Ahad, 30 September 2012

Terbaru Dari Aku : Sebuah Pengalaman



Risallah Untuk Cinta

8 minit / 2012 / Drama Romantik

Pengarah & Penulis Skrip : Ashroff Nor Shaid / Penolong Pengarah 1 : Syakira Pauzi / Penolong Pengarah 2 & Penolong Pengurus Produksi : Ammar Abdul Adzis / Pengurus Produksi : Azri Abu Hassan / Pengarah Forotgarfi & Jurukamera : Yasran Aiman / Pembantu Jurukamera & Juruaudio : Charles Roberts / Penyunting : Aliff JJ & Ashroff Nor Shaid 

Perbelanjaan : (ehem-ehem)


Sebuah filem pendek hasil daripada emosi bila mendengar lagu Sheila On 7, 'Berhenti Berharap' feat. Dian Sastrawadoyo (membaca puisi). Sudah lama aku tidak membikin cerita cinta. Lantas aku memikirkan sesuatu yang mahu kesamaan dengan 'Waiting for Godot' oleh Samuel Beckett. Secara ringkasnya, aku membayangkan 2 orang perempuan berbicara tentang sesuatu. Perempuan menangis dan perempuan pendengar. Yang menangis asyik mempersoalkan kenapa hubungannya (bersama lelaki lain) yang diberikan kebahagiaan dan perlu diakhir dengan kematian. Dalam 'Waiting for Godot', watak -wataknya seringkali mempersoalkan apa yang mereka sedang tunggu. Secara lapisan, mereka mempersoalkan kehadiran Tuhan. Dalam karya ini juga, aku memberikan tanggapan kepada perempuan menangis yang mempersoalkan Tuhan, kenapa takdirnya perlu begitu. Untuk menjadikannya lebih berat, aku jadikan watak perempuan pendengar itu, seorang yang meminati perempuan lain (perwatakan bagai tomboy tetapi perasaan lebih meminati perempuan) dan perbezaan agama. Apabila kita lemah, mudah saja orang lain yang lebih sukakan kita, kuat, pasti akan mengambil peluang ini untuk bersama mereka. 



Dalam masa 2 hari, aku kumpulkan sahabat handai aku untuk membantu dalam melaksanakan filem pendek ini. Aku hasilkan skrip dan terus saja melakukan audition di ASWARA. Alhamdulillah, sambutan yang hadir agak ramai, walau saat-saat akhir mereka hadir (berharap), di kala aku mahu bungkus (pulang), hadir dua bidadari yang amat sesuai memegang watak Meg dan Sya. Mereka adalah Syazana Nadira dan Iklil Jannah. Pada mulanya aku keliru, mahu menjadikan siapa berwatak Meg. Iklil berfizikal agak matang dari Sya tetapi Sya lebih matang daripada Iklil. 2 minggu sebelum penggambaran, aku berikan watak Meg pada Iklil dan Sya kepada Syazana. Aku sayangkan watak Meg kerana watak itu lebih hebat dan aku amat percaya yang Iklil pasti dapat memegang watak itu. Tetapi malangnya, aku terlupa, ini adalah filem pendek pertama lakonan mereka dan mereka baru berusia 19 tahun. Bagi aku, mereka belum cukup matang dan faham dengan cerita ini. 





















Penggambaran berjalan selama 2 + 1 hari. Kami shoot semua intercut (insert) scene dahulu (yang membabitkan watak teman lelaki Sya dan hubungan jarak jauh Sya-Meg). Malam itu, kami bergerak ke lokasi kedua untuk lebih mudah lakukan penggambaran pada esok hari (untuk babak Meg di bilik tidur). Adegan bilik tidur, agak sukar kerana pengalaman Iklil. Tetapi akhirnya, babak itulah yang aku paling suka. Keindahan riak mukanya menjadikan satu frame video itu menjadi poster filem pendek ini. 



Pada hari kedua itu juga, kami menunggu malam untuk melakukan penggambaran utama - babak monolog Sya-Meg. Kami nentukan dahulu lokasi yang paling sesuai untuk melakukan penggambaran. Akhirnya kami pilih lokasi tangga di Padang Merbok. Hanya menggunakan lampu jalan, kami memulakan penggambaran mengikut kronologi syot yang aku sediakan. Hampir saja penggambaran tamat, bateri kamera kami pula hampir habis. Jadi kami ambil syot apa yang perlu. 

Aku puas dengan apa yang kami capai. Cuma tinggal 1 lagi babak untuk di dalam kedai buku. Aku dapatkan MPH untuk melakukan penggambaran. Asalnya babak itu adalah untuk mempertemukan Sya dan Meg untuk pertama kali. Meg bekerja di kaunter dan bila Sya tak cukup duit, dia nak belanja Sya. Tetapi saat akhir, Amri (teman lelaki Sya) muncul. Tetapi saat akhir juga aku dapat tahu yang kami tidak boleh lakukan penggambaran di kaunter dan perlu tamat penggambaran sebelum pukul 9 (kami pada waktu itu sudah pukul 5 petang). Akhirnya aku terima babak akhir tersebut. 

Selesai penggambaran, aku tak punya masa untuk melakukan suntingan. Aku minta tolong sahabat Aliff JJ untuk edit online filem pendek ini tetapi offline pun belum mula lagi. Setelah sekian lama, akhirnya filem pendek ini berjaya disempurnakan dan aku memberanikan diri untuk memuat naik filem pendek ini di Youtube. 

Dengan itu, aku berikan kepada kalian filem pendek ketujuh aku ini ; filem pendek yang paling aku berpuas hati!




disediakan oleh ashroff nor shaid / 30092012 / 2052

Khamis, 20 September 2012

Masa Depan Kita


Masa depan, jika memikirkan amat menyakitkan hati. Perkara yang tak jelas, belum jelas dan tak pasti, membuatkan kita sentiasa berfikir. Apa itu masa depan?

            Kedudukan sosial yang kukuh? Keluarga yang bahagia, dengan 7 orang anak, dan hidup aman damai selamanya? Pekerjaan? Hidup dengan kejujuran? Atau kehidupan yang penuh ranjau hingga pengalaman itu mendewasakan kita? Masa depan yang membuatkan kita tembuhi cabaran demi cabaran hingga menjadikan kita patung skulptur yang menanti pecah, barai.

Pendewasaan kita bermula sejak kita mula bernafas sejurus keluar dari rahim ibu. Sejak kita dijadikan daripada pensenyawaan sperma dan ovum di dalam ruang ovul (atau rahim). Pendewasaan kita akan berakhir sejurus mayat kita mereput menjadi sebahagian daripada tanah dan pasir, yang selalu kita pijak jika tidak ada konkrit, tar atau jubin. Pendewasaan kita akan berlaku selama kita hidup dan mati. Pendewasaan itulah masa depan.

Bila kita merangka apa yang dicadangkan pada saat atau jam mahupun hari yang seterusnya, kita membayangkan bayangan apa yang akan terjadi. Itu juga masa depan. Kabur. Bila rangkaan itu tidak menjadi, kita teruskan dengan apa yang boleh kita capai agar kita tidak mati kecewa dan kesal. Plan B. Kita mula merangka seterus yang tak jelas, kabur, tak pasti. Sakit itu akan datang. Bergantung kepada kekuatan pada diri, iman dan niat.

Bohong jika berkata kita tidak memerlukan duit (wang) untuk berjalan mahupun merangkak menuju ke masa depan. Untuk mencari wang (kebahagiaan), harus mendahulukan dahulu wang. Investment. Bila kita sudah punya wang, apa yang kita mahu lakukan lagi? Bila pengembaraan itu adalah pada akhir kehidupan, jika pengembaraan itu sudah tamat, adakah kita sudah bersedia untuk mati?

Kematian itu juga masa depan. Bila kita akan mati? Bagaimana? Persoalannya adalah bersediakah kita? Bersediakah kita bertemu dengan masa depan? Bersediakah kita menempuhi masa depan itu sendiri?

Kita patut takut kerana masa depan itu bagai kita berjalan dalam malam kelam tanpa cahaya. Dan mata kita mula menampakkan sedikit bentuk dalam gelap. Sedikit demi sedikit kita nampak, semakin tak jelas apa yang ada di depan. Diberikan sedikit bentuk agar kita berharap ada jalan di depan. Tetapi hakikatnya, kita buta!