Selasa, 10 April 2012

Inilah Duniaku

Ah Sing memberitahu orang di sekelilingnya supaya lebih berhati-hati ketika mengangkat barang. Dia mengajar orang itu bagaimana mahu membuka barangan karaokenya.

           Pusingnya ke kanan, bukan ke kiri. Ke kiri akan lebih ketat. Kemudian angkat, bukan tarik. Biar lepas penyangkut kuncinya barulah tarik. Lengkap butiran Ah Sing, kecewa dan marah.

       Ada kira-kira 10 orang di dalam premis Ah Sing. Semuanya samada sedang mengangkat, mengemas mahupun mencatit sesuatu pada kertas catitan. Ada juga pengunjung Ah Sing yang sedang ditemubual oleh beberapa orang.  Mereka memberikan kad pengenalan dan passport. Tertunduk-tunduk mereka apabila ada jurukamera merakam perbuatan mereka.

           Ah Sing pening kepala. Runsing dibuatnya. Tak tahu dia nak buat macam mana. Habis barangnya dikemas. Fikirnya, penatlah dia mahu bermula kembali.

          Beberapa orang sedang mengangkut barangan Ah Sing. Ada speaker, DVD set, sistem hi-fi, segala macam wayar, CD lagu, minuman keras dan macam lagi. Semuanya dirakam juga oleh jurukamera. Jurukamera fokus pula pada Ah Sing.

              Mereka bertanya sesuatu kepada Ah Sing. Ah Sing menjawab dengan runsing. Bagi dia, semua dah cukup sempurna. Tetapi masih tetap ada silap. Sepatutnya bukan dia yang menjaga premis ini hari ini. Dia cuma membantu kawan. Kawannya, tuan kepada kedai meminta dia menjaga kedai itu kerana dia ada hal lain. Kawan dia sendiri minta dia menjaga kedai itu.

     “Jangan ada yang masalah,” kata kawan dia, amaran. Bagi dia, dia dah menjalankan tanggungjawabnya. Tetapi kalau begini perkara terjadi, apa yang dia boleh lakukan. Dan dia sendiri tahu, pusat karaoke ini dibuka dengan segala kelengkapan. Secara halal, kalau Melayu cakap. Lesen perniagaan, sijil kelayakan, ukuran dan saiz petak karaoke, had umur kemasukan, pekerja tempatan, makanan dan minuman juga dimohon di kedai mamak di sebelah jika ada pengunjung meminta. Di mana silapnya?

Di luar premis, barang-barang Ah Sing sedang dimasukkan dalam lori. Ada juga van. Mungkin barangan yang tertentu diasingkan ke dalam van. Ada beberapa kereta juga memarkir secara sewenangnya di luar premis Ah Sing. Tertulis pada papan tanda “Pusat Karaokey Johnnie”. Mungkin salah eja perkataan ‘karaokey’ itu yang menjadikan perkara ini terjadi pada Ah Sing. Dia rasa bersalah. Atau wajarkah?

           Dari jauh, ada seorang lelaki memerhatikan setiap perkara. Menyedut asap rokok dan hembuskan. Tenang saja dia berdiri di situ, di dalam gelap. Selesai satu batang rokok, dia mendail telefonnya. Entah siapa yang dia telefon. Dia bercakap sikit dan mematikan perbualan. Kemudian, dia beredar sambil menghidupkan lagi sebatang rokok.

           Pengunjung yang didapati bersalah, bawah umur, penipuan kad pengenalan, passport, mabuk serta penyelewengan status Facebook dimasukkan ke dalam lori bertempat duduk. Mereka diperhatikan dengan ketat oleh beberapa orang yang dah pun selesai mengemas dan mengangkat barang.

           Ah Sing pula orang terhormat. Dia dimasukkan ke dalam kereta. Berlampu merah biru bila dipasangkan. Apabila semua dah selesai, 4 kereta, 2 van dan 1 lori beredar dari  premis Ah Sing. Cuma tinggal beberapa orang saja lagi yang tinggal. Mungkin mahu buat audit.

           Seorang sudah memasang tali plastik kuning hitam berbelang dengan tulisan ‘dilarang masuk’. Dia melekatkan satu kertas di sebelah pintu masuk.


.


Johnnie duduk di depan Lam.

           Muzik tekno dan elektrik berdentang dentung di luar bilik kecil VIP yang disewa Lam. Ada 2 orang berjaga di luar bilik. Kedua-duanya elok berdiri cantik tegak bagai tentera. Tidak pakai kaca mata hitam kerana tempat gelak. Dia perlu melihat segala pergerakan termasuk joget ghairah Linda di tengah pentas tari. Terhenjut-henjut juga kaki mereka mengikut rentak lagu. Mereka tengok sahaja perempuan berbaju biru itu.

             Johnnie masih di tempatnya, tak bergerak. Kaku. Dia Nampak takut, gelisah. Telefon bimbitnya ada di atas meja depannya. Dia mahu menelefon seseorang tetapi khuatir. Ada seorang perempuan cina cuba menenangkan Johnnie dengan belaian dan air.

           Lam menghirup habis segelas alkoholnya. Mungkin saja cap terbaik. Ada 2 orang berdiri di sebelah Lam. Ada juga dua tiga orang sedang turut serta sama Lam minum dan hisap rokok. Melayan belaian perempuan mereka. Ada cina, melayu, india.

            Lam memberi arahan kepada orangnya. Budak itu, yang sedang pegang sebuah beg (nampak berat) berikan pada Johnnie.

            “Itu lu punya pampasan. Kalau lu mau bukak bisnes lu balik, gua alu-alukan. Harga sama saja. Tapi gua tak boleh janji benda macam ni tak boleh jadi lagi. Lu faham jalah orang ada kuasa...,”

             Johnnie menerima itu. Dia melihat isi dalam, banyak not RM50 dalam. Ada juga selang-selang dengan RM100 dan RM500. Semuanya berterabut. Mungkin mahu nampak banyak. Tapi bila dia angkat, berat. Dia sudah mahu beredar tapi Lam ajak Johnnie lepak. Minum dan ‘main’.

            “Perempuan ni gua sewa khas untuk lu. Jangan nak buat gua rugi...,”

        Johnnie didudukkan oleh orang yang berdiri. Cina, melayu, india tadi pun menyokong Lam. Mereka menuangkan air yang tadinya separa penuh ke dalam cawan Johnnie hingga penuh. Disuakan ke mulut Johnnie.

        Johnnie sebenarnya dah boleh tersenyum. Tetapi dia masih risau. Apa yang dia risaukan sebenarnya? Premis dia dah kena sita, barangannya dah kena rampas tapi dia dah dapat pampasan. Apa lagi yang dia kisahkan? Ah Sing? Mereka kata Ah Sing tak lama dalam lokap. Mungkin sama saja macam pengunjung. Cuma 24 jam saja untuk ambil keterangan. Dan Ah Sing bukannya tuan kedai.

          Terus Johnnie meneguk habis secawan penuh alkohol. Lam seronok tengok Johnnie dah tak tegang. Perempuan cina di sebelah Johnnie pun semakin seronok memberlai. Terus saja Johnnie menyerang perempuan cina yang disewa khas Lam, katanya.

             Orang berdiri di belakang Lam mendapat panggilan telefon. Dia menjawab dan berikan kepada Lam.

            “Hallo tuan... Apa macam? Semua ada okay? Jangan risau. Gua dah cakap sama tuan kedai untuk esok. Iya dia sudah 5 bulan lesen mati. Kalau takda mati, gua matikan. Lu jangan risaulah. Gua tau apa mau bikin. Takkan gua mau letak arang sama muka lu? Janji lu tak rosakkan bisnes gua, gua boleh tolong lu.”


.


“PRU dah dekat. Lu jangan tipu gua ya tokey. Kita sama-sama bisnesman. Okay. Gud bai,” Dato’ Selva menamatkan perbualan.

          “Semua tadi dah okay. So, esok proceed macam biasa dekat satu lagi kedai. Lam dah sediakan keldai tunggangan dia. And, pastikan pihak TV3 datang buat liputan. Jangan lambat sangat macam tadi. Menyusahkan aku je nanti,” dia dah malas nak layan Inspektor Razmi.

          Inspektor Razmi faham apa yang Dato’ mahu lakukan. Dia mahu orang luar nampak yang dia sedang lakukan kerjanya. Membersihkan bandar yang dia pegang sekarang. Biasalah untuk hari-hari terdekat untuk parlimen dibubarkan. Inilah tugas dia, menerima arahan daripada orang yang lebih berkuasa.

             Aku mahu telefon orang TV3 supaya cepat sikit dan wajib hadir waktu taklimat. Aku juga akan datang semasa operasi. Aku pun nak masuk TV.


.


Linda semakin menari dekat dengan 2 orang lelaki penjaga pintu bilik VIP. Dia nampak kedua lelaki sedang memerhatikan dia menari. Dia tahu peranan dia. Dia kata dia dahaga. Dia nak air.

           Kata dua lelaki tu, mereka tak dibenarkan meninggalkan tempat mereka. Mereka boleh mati kalau berbuat demikian. Skema aja ayat yang keluar dari mulutnya. Dah macam drama bersiri sopa opera polis-polis di TV tak berbayar.

            Linda dah tak tahan. Dia kata dia boleh minum apa sahaja air dari mana-mana sekarang ni. Dia terlalu dahaga, sambil dia menari di depan lelaki penjaga itu. Tergesel-gesel punggung Linda pada kemaluan dalam seluar seorang lelaki. Seorang lagi lelaki tengok dengan cemburu. Linda melutut di kaki lelaki tu dan memegang anu dia. Dia nak buka zip lelaki tetapi lelaki tu halang. Menolak dalam mahu.

            Datang seorang lelaki lain. Segak bergaya sambil membawa sedulang yang ada 4 botol beer. Dia pun tak pasti apa yang dia ambil. Dia nak masuk ke dalam bilik VIP, dihalang oleh 2 lelaki jaga tadi. Manakala Linda masih melutut memegang kemaluan yang semakin membengkak lelaki tu di luar seluar. Dia nak buka zip.

          “Aku Zip,” terus saja lelaki yang menggelarkan dirinya Zip melepaskan dulang yang dia pegang tadi ke bawah. 2 jaga itu melihat dulang dengan 4 botol beer dilepaskan dan pastas saja Zip mencapai 2 botol pada dulang yang hampir jatuh dan memukulnya pada seorang lelaki tak terganggu tadi. Linda pula menumbuk kemaluan – telor – lelaki seorang lagi jaga, dan bila tertunduk, Linda ambil 2 botol yang dah jatuh tadi dihentakkan pada kepala lelaki dia nak goda tadi.

          Zip terus saja menumbuk berkali-kali pada lelaki jaga. Linda menendang berkali kali kemaluan lelaki jaga. Mereka berdua sama.

          Pintu bilik VIP dibuka. Zip nak keluarkan sesuatu dari dalam kocek seluar dia. Tapi tersangkut. Linda nampak marah. Dia geram dan pukul sungkit (tumbuk dari bawah rahang dan lompat – untuk pukulan lebih kuat dan jitu) orang yang menjenguk. Terkebelakang kau.

             Zip berjaya keluarkan bom asap dari dalam kocek seluarnya.

             “Kenapa U pakai seluar saiz 24 U ni. U ingat U dah kurus ke?”

            Zip terus saja – malas nak layan Linda – mencabut safety pin pada bom dan campakkan ke dalam bilik VIP. Linda tutup pintu bilik VIP dan dibantu Zip. Tak ada kunci cari luar. Mereka tarik bersungguh-sungguh.

             Lama mereka dengar senyap. Lama tak ada apa-apa. Tak ada orang mahu buka pintu. Tak ada orang mahu kacau mereka. Terus Zip dan Linda fikir, mungkin mereka dah salah bilik.

       Perlahan-lahan mereka buka pintu. Linda keluarkan sepucuk pistol yang tak pasti namanya. Diacukan di depan pintu yang tertutup yang nak dibuka Zip. Zip sedia. Linda sedia.

           Pintu dibuka laju. Asap berkepul keluar. Mereka tunggu. Zip dah sedia dengan kayu yang dia jumpa berdekatan. Linda dah sedia nak tekan picu pistol. Dia fikir sama saja macam tekan nozel pam minyak. Cuma pistol ini keluar sekali kerana ia bukan automatik. Zip pula sedia di dinding sebelah pintu dengan kayu. Zip intai sikit ke dalam bilik.

            Asap dah semakin kering. Dah tak tebal. Mereka tengok ada satu lagi pun dibuka di sebelah sana. Ada pintu lagi di sebelah sana rupanya. Ada 2 pintu dalam bilik VIP ni. Alamak.

              Mereka dah tersalah kira. Menghela nafas entah apa-apa, mereka menghilangkan rasa tegang.

           “U kata dah check!” bising Linda. Sama bising dengan satu tembakan yang dilepaskan kepada mereka. Ada seorang lagi lelaki jaga yang tinggal di dalam bilik ditugaskan oleh Lam untuk mengenal pasti siapa yang berani menyerang dia serta kawan-kawan di situ. Ada seorang lagi di balik dinding sana. Serta seorang lagi dari mana Zip datang – mungkin saja jaga kelab itu.

           Zip dan Linda mengelak dan berlari masuk ke dalam bilik. Mereka menewaskan lelaki jaga di dalam bilik VIP tu dengan kayu yang dipegang Zip dan pistol air Linda – yang dicampak tepat kena pada hidung lelaki tu (jangan main-main, walau pistol air, pistol tu besi). Lelaki-lelaki jaga terus saja menyerang Zip dan Linda yang terus lari ke pintu satu lagi. Tembakan itu tak kena pada mereka, tak tahu kenapa. Mungkin jaga ni tak ambil kelas tembakan.

             Zip memegang tangan Linda dan mereka sama-sama lari. Freeze frame, nama pengarah filem ini keluar ‘diarahkan oleh Ashroff Nor Shaid’. Zip dan Linda lari lagi masih dalam premis kelab tu. Freeze frame lagi, ‘penampilan Sam’ dan ‘dan Puspa’.

           Lelaki jaga tu terus saja jaga. Dari mereka 2 orang tadi, dah bertambah kepada 4 orang. Semuanya bersenjatakan pistol dan shotgun. Dah macam Counter Strike pun ada.

              Zip tak lepaskan pegangan Linda. Mereka terus saja lari. Tapi apa yang mereka buat? Mereka tak lari keluar kelab. Tapi mereka berpusing-pusing di dalam kelab. Dan reaksi mereka... mereka sedang gelak. Nampaknya mereka sedang seronok. Freeze frame ‘Inilah Duniaku’. Tulisan itu mungkin tajuk cerita ini. Tapi ini filem. Macam-macam boleh berlaku.

              Zip bawa Linda lari ke atas bumbung. Mereka nampak macam dah terperangkap. Ada 7 orang jaga naik ke atas berhimpit-himpit dalam kawasan tangga. Jaga Lam memberi arahan supaya tak tembak Zip dan Linda. Lam mahu mereka hidup-hidup. Mahu tahu kenapa, bagaimana, siapa dan macam lagi.

             Zip dan Linda penat. Mereka tarik nafas dalam-dalam dan berhenti gelak. Mereka berpaling dan perhatikan orang yang nak tembak mereka tadi. Orang kejar mereka pun sama penat.

             “Aku Zip dan dia Linda,” orang jaga pelik. Seorang jaga Lam mendekat mereka dengan pistol tak penat diacukan pada mereka. Zip dan Linda belakang sikit, dah naik dekat hujung bangunan. Mereka macam nak terjun. Tapi apa kisah jaga tu. Kalau mereka bunuh diri, apa dia peduli. Bos dia dah bayar orang kuasa. Cuma cuci saja darah dan mayat sama macam majlis bandaraya cuci jalan raya di malam hari. Cepat dan bersih.

               “Kami sedang bercinta. Aku sayang Linda,”

               “Dan aku sayang Zip,”

              “Dan Lam nak jumpa kau berdua. Mari sini, kau takkan mati sekarang,”

            Zip dan Linda menjatuhkan badan mereka ke belakang sambil senyum. Jaga Lam tu cuba nak capai mereka tapi tak sempat. Mungkin mereka dah jatuh. Dapat dia bayangkan kepala Zip pecah, otak terburai. Badan cantik Linda yang penuh darah dengan kaki yang patah. Sayangnya...

           Dia tengok ke bawah bersama 6 orang jaga lain. Zip dan Linda dah tak ada. Cuma ada satu plastik bersegi di bawah yang dah kempis, yang sedang diisi angin balik. Seorang nampak Zip dan Linda lari ke balik bangunan lain. Mereka cuba kejar tapi jaga Lam kata dah terlambat.

         Mati aku kena maki dengan Lam. Dia tak sangka pula Zip dengan Linda memang ada perancangan nak lari atas bangunan dan terjun ke atas beg (ala tilam besar) yang selalu digunakan oleh bomba untuk selamatkan orang yang nak terjun bangunan itu. Warna hijau. Persiapan perlu rapi. Beg itu akan kempis kalau orang duduk atasnya kerana kuasa penolakan aingin yang disalurkan. 

            Ada seorang jaga nak lompat juga atas beg tu. Tapi tak berani. Ditolak pula oleh jaga Lam kerana geram. Orang tu terselamat. Dia kata seronok pula. Dan memang menjadi beg udara tu.

                 Jaga Lam tak gelak dan tak gembira langsung. 




Apa macam? Ini karya masih secara kasar. Gua mahu bikin filem cerita ini. Masih panjang dan memeningkan nanti. Jadi, sabar. Kepada lu orang yang mahu sponsor gua bikin filem ini, silakan. Gua boleh bikin filem kasi lu punya nama naik. Jangan risau, lu takkan kena tipi pasal gua bukan penipu ma... Apa itu ma? Gua pun tak tahu. Selamat jalan Romeo... Nama gua Ashroff Nor Shaid. Ada dalam karya gua tadi.

p/s : Dunia Dystopia dalam zaman yang tak menentu. Kisah yang panjang, kena sabar pengakhirannya. Ini adalah Prolog dan akhirnya.


040412 / 2247 / S.Y.Mu + Ashroff Nor Shaid

Khamis, 5 April 2012

Aku, Ayah dan Harapan


Aku berjanji dengan Ayah yang aku akan menolong dia mengemas kebun hari ini. Adik ku juga mahu membantu.  Hari ini cuti lagipun, apa yang kami boleh buat di rumah.
       
              Ayah kejutkan aku di hujung minggu seawal 6 pagi. Berjemaah Subuh bersama di surau. Adik aku memang payah sikit mau dikejutkan. Bila dipukul kejut baru payah dia meliat nak bangun.
  
         Selesai solat, aku berkemaskan parang, sabit, cangkul dan benih buluh yang Ayah beli untuk perancangan kebun buluh kelak. Buluh madu katanya. Tak gatal dan cantik jika dijaga. Harus jaraknya 6 kaki setiap satu dan setara sebaris supaya mudah diuruskan nanti. Tak perlu sapu buang daun-daun gugur untuk tiada pokok renek kecil naik nanti. Dan daun kering itu juga boleh dijadikan baja semulajadi. Benih ni juga dibeli oleh orang Melayu sendiri yang menjadikan kebun buluh madu sebagai pendapatan sampingannya.

              Lama dah aku fikir mahu bersendirian dengan Ayah selepas selesai SPM dan mendapat keputusan yang elok-elok saja. Aku yang sejak dari kecil tidak pernah berkebun, memandang perkara ini sebagai sesuatu yang membebankan tetapi inilah peluang untuk aku menceritakan impian aku. Inilah masanya. Tak ada lagi esok mahupun lusa. Akan terlambat kalau dilengahkan lagi.
       
            Ayah suruh aku bawa sedikit baja pokok bunga yang biasa kami tanam di sekitar rumah. Setakat tanam pokok bunga dan pokok mangga di sekitar rumah, kami biasa mengerjakan sekali sekala. Tetapi untuk berkebun sebanyak 50 anak benih buluh di kawasan tanah 12 ekar yang Ayah baru beli setelah pencen, aku dan keluarga aku sendiri tak pernah. Adik, Mak dan Kakak pun rasa lemah bila mahu berkebun. Ayah dah biasa begini. Dia biasa bekerja sendiri – maknanya berkebun, menternak dan berniaga. Kami yang lain biasa hidup sederhana, tanpa Astro dan segala bagai.

         Aku dan Adik masuk ke dalam kereta setelah memuatkan semua benih buluh. Ini kereta pikap syarikat Ayah berikan padanya sempena bersara. Adik duduk di belakang dan aku duduk bersama Ayah. Kini aku dan dia berdua. Tapi aku tak boleh buka bicara. Kelu kerana tak tahu bagaimana harus bermula. Lagu klasik berkumandang dalam radio yang tak boleh diubah tinggi rendah bunyinya.

             Ini kali kedua aku masuk ke dalam kebun baru kami ini. Inilah tanah yang akan diserahkan kepada aku kerana aku anak lelaki sulung, kelak. Aku kena tahu selok belok jalannya. Sulit tetapi tak sukar kerana ada sungai, rumah pelik di satu sudut, rimbunan buluh galah, dan akhir sekali lorong sempit di balik tiang elektrik.

              Sampai sahaja di sana, kami bersiap-siap memantau sempadan tanah kami. Dari kayu merah cacak ke kayu merah yang lain, membayangkan besar dan dimensi tanah kami dari atas. Selerak, penuh sesak dengan semak dan pokok yang tak diingini. Kata Ayah, ada 20 pokok durian atas tanah kami, 5 pokok langsar, 2 pokok nangka, 3 pokok mempelam, dan banyak pokok lain yang nak ditanam. Di dalam tanah kami, ada sebatang anak sungai yang melalui. Sejuk tetapi keruh. Ayah bercadang mahu tanah lebih kurang 12 benih pokok buluh di seberang sungai untuk memperkuatkan lagi tanah tebing tanah supaya tak terhanyut tanah, pasir dan membesarkan lagi sungai.

            Dah puas meneliti, kami bersiap mahu bekerja keras. Air 4 botol sejuk kami bawa yang kelaknya nanti pasti akan rasa biasa – tak lagi sejuk. Aku bersiap seperti yang diajari semasa dalam Kadet Polis dahulu. Seluar panjang, pangkal seluar dimasukkan ke dalam stokin. Kasut harus pakai, kalau tak mahu darah disedut pacat.

             Aku memegang sebanyak mungkin benih buluh bersama parang dan cangkul. Ayah memberitahu mana mahu ditanam, mengikut ukuran dan barisan yang betul. Adik menebas semak sedikit-sedikit di tempat yang mahu ditanam dan aku menggali lubang kecil untuk ditanam benih buluh. Kemudian aku tanam kira-kira 1 kaki – cukup untuk gegelangnya di dalam tanah. Sama saja seperti tanam pokok lain seperti pokok tebu.

             Selesai di seberang sungai, kami berpindah berdekatan dengan kereta. Tanah lembut kerana malam tadi hujan. Berita itu kurang senang kepada Mak dan Kakak kerana mereka takut pacat. Dan Adik dah pun di’pacat’ 2 kali di kaki. Ayah tak kisah. Pacat haiwan yang mulia kerana sanggup menyedut darah kotor manusia.

              Aku korek lubang dan Ayah tolong tanam. Adik dah cedera apabil terlibas kakinya sendiri dengan parang. Tak luka besar. Cuma luka sedikit. Tak teruk sangat tapi dia perlu rehat. Pedih katanya bila terkena air hujan (embun).

             “Kamu nak sambung belajar kat mana? Ada fikir? Dah dapat dah tempat yang kamu mohon dulu?” Ayah masih mengharapkan aku menyambung pelajaran apa yang aku pelajari semasa SPM dulu.
Keputusan SPM aku tak memberansangkan. Terdapat 2 A2 (ketika ini masih menggunakan format lama), 1 D7 dan ada 1 F10. Jadi kemana boleh aku pergi? Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Di sinilah peranan aku untuk buka bicara.

          “Abang tak nak ambik Elektrik lagi dah. Asas untuk ambil Diploma Elektrik pun Abang gagal dalam SPM,” alasan. Aku terus saja mengorek lubang. Ayah menyalakan sebatang rokok. Dia tak pandang muka aku. Dia terus saja kembali menanam benih buluh yang lain.

             Tanyanya, apa yang aku nak buat? Aku sejak dahulu suka bercerita. Suka menonton filem – walau jarang menontonnya di pawagam, tetapi di TV ada Blockbuster Movie, Movie Mania, Midnight Movie, Panggung Sabtu, Drama Minggu Ini. Inilah yang membangkitkan minat aku dalam bercerita. Aku juga agak rajin dalam membaca novel. Tapi aku sendiri tersedar apabila aku membaca, aku dapat membayangkan setiap inci dalam cerita yang dibaca. Aku ada cuba menulis skrip aku sendiri tetapi entahlah bagus atau tidak.

             Itulah yang aku inginkan. Bercerita. Aku ingin menulis skrip dan menyampaikan sebuah cerita. Tak kisahlah dalam filem, drama atau lain-lain format. Aku cuma ingin bercerita. Mungkin saja kerana hidup aku tak ada yang menarik untuk dikongsikan tapi aku kuat berimaginasi. Tentang cinta, tentang perempuan, tentang keluarga yang sempurna, tentang aku sendiri, tentang masa depan.

         Ayah senyap. Dia minta Adik turun tolong aku. Dia dah penat. Ayah tinggalkan kami pergi ke tempat untuk berehat. Adik dengan kaki terhincut-hincut, gagahlah membantu aku. Untuk menaikkan semangat dia, aku bercerita tentang bagaimana aku mahu membikin sebuah filem tentang aku dan seorang perempuan dalam dunia yang pelik. Penamat yang indah. Kami bergelak ketawa apabila masing-masing menokok tambah dalam cerita aku. Bila hampir tamat ceritanya, Adik menambahnya lagi dengan aksi dan cerita peliknya pula. Bila difikirkan pula, Adik aku pun gemar bercerita. Adakah aku penyebabnya? Aku tak mahu Adik ikut jejak aku nanti. Takut nanti tak ada adik beradik yang mahu mengerjakan tanah kami kelak. Inikan tanggungjawab aku? Adakah ini bermakna aku lari dari tanggungjawab yang akan diserahkan pada aku kelak? Ayah mahu aku sentiasa di kampung. Belajar, dan kembali berkhidmat di sini. Bersama Ayah, Mak dan adik beradik. Aku juga mahu bebas, mahu keluar dan belajar mengenal dunia, mengejar impian aku. Harapan aku tetap satu, mahu membuatkan keluarga aku bangga dengan pencapaian aku. SPM, tak Berjaya. Mungkin masa depan aku akan berjaya. Biasanya orang tua akan fikirkan anak mereka akan berjaya apabila mengabdikan diri kepada ibu dan bapa kelak bila tua. Sebelum sampai ke tahap itu, aku mahu berdikari dan buat silap. Aku mahu mengenal risiko.

          Mak dah sampai ke kebun. Di takutkan pacat. Dia baru selesai masak untuk makan tengah hari. Ayah yang mencadangkan kami semua makan tengah hari di kebun selesai berbudi pada tanah. Mak sediakan makanan kegemaran aku. Ayam masak merah (mungkin masak kuzi, aku tak tahu bezanya), kobis masak lemak dengan sambal tempoyak. Kami mempersiapkan tempat makan sementara Mak berdiri di atas jalan kecil kampung yang tak ada tanah, tak ada semak – khuatir pacat merayap.
Ayah aku lihat sedang mencari sesuatu di dalam kereta yang Mak bawa tadi. Kakak mencedok nasi ke dalam pinggan. Mak melangkah laju ke atas tikar yang kami dah bentangkan atas tanah (kami). Semua bersiap untuk makan, kami tunggu Ayah.
Ayah datang dengan memegang satu keratan akhbar. Dia serahkan padaku dan duduk. Dia terus saja baca doa dan mula mencedok lauk. Yang lain turut ikut. Aku terpinga memandang keratan akhbar itu. Itulah impian aku. Harapan aku.
Kata Ayah, dia dah tahu apa yang aku mahu dari dulu lagi. Memang ya, dia tak dapat paksa aku untuk terus dalam bidang Elektrik kerana bagi dia bidang ini boleh menjamin masa depan – gaji yang boleh tahan kalau betul bagus. Dia tak boleh pegang aku selamanya di kampung. Tak perlu aku cakap, dia dah boleh perasan yang aku tak minat bidang itu. Keputusan SPM aku menunjukkan yang aku memang tak berminat. Lebih lagi, dia ada terbaca skrip yang aku tulis dahulu. Katanya, baik sahaja. Dia tak tahu bagaimana mahu membaca skrip (skrip yang aku tulis pun rasanya menggunakan format skrip pentas), tetapi dia kata aku boleh bercerita. Mungkin saja macam novel tapi tak sama, kerana perlukan imaginasi.
Mak hanya tertunduk-tunduk makan. Kakak mencedok lagi lauk. Adik menambah perisa nasi dengan kicap masin. Nasi aku masih tak terluak. Ayah mencubit sambal tempoyak lagi.
Dia terjumpa pengambilan untuk Diploma di sebuah akademi (universiti) seni dalam surat khabar tempoh hari. Dia ada fikirkan aku. Sebab tu dia ajak aku ke kebun. Dia mahu berbincang dengan aku mengenai masa depan aku. Mengenai apa yang aku betul-betul mahukan. Adakah aku berani untuk mengaku? Jika aku tak berani, maknanya aku masih belum bersedia mahu berdikari sendiri. Dia tak kisahkan aku tinggalkan mereka untuk belajar. Cuma jangan lupakan mereka.
Aku cuma senyap sambil terus memerhatikan keratan akhbar itu. Aku senyum. Terus saja aku melahap makan makan tengah hari yang (mungkin saja) disediakan khas untuk aku. Tapi ayam dah tinggal kepak je. Alamak. Lama sangat aku berfikir. Layan ajalah…