Isnin, 1 September 2014

Masa & Farah

Masa. Semua apa yang kita lakukan, memerlukan masa. Atas kesedaran itulah membuatkan kita merasa, berperasaan. Mencipta emosi ketika diri memerlukan jawapan kepada reaksi. Tetapi selalu masa bukan milik kita.

            Ini cerita tentang Farah. Dia seorang remaja yang masih dalam kolej untuk mendapat kelulusan master dalam bidang sastera. Seperti orang lain, selepas kehilangan, dia akan berseorangan dan berdiam saja. Tidak bersama rakan, walau sebelum ini dia adalah seorang yang happy-go-lucky.

            Puas sudah aku memujuk dia untuk bangkit melawan perasaannya. Aku cuba bersuara untuk meneruskan hidup walau kehidupan sekelilingnya mulai runtuh. Dia tak berdaya. Hampir dua minggu setelah kehilangan.

            Mungkin aku belum cukup kuat memaksa dia. Atau baik jika aku menyemak kembali kenangan lamanya dan bawa dia kembali pada zaman itu untuk mencari balik dirinya yang lama. Mungkin saja aku boleh jadi Farah di usia 13 tahun.

            Farah. Farah. Bangunlah. Aku tau ini adalah hari yang susah untuk kau terus berusaha. Marilah Farah. Aku bawa kau berjumpa dengan kekasih lama kau. Kekasih pertama kau.

            “Aku penat. Aku tak larat.”

            Aku tahu. Tapi kau kena gagahkan juga. Hidup ni bukan hanya sedetik je, Farah. Hidup ni punya masa.

            “Ini masa aku untuk lupakan. Ini masa untuk aku bersedih. Ini masa untuk aku menyendiri.”

            Farah. Jangan menangis. Aku bukan sengaja, Farah. Maafkan aku. Tapi kau harus bangkit juga. Marilah, Farah. Aku tak mampu mengharungi kenangan ni seorang diri.

            Aku tahu kau kuat. Sebab tu kau sudi bersama dengan aku. Aku adalah diri kau, Farah. Tapi aku muda. Aku adalah kau semasa kau mendapat cinta pertama kau. Dia Jay. Nama penuh, Johan Jilani bin Abdul Jafar. Kau memang suka kat dia. Eh, bukan kau. Aku. Aku suka pada dia bila kita mula masuk sekolah lagi. Aku sedar dengan perwatakan dia sejak dia mengeluarkan sikat pada poket dan mula menyisirkannya pada rambut dengan lembut, menyisir bentuk ‘M’ pada dahi. Itulah fesyen Tomok, The Moffats, The Hanson, Backstreet Boys, N’Sync. Zaman boy band.

Aku nampak kau senyum, Farah. Aku tahu hati kau masih mahu gembira. Hati kau nak melupakan. Walau ianya pahit, aku akan bawa kau kembali kepada dunia kau yang dulu. Itu janji aku, Farah.
“Aku dah lupa langsung pada Jay.”

Dia sekarang dah jadi arkitek, kau tahu? Walau tak berjaya mana, ada beberapa design dia dah jadi nyata. Projek dia yang paling besar adalah projek di Sentul. Tapi sekarang orang dah tak panggil dia Jay. Orang panggil dia Jilani. Nama penuh. Yang paling tak disangka, Jay dah jadi rendah diri. Ingat tak masa dekat sekolah dulu. Awal-awal dia cuba nak tackle kau? Punyalah berlagaknya dia. Rambut berkilat, baju sekolah dikeluarkan belah belakang (depan ke tuck-in), seluar selabuh mungkin, minyak wangi semerbak harum. Awak Farah kan? Itu ayat pertama aku dengar bila dia mendekat bila kelas melalak bising bila Cikgu Soraya lambat hadir. Aku senyum tunduk malu. Kawan sebelah dah mula menyiku. Awak punya surat ke ni? Masa tu aku buat-buat tak ingat yang aku ada buat surat dan letakkan dekat dalam laci meja dia. Berbedak berpantun berbunga bagai. Siap lipat origami bentuk hati. Aku dengar kawan sebelah cakap dengan Jay. Macam mana kau tahu itu Farah yang tulis? Aku siku balik Leha, minta dia senyap. Dan aku kembali tunduk malu. Surat tu Leha dengan Anne punya idea. Leha suruh aku tulis pada kertas berbunga. Anne suruh letak bedak. Tapi origami tu memang idea aku. Tak sangka pula dia terima surat tu. Baru ingat aku nak ambil balik surat tu nanti bila dah waktu rehat. Jay cakap kenal tulisan ala ‘Blues Untuk Aku’ yang aku biasa tulis masa kita orang dalam kumpulan sastera dulu. Dia masih ingat stail tulisan aku walau dah dekat sebulan lebih kami dalam kumpulan tu bersama. Kau masih ingat degupan jantung aku pada waktu tu, Farah? Punyalah laju. Aku masih ingat yang aku hampir tak bernafas. Cikgu Soraya masuk kelas dan Jay pun kembali ke tempat duduk. Mata aku mengekor liuk tubuh Jay ke mejanya di belakang kelas. Bila dia duduk, dia terpandang aku yang sedang pandang dia. Dia senyum. Luluh jantung aku.

“Aku masih ingat kali pertama dia ajak couple.”

Masa tu dah kali ke-2 kami keluar bersama. Pertama kali dulu, Leha menggatal nak ikut sama. Kali ini, kami keluar berdua. Pergi lepak di shopping mall. Duduk di kerusi, mengadap orang ramai di bawah sedang membeli belah. Kami berbual sakan pasal kawan-kawan di sekolah, pasal cikgu, pasal hobi. Dia suka tengok bangunan. Dia suka lukis. Dia suka baca komik. Tapi dia tak suka bersuka. Dia kaki bangku. Dia tak suka berpeluh. Dia tak suka lalu tepi lori sampah. Kami berbual macam kawan lama. Bila kami dalam perjalanan balik, di dalam bas, aku dengar suara dia. Seronok juga berkawan dengan awak ni. Awak baik. Tak tahulah…

“…kalau awak nak jadi girlfriend saya ke tak.”

Kan? Comel tak ayat tu, Farah? Ayat innocent yang keluar dari mulut lelaki bernama Jay, yang berlagak dan macho tak tentu pasal.

Aku suka tengok kau mula tersenyum balik, Farah. Dah lama aku tak merasai senyuman kau.

“Berapa lama aku dengan Jay?”

Tak lama. Tak sampai setahun pun. Jay pindah kelas. Lepas tu dia mula dengan awek lain. Masa tu aku marah bukan main. Tapi tak boleh buat apa. Awek baru dia tu lagi cun. Tapi bimbo semacam. Perasaan aku masa tu, sama macam perasaan kau sekarang, Farah. Perit bila dia tak pedulikan aku. Lama sebelum aku tau dia dah ada awek lain. Aku asyik terperap je dekat rumah. Ayah aku punya mengamuk bila dapat tahu aku tak pergi sekolah dah 3 hari. Mak macam biasa, cuba menyebelahi aku. Tapi mak pun kena marah. Aku ingat lagi bila mak kena sekolah dengan ayah pasal aku tak pergi sekolah. Muka mak sememeh je. Malas nak layan.

“Mak memang macam tu. Apa yang ayah cakap, semuanya keluar balik ikut telinga kiri.”

Esoknya, aku pergi sekolah balik tapi hati aku tetap sama. Bila aku nak masuk kelas tu, terasa berat kaki aku nak melangkah. Tambahan lagi bila aku nampak Leha dengan Anne meluru cuba nak dapatkan aku. Kaki yang aku halakan ke dalam kelas terus divert ke dalam tandas. Aku menangis sorang-sorang dalam tandas. Sesi persekolahan dah mula tapi aku masih dalam tandas. Leha dan Anne ada cuba pujuk aku dari balik pintu tandas, tapi aku tak peduli. Aku terlalu sedih, malu nak berdepan dengan kawan baik aku. Sampailah Cikgu Mas mengetuk pintu tandas tanya aku okay ke tidak. Aku gagahkan juga buka pintu tandas dan aku tengok ramai guru dan rakan lain di luar tandas. Dan barulah aku sedar ada seorang pengawas sedang mengintai aku dari atas kotak tandas. Mereka semua takut kalau aku ada buat benda yang tak baik. Contohnya macam kerat tangan ke, telan pil panadol ke. Umur 13 tu memang umur yang bahaya untuk budak perempuan. Macam-macam yang mereka akan buat untuk menghilangkan rasa sakit pada hati. Itu yang Cikgu Mas cakap. Dia bawa aku ke bilik guru. Dia suruh aku rehat dan tidur. Cikgu Mas ada di samping aku bila aku sedar 10 minit kemudian. Aku tak boleh tidur. Bila balik, Leha dan Anne temankan aku. Kami semua senyap sepanjang perjalanan. Leha cakap dia akan temankan aku tidur di rumah malam nanti. Dia akan kembali petang nanti. Malam tu, Leha dengar luahana aku. Perasaan aku. Cerita aku. Aku ceritakan semuanya pasal Jay. Macam mana kami mula-mula berkucup. Aku halang dia daripada meraba seluruh tubuh aku. Dan seminggu selepas mencuba, Jay senyap. Hilang. Mungkin kerana tu dia jadi tamak. Leha dengar saja penjelasan aku. Dia peluk dan menangis bersama dengan aku. Leha adalah kawan yang terbaik, Farah.

“Tapi Leha dah berubah. Kami dah tak rapat dah sekarang. Bila aku ceritakan pada dia tempoh hari dalam telefon, dia macam meluat. Aku pun tak suka nak kacau orang. Tapi aku nak luahkan cerita aku pada orang lain. Mungkin orang lain takkan faham apa yang aku alami, tapi cubalah untuk fahami.”

Farah. Aku ada di sisi kau. Di dalam hati kau. Di dalam fikir kau. Aku sentiasan bersama kau. Dah 2 minggu perkara ni berlalu, Farah. Kau harus lepaskan dan teruskan dengan kehidupan kau.

“Tapi aku tak boleh.”

Sudah semestinya kau boleh. Kau ingat mak suka tengok diri kau sekarang? Kalau boleh dia hidup kembali, mesti disekolahkan kau. Punyalah panjang lebar ceramah dia nanti.

“Aku rindu nak dengar suara dia balik. Aku sudi nak bayar nyawa aku untuk dengar ceramah dia balik.”

Kau terfikir nak bunuh diri, Farah? Kenapa kau senyap? Kau sanggup nak tukar nyawa kau dengan mak ke? Kau ingat mak akan bergembira bila dia hidup dan kau mati? Kau sanggup nak lihat dari atas bila mak pula jadi macam kau? Menangis tak henti-henti, melangut macam orang gila. Ayah pula tak terurus. Itu yang kau nak? Kau sanggup ke nak buat semua tu untuk mak hidup balik?

Menangislah, Farah. Tangisan tu ubat. Biar kau menangis daripada fikir kau dikotori dengan fikiran negatif. Kau patut bersyukur mak meninggal dalam tidur. Dia tak sakit. Abang Ngah pun dah bawa mak dengan ayah pergi haji tahun lepas. Mereka dah bersedia, Farah. Mati itu pasti. Kita manusia tak boleh mengelaknya.

“Tapi aku belum bersedia…”

Biar aku bawa kau ke masa depan, Farah. Masa depan itu belum tentu tapi biar aku bawa kau kepada kemungkinan itu. Aku bayangkan aku dah masuk umur 62 tahun. Waktu tu aku sedang duduk di kerusi rehat di depan rumah. Rumah tak besar mana tapi itulah rumah yang aku dan engkau nak duduk masa waktu tua. Aku tengah tengok Tiqah main-main di laman rumah. Aku rasa dia tengah kutip daun-daun untuk buat masak-masak. Dia bawa daun tu kepada Daus yang sedang elok duduk di atas rumput sambil menghentak-hentak mainan masakan. Mereka cucu kau, umur 3 dan 2 tahun masing-masing. Aku menjaga mereka di waktu siang bila anak kita pergi kerja. Kita ada 3 orang anak. Sulaiman, Sarimah dan Salman. Sulaiman sudah berumah tangga. Dah ada 4 orang anak. Mereka duduk di Glenmarie, Shah Alam. Sulaiman kerja jual kereta besar dan isteri dia jadi supervisor dekat UiTM. Anak mereka bernama Farah Idayu (5 tahun), Farah Amila (4 tahun), Zainal Jilani (2 tahun) dan Huzir Jilani (1 tahun). Ya, kita berkahwin dengan Jilani, Jay kita dulu. Sulaiman memang jenis sentimental. Dia suka nak letak nama kita dengan Jilani dalam nama anak dia. Sarimah sekarang kerja di Jabatan Kerajaan Negeri di Ipoh. Suaminya di Jabatan Budaya. Mereka ni dulu suka menari. Tapi payah sangat nak cari kerja. Jadi mereka ambil kerja kerajaan. Anak-anak mereka, mereka hantarkan pada aku. Mengubat juga rindu dengan budak-budak. Salman pula sekarang ni tengah kerja dekat KL dalam bidang pengiklanan. Hidup dia memang tak tentu sebab tu belum kahwin lagi. Tapi baru minggu lepas dia bawa balik Halimatun berjumpa dengan kami. Manis orangnya. Lemah lembut. Orang Perak juga. Aku dah lupa orang mana. Nampak macam ada harapan nak tengok anak bongsu mendirikan rumah tangga. Jadi itu hidup kau yang aku bayangkan 30 tahun lagi.

Kenapa aku ceritakan ni pada kau? Kerana aku nak kau tengok diri kau masa dekat kerusi rehat tu. Tengok setiap kedut yang ada pada pipi, dahi, bibir. Semua itu adalah tanda kau gembira. Cinta pertama kau dah bawa kau ke arah kebahagian. Cinta lama itu, cinta monyet. Kesilapan yang telah dia pelajari.

“Mana aku tahu dia dah mengaku silap dia?”

Dah 15 tahun perkara tu berlaku, Farah. Mungkin kau tak sedar, tahun lepas, reunion sekolah. Pada waktu tulah aku sedar dia dah berubah. Dia datang dengan baju kemeja, kemas bergaya. Tapi merendah diri. Macam mana aku boleh tahu? Pasal aku tengok dia, Farah. Mata kau mengekor tajam Jay. Kau rasa macam kau kenal lelaki tu. Tapi bila kau sedar itu adalah cinta kau yang dulu, kau cuba tak endah. Tapi dengan pantas otak-fikir-rasa kau dah buat penilaian pada Jay. Hanya dengar suara dia dari jauh, halus dia bercakap ‘Jangan panggil aku Jay dah. Nama aku Jilani. Jay tu nama budak-budak dulu,’ kau dah buat keputusan Jay / Jilani dah berubah. Tapi kau tetap menolak kehadiran dia. Bila dia cuba mendekati kau, kau menolak dia. Aku tahu pasal aku adalah kau, Farah. Mungkin ini kesilapan yang kau buat, kerana kau tak sedar. Dalam setiap kehilangan, pasti akan ada yang akan hadir untuk mengisi kekosongan itu. Dan dalam diri kau sendiri kau rasa kau kesunyian. Jadi kenapa perlu kau menolak panggilan Jilani selama 2 miggu yang lepas? Dia cuba nak memujuk kau. Selepas reunion tu, dia cuba mencari kau. Dia minta nombor telefon kau daripada Leha dan Anne. Dan dia hubungi kau. Kau orang nampak rapat setelah sekian lama tak bertemu. Kau orang berbual dan keluar bersama. Walau dia tak pernah ajak kau menjadi teman dia, tapi aku tahu itulah yang paling diinginkannya sangat. Tapi kenapa kau tak mahu membalas panggilan dia, Farah?

“Aku belum bersedia untuk dia. Aku masih rindu mak.”

Bila kau duduk di atas kerusi rehat kau di laman rumah, ada kau nampak Jilani?

“Tak.”

Waktu tu, sudah lebih setahun Jilani meninggal.

“Kenapa perlu kau bercerita sedih macam ni pada aku!?”

Kerana aku nak kau sedar, walau Jilani dah meninggal, adakah kau berasa sedih waktu tu? Kau gembira bila Daus menangis kerana Tiqah pukul Daus pasal Daus dah buat sepah dengan dapur mainan mereka. Kau tersenyum dengan kerenah cucu-cucu kau tu. Kau tahu hujung minggu tu, Sulaiman akan bawak keluarganya bersama dengan Sarimah dan Salman pula akan bawa Halimatun balik ke kampung untuk makan malam bersama dan mereka akan bawa kau pergi berjalan keliling dunia untuk ucapkan terima kasih mereka kepada kau yang membesarkan mereka. Ada kau nampak diri kau bersedih?

“Aku nampak diri aku sedang senyum tapi mata aku menangis.”

Itulah senyuman gembira, Farah. Aku gembira dengan kebahagiaan yang kau ada. Kau bersyukur kau berjumpa kembali dengan Jilani. Jilani dah membahagiakan keluarganya. Tetapi itu cuma masa depan yang aku nampak.

“Belum tentu ianya betul.”

Tetapi belum pasti ianya tidak akan menjadi kenyataan. Jadi sekarangnya, kau bangkit. Telefon bimbit kau dah bising dari tadi. Panggilan dari Jilani aku rasa. Bangun dari katil kau dan cuci muka. Lekas, bangkit. Kau nak biarkan lagi panggil itu terbiar begitu saja? Kau nak biarkan masa depan yang aku ceritakan tadi menjadi cerita dongeng ciptaan kata hati kau? Lekas, bangun.

“Iyalah…!”


Tapi sebelum tu. Boleh aku tengok kau senyum sekali lagi di dalam cermin?

Selasa, 3 September 2013

Mata Lelaki

Seringkali kita dengar dari para lelaki bahawa ketaksuban mereka melihat perempuan menjadikan mereka seorang lelaki sejati. Di depan rakan, keluarga mahupun teman wanita mereka. Sangkaan mereka, jika mereka tidak melihat perempuan, maka mereka akan melihat lelaki. Lelaki yang melihat lelaki? Ew... Gay.
            Tanggapan mereka.
            Jika mereka tiada perempuan yang seksi mahupun berbadan mantap, adakah para lelaki ini akan memandang 360 darjah keliling leher menatap keayuan seorang perempuan muslimah menutup litup tubuh mereka? Ya. Mereka tetap akan memandang jika perempuan itu cun melecun, cantik, berkulit mulus. Kerana mereka lelaki.
            Tidak bolehkah sekiranya seorang lelaki itu, dengan tidak palsu menyajikan penghormatan kepada perempuan di sekelilingnya (terutama keluarga – yang disayangi)? Inilah pengorbanan seorang lelaki terhadap jiwanya untuk menyayangi yang disayangi sepenuhnya. Sejujurnya.

            Dan mereka inilah lelaki sejati.



03092013  |  1138  ashroffnorshaid

Isnin, 1 April 2013

Putus

Kita tak mampu meletakkan satu harapan terlalu tinggi untuk kepentingan dan keuntungan untuk kita semata. Kita selalu saja boleh membayangkan kesengsaraan yang lain, yang kita sayang. Tetapi manakan kita mampu untuk melakukan satu pilihan yang paling penting dalam hidup kita. Ini cuma satu perasaan. Satu kasih yang membezakan cinta dan benci. Ini sebuah cerita tentang perpisahan. 

 . 

Apa yang kita boleh jangka kalau awan itu pecah menjadi bentuk hati yang kemudiannya meresap ke dalam jiwa, yang kemudiannya menghidupkan kita menjadi manusia bersyukur yang menerima cinta terindah di dunia. Pada fikiran, itu adalah aku. 

            Tatkala ini, kita rasa yang kita telah memberikan hati sepenuhnya kepada cinta. Tetapi kita lupa, setiap kehidupan, pasti adanya mati. Selepas mati, pasti adanya hidup. Maksud aku, setiap cinta, pasti adanya perpisahan. Setiap perpisahan, pasti adanya cinta yang baru. Tapi tak semua orang boleh faham tu. Proses itu memedihkan walau kita sedar kehidupan yang baru tu. Perit dan memedihkan. Apa kita boleh buat? Memendam perasaan. Memberi tekanan. Menyakitkan diri. Kenapa? Itu adalah sikap manusia itu sendiri. Kita punya perasaan.

            Jangan nak menyalahkan perasaan jika kita sendiri tersilap dan tersadung. Jangan mengharap ada yang akan membantu. Kita sendiri perlu tabah untuk bangun sendiri. Gagahkan kakimu dan kukuhkan tapak untuk berdiri. Bangkit dan berdiri megah, ini adalah aku. 

            Tapi, dia tetap pergi. Dia tetap hilang. Akan juga hilang dalam jiwa, dalam hati, dalam perasaan. Akhir sekali, mungkin juga memori - satu alam paling besar dalam tubuh kita. Peringatan untuk simpanan minda. Kenangan ini yang aku tak ingin lupakan. Dia masih di sana. Menanti untuk aku mengizinkan dia pergi. Kata-katanya, cara dia berdiri dan gerakan badan, tangan dan riak muka, tak akan lupakan dalam saat itu. Walau hanya untuk seketika, tapi aku rasa berpuluh masa terhenti, membiarkan memori itu kekal lama untuk di simpan dalam almari minda yang dikunci kukuh - takkan hilang.

             Dia kekal di sana. Memandang penuh harapan. Untuk berpisah.  

          Aku tahu dia sedar reaksi muka. Riak wajah aku yang kelam. Aku pasti dia tahu perasaan aku ketika itu. Luruh jiwa untuk mendengar kata-katanya selepas ini. Sebak. Aku tak mampu lagi. 

             "Saya nak pergi ke tandas pun tak boleh ke? Takkan itu pun nak buat drama..." itulah kata-kata yang perit untuk aku dengar. Perpisahan inilah yang tak boleh aku tanggung. Walau hanya untuk seketika. 

               Oh! Kejamnya dunia!

 . 

Flush!

Dia dah kembali!

Ahad, 30 September 2012

Terbaru Dari Aku : Sebuah Pengalaman



Risallah Untuk Cinta

8 minit / 2012 / Drama Romantik

Pengarah & Penulis Skrip : Ashroff Nor Shaid / Penolong Pengarah 1 : Syakira Pauzi / Penolong Pengarah 2 & Penolong Pengurus Produksi : Ammar Abdul Adzis / Pengurus Produksi : Azri Abu Hassan / Pengarah Forotgarfi & Jurukamera : Yasran Aiman / Pembantu Jurukamera & Juruaudio : Charles Roberts / Penyunting : Aliff JJ & Ashroff Nor Shaid 

Perbelanjaan : (ehem-ehem)


Sebuah filem pendek hasil daripada emosi bila mendengar lagu Sheila On 7, 'Berhenti Berharap' feat. Dian Sastrawadoyo (membaca puisi). Sudah lama aku tidak membikin cerita cinta. Lantas aku memikirkan sesuatu yang mahu kesamaan dengan 'Waiting for Godot' oleh Samuel Beckett. Secara ringkasnya, aku membayangkan 2 orang perempuan berbicara tentang sesuatu. Perempuan menangis dan perempuan pendengar. Yang menangis asyik mempersoalkan kenapa hubungannya (bersama lelaki lain) yang diberikan kebahagiaan dan perlu diakhir dengan kematian. Dalam 'Waiting for Godot', watak -wataknya seringkali mempersoalkan apa yang mereka sedang tunggu. Secara lapisan, mereka mempersoalkan kehadiran Tuhan. Dalam karya ini juga, aku memberikan tanggapan kepada perempuan menangis yang mempersoalkan Tuhan, kenapa takdirnya perlu begitu. Untuk menjadikannya lebih berat, aku jadikan watak perempuan pendengar itu, seorang yang meminati perempuan lain (perwatakan bagai tomboy tetapi perasaan lebih meminati perempuan) dan perbezaan agama. Apabila kita lemah, mudah saja orang lain yang lebih sukakan kita, kuat, pasti akan mengambil peluang ini untuk bersama mereka. 



Dalam masa 2 hari, aku kumpulkan sahabat handai aku untuk membantu dalam melaksanakan filem pendek ini. Aku hasilkan skrip dan terus saja melakukan audition di ASWARA. Alhamdulillah, sambutan yang hadir agak ramai, walau saat-saat akhir mereka hadir (berharap), di kala aku mahu bungkus (pulang), hadir dua bidadari yang amat sesuai memegang watak Meg dan Sya. Mereka adalah Syazana Nadira dan Iklil Jannah. Pada mulanya aku keliru, mahu menjadikan siapa berwatak Meg. Iklil berfizikal agak matang dari Sya tetapi Sya lebih matang daripada Iklil. 2 minggu sebelum penggambaran, aku berikan watak Meg pada Iklil dan Sya kepada Syazana. Aku sayangkan watak Meg kerana watak itu lebih hebat dan aku amat percaya yang Iklil pasti dapat memegang watak itu. Tetapi malangnya, aku terlupa, ini adalah filem pendek pertama lakonan mereka dan mereka baru berusia 19 tahun. Bagi aku, mereka belum cukup matang dan faham dengan cerita ini. 





















Penggambaran berjalan selama 2 + 1 hari. Kami shoot semua intercut (insert) scene dahulu (yang membabitkan watak teman lelaki Sya dan hubungan jarak jauh Sya-Meg). Malam itu, kami bergerak ke lokasi kedua untuk lebih mudah lakukan penggambaran pada esok hari (untuk babak Meg di bilik tidur). Adegan bilik tidur, agak sukar kerana pengalaman Iklil. Tetapi akhirnya, babak itulah yang aku paling suka. Keindahan riak mukanya menjadikan satu frame video itu menjadi poster filem pendek ini. 



Pada hari kedua itu juga, kami menunggu malam untuk melakukan penggambaran utama - babak monolog Sya-Meg. Kami nentukan dahulu lokasi yang paling sesuai untuk melakukan penggambaran. Akhirnya kami pilih lokasi tangga di Padang Merbok. Hanya menggunakan lampu jalan, kami memulakan penggambaran mengikut kronologi syot yang aku sediakan. Hampir saja penggambaran tamat, bateri kamera kami pula hampir habis. Jadi kami ambil syot apa yang perlu. 

Aku puas dengan apa yang kami capai. Cuma tinggal 1 lagi babak untuk di dalam kedai buku. Aku dapatkan MPH untuk melakukan penggambaran. Asalnya babak itu adalah untuk mempertemukan Sya dan Meg untuk pertama kali. Meg bekerja di kaunter dan bila Sya tak cukup duit, dia nak belanja Sya. Tetapi saat akhir, Amri (teman lelaki Sya) muncul. Tetapi saat akhir juga aku dapat tahu yang kami tidak boleh lakukan penggambaran di kaunter dan perlu tamat penggambaran sebelum pukul 9 (kami pada waktu itu sudah pukul 5 petang). Akhirnya aku terima babak akhir tersebut. 

Selesai penggambaran, aku tak punya masa untuk melakukan suntingan. Aku minta tolong sahabat Aliff JJ untuk edit online filem pendek ini tetapi offline pun belum mula lagi. Setelah sekian lama, akhirnya filem pendek ini berjaya disempurnakan dan aku memberanikan diri untuk memuat naik filem pendek ini di Youtube. 

Dengan itu, aku berikan kepada kalian filem pendek ketujuh aku ini ; filem pendek yang paling aku berpuas hati!




disediakan oleh ashroff nor shaid / 30092012 / 2052