg. Kami nentukan dahulu lokasi yang paling sesuai untuk melakukan penggambaran. Akhirnya kami pilih lokasi tangga di Padang Merbok. Hanya menggunakan lampu jalan, kami memulakan penggambaran mengikut kronologi syot yang aku sediakan. Hampir saja penggambaran tamat, bateri kamera kami pula hampir habis. Jadi kami ambil syot apa yang perlu.
Aku puas dengan apa yang kami capai. Cuma tinggal 1 lagi babak untuk di dalam kedai buku. Aku dapatkan MPH untuk melakukan penggambaran. Asalnya babak itu adalah untuk mempertemukan Sya dan Meg untuk pertama kali. Meg bekerja di kaunter dan bila Sya tak cukup duit, dia nak belanja Sya. Tetapi saat akhir, Amri (teman lelaki Sya) muncul. Tetapi saat akhir juga aku dapat tahu yang kami tidak boleh lakukan penggambaran di kaunter dan perlu tamat penggambaran sebelum pukul 9 (kami pada waktu itu sudah pukul 5 petang). Akhirnya aku terima babak akhir tersebut.
Selesai penggambaran, aku tak punya masa untuk melakukan suntingan. Aku minta tolong sahabat Aliff JJ untuk edit online filem pendek ini tetapi offline pun belum mula lagi. Setelah sekian lama, akhirnya filem pendek ini berjaya disempurnakan dan aku memberanikan diri untuk memuat naik filem pendek ini di Youtube.
Dengan itu, aku berikan kepada kalian filem pendek ketujuh aku ini ; filem pendek yang paling aku berpuas hati!
disediakan oleh ashroff nor shaid / 30092012 / 2052
Tiada ulasan:
Catat Ulasan