Aku berjanji dengan Ayah yang aku akan menolong dia mengemas kebun hari ini. Adik ku juga mahu membantu. Hari ini cuti lagipun, apa yang kami boleh buat di rumah.
Ayah kejutkan aku di hujung minggu seawal 6 pagi. Berjemaah Subuh bersama di surau. Adik aku memang payah sikit mau dikejutkan. Bila dipukul kejut baru payah dia meliat nak bangun.
Selesai solat, aku berkemaskan parang, sabit, cangkul dan benih buluh yang Ayah beli untuk perancangan kebun buluh kelak. Buluh madu katanya. Tak gatal dan cantik jika dijaga. Harus jaraknya 6 kaki setiap satu dan setara sebaris supaya mudah diuruskan nanti. Tak perlu sapu buang daun-daun gugur untuk tiada pokok renek kecil naik nanti. Dan daun kering itu juga boleh dijadikan baja semulajadi. Benih ni juga dibeli oleh orang Melayu sendiri yang menjadikan kebun buluh madu sebagai pendapatan sampingannya.
Lama dah aku fikir mahu bersendirian dengan Ayah selepas selesai SPM dan mendapat keputusan yang elok-elok saja. Aku yang sejak dari kecil tidak pernah berkebun, memandang perkara ini sebagai sesuatu yang membebankan tetapi inilah peluang untuk aku menceritakan impian aku. Inilah masanya. Tak ada lagi esok mahupun lusa. Akan terlambat kalau dilengahkan lagi.
Ayah suruh aku bawa sedikit baja pokok bunga yang biasa kami tanam di sekitar rumah. Setakat tanam pokok bunga dan pokok mangga di sekitar rumah, kami biasa mengerjakan sekali sekala. Tetapi untuk berkebun sebanyak 50 anak benih buluh di kawasan tanah 12 ekar yang Ayah baru beli setelah pencen, aku dan keluarga aku sendiri tak pernah. Adik, Mak dan Kakak pun rasa lemah bila mahu berkebun. Ayah dah biasa begini. Dia biasa bekerja sendiri – maknanya berkebun, menternak dan berniaga. Kami yang lain biasa hidup sederhana, tanpa Astro dan segala bagai.
Aku dan Adik masuk ke dalam kereta setelah memuatkan semua benih buluh. Ini kereta pikap syarikat Ayah berikan padanya sempena bersara. Adik duduk di belakang dan aku duduk bersama Ayah. Kini aku dan dia berdua. Tapi aku tak boleh buka bicara. Kelu kerana tak tahu bagaimana harus bermula. Lagu klasik berkumandang dalam radio yang tak boleh diubah tinggi rendah bunyinya.
Ini kali kedua aku masuk ke dalam kebun baru kami ini. Inilah tanah yang akan diserahkan kepada aku kerana aku anak lelaki sulung, kelak. Aku kena tahu selok belok jalannya. Sulit tetapi tak sukar kerana ada sungai, rumah pelik di satu sudut, rimbunan buluh galah, dan akhir sekali lorong sempit di balik tiang elektrik.
Sampai sahaja di sana, kami bersiap-siap memantau sempadan tanah kami. Dari kayu merah cacak ke kayu merah yang lain, membayangkan besar dan dimensi tanah kami dari atas. Selerak, penuh sesak dengan semak dan pokok yang tak diingini. Kata Ayah, ada 20 pokok durian atas tanah kami, 5 pokok langsar, 2 pokok nangka, 3 pokok mempelam, dan banyak pokok lain yang nak ditanam. Di dalam tanah kami, ada sebatang anak sungai yang melalui. Sejuk tetapi keruh. Ayah bercadang mahu tanah lebih kurang 12 benih pokok buluh di seberang sungai untuk memperkuatkan lagi tanah tebing tanah supaya tak terhanyut tanah, pasir dan membesarkan lagi sungai.
Dah puas meneliti, kami bersiap mahu bekerja keras. Air 4 botol sejuk kami bawa yang kelaknya nanti pasti akan rasa biasa – tak lagi sejuk. Aku bersiap seperti yang diajari semasa dalam Kadet Polis dahulu. Seluar panjang, pangkal seluar dimasukkan ke dalam stokin. Kasut harus pakai, kalau tak mahu darah disedut pacat.
Aku memegang sebanyak mungkin benih buluh bersama parang dan cangkul. Ayah memberitahu mana mahu ditanam, mengikut ukuran dan barisan yang betul. Adik menebas semak sedikit-sedikit di tempat yang mahu ditanam dan aku menggali lubang kecil untuk ditanam benih buluh. Kemudian aku tanam kira-kira 1 kaki – cukup untuk gegelangnya di dalam tanah. Sama saja seperti tanam pokok lain seperti pokok tebu.
Selesai di seberang sungai, kami berpindah berdekatan dengan kereta. Tanah lembut kerana malam tadi hujan. Berita itu kurang senang kepada Mak dan Kakak kerana mereka takut pacat. Dan Adik dah pun di’pacat’ 2 kali di kaki. Ayah tak kisah. Pacat haiwan yang mulia kerana sanggup menyedut darah kotor manusia.
Aku korek lubang dan Ayah tolong tanam. Adik dah cedera apabil terlibas kakinya sendiri dengan parang. Tak luka besar. Cuma luka sedikit. Tak teruk sangat tapi dia perlu rehat. Pedih katanya bila terkena air hujan (embun).
“Kamu nak sambung belajar kat mana? Ada fikir? Dah dapat dah tempat yang kamu mohon dulu?” Ayah masih mengharapkan aku menyambung pelajaran apa yang aku pelajari semasa SPM dulu.
Keputusan SPM aku tak memberansangkan. Terdapat 2 A2 (ketika ini masih menggunakan format lama), 1 D7 dan ada 1 F10. Jadi kemana boleh aku pergi? Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di sinilah peranan aku untuk buka bicara.
“Abang tak nak ambik Elektrik lagi dah. Asas untuk ambil Diploma Elektrik pun Abang gagal dalam SPM,” alasan. Aku terus saja mengorek lubang. Ayah menyalakan sebatang rokok. Dia tak pandang muka aku. Dia terus saja kembali menanam benih buluh yang lain.
Tanyanya, apa yang aku nak buat? Aku sejak dahulu suka bercerita. Suka menonton filem – walau jarang menontonnya di pawagam, tetapi di TV ada Blockbuster Movie, Movie Mania, Midnight Movie, Panggung Sabtu, Drama Minggu Ini. Inilah yang membangkitkan minat aku dalam bercerita. Aku juga agak rajin dalam membaca novel. Tapi aku sendiri tersedar apabila aku membaca, aku dapat membayangkan setiap inci dalam cerita yang dibaca. Aku ada cuba menulis skrip aku sendiri tetapi entahlah bagus atau tidak.
Itulah yang aku inginkan. Bercerita. Aku ingin menulis skrip dan menyampaikan sebuah cerita. Tak kisahlah dalam filem, drama atau lain-lain format. Aku cuma ingin bercerita. Mungkin saja kerana hidup aku tak ada yang menarik untuk dikongsikan tapi aku kuat berimaginasi. Tentang cinta, tentang perempuan, tentang keluarga yang sempurna, tentang aku sendiri, tentang masa depan.
Ayah senyap. Dia minta Adik turun tolong aku. Dia dah penat. Ayah tinggalkan kami pergi ke tempat untuk berehat. Adik dengan kaki terhincut-hincut, gagahlah membantu aku. Untuk menaikkan semangat dia, aku bercerita tentang bagaimana aku mahu membikin sebuah filem tentang aku dan seorang perempuan dalam dunia yang pelik. Penamat yang indah. Kami bergelak ketawa apabila masing-masing menokok tambah dalam cerita aku. Bila hampir tamat ceritanya, Adik menambahnya lagi dengan aksi dan cerita peliknya pula. Bila difikirkan pula, Adik aku pun gemar bercerita. Adakah aku penyebabnya? Aku tak mahu Adik ikut jejak aku nanti. Takut nanti tak ada adik beradik yang mahu mengerjakan tanah kami kelak. Inikan tanggungjawab aku? Adakah ini bermakna aku lari dari tanggungjawab yang akan diserahkan pada aku kelak? Ayah mahu aku sentiasa di kampung. Belajar, dan kembali berkhidmat di sini. Bersama Ayah, Mak dan adik beradik. Aku juga mahu bebas, mahu keluar dan belajar mengenal dunia, mengejar impian aku. Harapan aku tetap satu, mahu membuatkan keluarga aku bangga dengan pencapaian aku. SPM, tak Berjaya. Mungkin masa depan aku akan berjaya. Biasanya orang tua akan fikirkan anak mereka akan berjaya apabila mengabdikan diri kepada ibu dan bapa kelak bila tua. Sebelum sampai ke tahap itu, aku mahu berdikari dan buat silap. Aku mahu mengenal risiko.
Mak dah sampai ke kebun. Di takutkan pacat. Dia baru selesai masak untuk makan tengah hari. Ayah yang mencadangkan kami semua makan tengah hari di kebun selesai berbudi pada tanah. Mak sediakan makanan kegemaran aku. Ayam masak merah (mungkin masak kuzi, aku tak tahu bezanya), kobis masak lemak dengan sambal tempoyak. Kami mempersiapkan tempat makan sementara Mak berdiri di atas jalan kecil kampung yang tak ada tanah, tak ada semak – khuatir pacat merayap.
Ayah aku lihat sedang mencari sesuatu di dalam kereta yang Mak bawa tadi. Kakak mencedok nasi ke dalam pinggan. Mak melangkah laju ke atas tikar yang kami dah bentangkan atas tanah (kami). Semua bersiap untuk makan, kami tunggu Ayah.
Ayah datang dengan memegang satu keratan akhbar. Dia serahkan padaku dan duduk. Dia terus saja baca doa dan mula mencedok lauk. Yang lain turut ikut. Aku terpinga memandang keratan akhbar itu. Itulah impian aku. Harapan aku.
Kata Ayah, dia dah tahu apa yang aku mahu dari dulu lagi. Memang ya, dia tak dapat paksa aku untuk terus dalam bidang Elektrik kerana bagi dia bidang ini boleh menjamin masa depan – gaji yang boleh tahan kalau betul bagus. Dia tak boleh pegang aku selamanya di kampung. Tak perlu aku cakap, dia dah boleh perasan yang aku tak minat bidang itu. Keputusan SPM aku menunjukkan yang aku memang tak berminat. Lebih lagi, dia ada terbaca skrip yang aku tulis dahulu. Katanya, baik sahaja. Dia tak tahu bagaimana mahu membaca skrip (skrip yang aku tulis pun rasanya menggunakan format skrip pentas), tetapi dia kata aku boleh bercerita. Mungkin saja macam novel tapi tak sama, kerana perlukan imaginasi.
Mak hanya tertunduk-tunduk makan. Kakak mencedok lagi lauk. Adik menambah perisa nasi dengan kicap masin. Nasi aku masih tak terluak. Ayah mencubit sambal tempoyak lagi.
Dia terjumpa pengambilan untuk Diploma di sebuah akademi (universiti) seni dalam surat khabar tempoh hari. Dia ada fikirkan aku. Sebab tu dia ajak aku ke kebun. Dia mahu berbincang dengan aku mengenai masa depan aku. Mengenai apa yang aku betul-betul mahukan. Adakah aku berani untuk mengaku? Jika aku tak berani, maknanya aku masih belum bersedia mahu berdikari sendiri. Dia tak kisahkan aku tinggalkan mereka untuk belajar. Cuma jangan lupakan mereka.
Aku cuma senyap sambil terus memerhatikan keratan akhbar itu. Aku senyum. Terus saja aku melahap makan makan tengah hari yang (mungkin saja) disediakan khas untuk aku. Tapi ayam dah tinggal kepak je. Alamak. Lama sangat aku berfikir. Layan ajalah…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan