Masa. Semua apa yang kita lakukan, memerlukan masa.
Atas kesedaran itulah membuatkan kita merasa, berperasaan. Mencipta emosi
ketika diri memerlukan jawapan kepada reaksi. Tetapi selalu masa bukan milik
kita.
Ini
cerita tentang Farah. Dia seorang remaja yang masih dalam kolej untuk mendapat
kelulusan master dalam bidang
sastera. Seperti orang lain, selepas kehilangan, dia akan berseorangan dan
berdiam saja. Tidak bersama rakan, walau sebelum ini dia adalah seorang yang happy-go-lucky.
Puas
sudah aku memujuk dia untuk bangkit melawan perasaannya. Aku cuba bersuara
untuk meneruskan hidup walau kehidupan sekelilingnya mulai runtuh. Dia tak
berdaya. Hampir dua minggu setelah kehilangan.
Mungkin
aku belum cukup kuat memaksa dia. Atau baik jika aku menyemak kembali kenangan
lamanya dan bawa dia kembali pada zaman itu untuk mencari balik dirinya yang
lama. Mungkin saja aku boleh jadi Farah di usia 13 tahun.
Farah.
Farah. Bangunlah. Aku tau ini adalah hari yang susah untuk kau terus berusaha.
Marilah Farah. Aku bawa kau berjumpa dengan kekasih lama kau. Kekasih pertama
kau.
“Aku
penat. Aku tak larat.”
Aku
tahu. Tapi kau kena gagahkan juga. Hidup ni bukan hanya sedetik je, Farah.
Hidup ni punya masa.
“Ini
masa aku untuk lupakan. Ini masa untuk aku bersedih. Ini masa untuk aku
menyendiri.”
Farah.
Jangan menangis. Aku bukan sengaja, Farah. Maafkan aku. Tapi kau harus bangkit
juga. Marilah, Farah. Aku tak mampu mengharungi kenangan ni seorang diri.
Aku
tahu kau kuat. Sebab tu kau sudi bersama dengan aku. Aku adalah diri kau,
Farah. Tapi aku muda. Aku adalah kau semasa kau mendapat cinta pertama kau. Dia
Jay. Nama penuh, Johan Jilani bin Abdul Jafar. Kau memang suka kat dia. Eh,
bukan kau. Aku. Aku suka pada dia bila kita mula masuk sekolah lagi. Aku sedar
dengan perwatakan dia sejak dia mengeluarkan sikat pada poket dan mula
menyisirkannya pada rambut dengan lembut, menyisir bentuk ‘M’ pada dahi. Itulah
fesyen Tomok, The Moffats, The Hanson, Backstreet Boys, N’Sync. Zaman boy band.
Aku nampak kau senyum,
Farah. Aku tahu hati kau masih mahu gembira. Hati kau nak melupakan. Walau
ianya pahit, aku akan bawa kau kembali kepada dunia kau yang dulu. Itu janji
aku, Farah.
“Aku dah lupa langsung
pada Jay.”
Dia sekarang dah jadi
arkitek, kau tahu? Walau tak berjaya mana, ada beberapa design dia dah jadi nyata. Projek dia yang paling besar adalah
projek di Sentul. Tapi sekarang orang dah tak panggil dia Jay. Orang panggil
dia Jilani. Nama penuh. Yang paling tak disangka, Jay dah jadi rendah diri.
Ingat tak masa dekat sekolah dulu. Awal-awal dia cuba nak tackle kau? Punyalah
berlagaknya dia. Rambut berkilat, baju sekolah dikeluarkan belah belakang
(depan ke tuck-in), seluar selabuh
mungkin, minyak wangi semerbak harum. Awak Farah kan? Itu ayat pertama aku
dengar bila dia mendekat bila kelas melalak bising bila Cikgu Soraya lambat
hadir. Aku senyum tunduk malu. Kawan sebelah dah mula menyiku. Awak punya surat
ke ni? Masa tu aku buat-buat tak ingat yang aku ada buat surat dan letakkan
dekat dalam laci meja dia. Berbedak berpantun berbunga bagai. Siap lipat
origami bentuk hati. Aku dengar kawan sebelah cakap dengan Jay. Macam mana kau
tahu itu Farah yang tulis? Aku siku balik Leha, minta dia senyap. Dan aku
kembali tunduk malu. Surat tu Leha dengan Anne punya idea. Leha suruh aku tulis
pada kertas berbunga. Anne suruh letak bedak. Tapi origami tu memang idea aku.
Tak sangka pula dia terima surat tu. Baru ingat aku nak ambil balik surat tu
nanti bila dah waktu rehat. Jay cakap kenal tulisan ala ‘Blues Untuk Aku’ yang
aku biasa tulis masa kita orang dalam kumpulan sastera dulu. Dia masih ingat
stail tulisan aku walau dah dekat sebulan lebih kami dalam kumpulan tu bersama.
Kau masih ingat degupan jantung aku pada waktu tu, Farah? Punyalah laju. Aku
masih ingat yang aku hampir tak bernafas. Cikgu Soraya masuk kelas dan Jay pun
kembali ke tempat duduk. Mata aku mengekor liuk tubuh Jay ke mejanya di
belakang kelas. Bila dia duduk, dia terpandang aku yang sedang pandang dia. Dia
senyum. Luluh jantung aku.
“Aku masih ingat kali
pertama dia ajak couple.”
Masa tu dah kali ke-2
kami keluar bersama. Pertama kali dulu, Leha menggatal nak ikut sama. Kali ini,
kami keluar berdua. Pergi lepak di shopping mall. Duduk di kerusi, mengadap
orang ramai di bawah sedang membeli belah. Kami berbual sakan pasal kawan-kawan
di sekolah, pasal cikgu, pasal hobi. Dia suka tengok bangunan. Dia suka lukis.
Dia suka baca komik. Tapi dia tak suka bersuka. Dia kaki bangku. Dia tak suka
berpeluh. Dia tak suka lalu tepi lori sampah. Kami berbual macam kawan lama.
Bila kami dalam perjalanan balik, di dalam bas, aku dengar suara dia. Seronok
juga berkawan dengan awak ni. Awak baik. Tak tahulah…
“…kalau awak nak jadi girlfriend saya ke tak.”
Kan? Comel tak ayat tu,
Farah? Ayat innocent yang keluar dari
mulut lelaki bernama Jay, yang berlagak dan macho
tak tentu pasal.
Aku suka tengok kau mula
tersenyum balik, Farah. Dah lama aku tak merasai senyuman kau.
“Berapa lama aku dengan
Jay?”
Tak lama. Tak sampai
setahun pun. Jay pindah kelas. Lepas tu dia mula dengan awek lain. Masa tu aku
marah bukan main. Tapi tak boleh buat apa. Awek baru dia tu lagi cun. Tapi
bimbo semacam. Perasaan aku masa tu, sama macam perasaan kau sekarang, Farah.
Perit bila dia tak pedulikan aku. Lama sebelum aku tau dia dah ada awek lain.
Aku asyik terperap je dekat rumah. Ayah aku punya mengamuk bila dapat tahu aku
tak pergi sekolah dah 3 hari. Mak macam biasa, cuba menyebelahi aku. Tapi mak
pun kena marah. Aku ingat lagi bila mak kena sekolah dengan ayah pasal aku tak
pergi sekolah. Muka mak sememeh je. Malas nak layan.
“Mak memang macam tu. Apa
yang ayah cakap, semuanya keluar balik ikut telinga kiri.”
Esoknya, aku pergi
sekolah balik tapi hati aku tetap sama. Bila aku nak masuk kelas tu, terasa
berat kaki aku nak melangkah. Tambahan lagi bila aku nampak Leha dengan Anne
meluru cuba nak dapatkan aku. Kaki yang aku halakan ke dalam kelas terus divert
ke dalam tandas. Aku menangis sorang-sorang dalam tandas. Sesi persekolahan dah
mula tapi aku masih dalam tandas. Leha dan Anne ada cuba pujuk aku dari balik
pintu tandas, tapi aku tak peduli. Aku terlalu sedih, malu nak berdepan dengan
kawan baik aku. Sampailah Cikgu Mas mengetuk pintu tandas tanya aku okay ke
tidak. Aku gagahkan juga buka pintu tandas dan aku tengok ramai guru dan rakan
lain di luar tandas. Dan barulah aku sedar ada seorang pengawas sedang
mengintai aku dari atas kotak tandas. Mereka semua takut kalau aku ada buat
benda yang tak baik. Contohnya macam kerat tangan ke, telan pil panadol ke.
Umur 13 tu memang umur yang bahaya untuk budak perempuan. Macam-macam yang
mereka akan buat untuk menghilangkan rasa sakit pada hati. Itu yang Cikgu Mas
cakap. Dia bawa aku ke bilik guru. Dia suruh aku rehat dan tidur. Cikgu Mas ada
di samping aku bila aku sedar 10 minit kemudian. Aku tak boleh tidur. Bila
balik, Leha dan Anne temankan aku. Kami semua senyap sepanjang perjalanan. Leha
cakap dia akan temankan aku tidur di rumah malam nanti. Dia akan kembali petang
nanti. Malam tu, Leha dengar luahana aku. Perasaan aku. Cerita aku. Aku
ceritakan semuanya pasal Jay. Macam mana kami mula-mula berkucup. Aku halang
dia daripada meraba seluruh tubuh aku. Dan seminggu selepas mencuba, Jay
senyap. Hilang. Mungkin kerana tu dia jadi tamak. Leha dengar saja penjelasan
aku. Dia peluk dan menangis bersama dengan aku. Leha adalah kawan yang terbaik,
Farah.
“Tapi Leha dah berubah.
Kami dah tak rapat dah sekarang. Bila aku ceritakan pada dia tempoh hari dalam
telefon, dia macam meluat. Aku pun tak suka nak kacau orang. Tapi aku nak luahkan
cerita aku pada orang lain. Mungkin orang lain takkan faham apa yang aku alami,
tapi cubalah untuk fahami.”
Farah. Aku ada di sisi
kau. Di dalam hati kau. Di dalam fikir kau. Aku sentiasan bersama kau. Dah 2
minggu perkara ni berlalu, Farah. Kau harus lepaskan dan teruskan dengan
kehidupan kau.
“Tapi aku tak boleh.”
Sudah semestinya kau
boleh. Kau ingat mak suka tengok diri kau sekarang? Kalau boleh dia hidup
kembali, mesti disekolahkan kau. Punyalah panjang lebar ceramah dia nanti.
“Aku rindu nak dengar
suara dia balik. Aku sudi nak bayar nyawa aku untuk dengar ceramah dia balik.”
Kau terfikir nak bunuh
diri, Farah? Kenapa kau senyap? Kau sanggup nak tukar nyawa kau dengan mak ke?
Kau ingat mak akan bergembira bila dia hidup dan kau mati? Kau sanggup nak
lihat dari atas bila mak pula jadi macam kau? Menangis tak henti-henti,
melangut macam orang gila. Ayah pula tak terurus. Itu yang kau nak? Kau sanggup
ke nak buat semua tu untuk mak hidup balik?
Menangislah, Farah.
Tangisan tu ubat. Biar kau menangis daripada fikir kau dikotori dengan fikiran
negatif. Kau patut bersyukur mak meninggal dalam tidur. Dia tak sakit. Abang Ngah
pun dah bawa mak dengan ayah pergi haji tahun lepas. Mereka dah bersedia,
Farah. Mati itu pasti. Kita manusia tak boleh mengelaknya.
“Tapi aku belum
bersedia…”
Biar aku bawa kau ke masa
depan, Farah. Masa depan itu belum tentu tapi biar aku bawa kau kepada
kemungkinan itu. Aku bayangkan aku dah masuk umur 62 tahun. Waktu tu aku sedang
duduk di kerusi rehat di depan rumah. Rumah tak besar mana tapi itulah rumah
yang aku dan engkau nak duduk masa waktu tua. Aku tengah tengok Tiqah main-main
di laman rumah. Aku rasa dia tengah kutip daun-daun untuk buat masak-masak. Dia
bawa daun tu kepada Daus yang sedang elok duduk di atas rumput sambil
menghentak-hentak mainan masakan. Mereka cucu kau, umur 3 dan 2 tahun
masing-masing. Aku menjaga mereka di waktu siang bila anak kita pergi kerja.
Kita ada 3 orang anak. Sulaiman, Sarimah dan Salman. Sulaiman sudah berumah
tangga. Dah ada 4 orang anak. Mereka duduk di Glenmarie, Shah Alam. Sulaiman
kerja jual kereta besar dan isteri dia jadi supervisor
dekat UiTM. Anak mereka bernama Farah Idayu (5 tahun), Farah Amila (4 tahun),
Zainal Jilani (2 tahun) dan Huzir Jilani (1 tahun). Ya, kita berkahwin dengan
Jilani, Jay kita dulu. Sulaiman memang jenis sentimental. Dia suka nak letak
nama kita dengan Jilani dalam nama anak dia. Sarimah sekarang kerja di Jabatan
Kerajaan Negeri di Ipoh. Suaminya di Jabatan Budaya. Mereka ni dulu suka
menari. Tapi payah sangat nak cari kerja. Jadi mereka ambil kerja kerajaan.
Anak-anak mereka, mereka hantarkan pada aku. Mengubat juga rindu dengan
budak-budak. Salman pula sekarang ni tengah kerja dekat KL dalam bidang
pengiklanan. Hidup dia memang tak tentu sebab tu belum kahwin lagi. Tapi baru
minggu lepas dia bawa balik Halimatun berjumpa dengan kami. Manis orangnya.
Lemah lembut. Orang Perak juga. Aku dah lupa orang mana. Nampak macam ada
harapan nak tengok anak bongsu mendirikan rumah tangga. Jadi itu hidup kau yang
aku bayangkan 30 tahun lagi.
Kenapa aku ceritakan ni
pada kau? Kerana aku nak kau tengok diri kau masa dekat kerusi rehat tu. Tengok
setiap kedut yang ada pada pipi, dahi, bibir. Semua itu adalah tanda kau
gembira. Cinta pertama kau dah bawa kau ke arah kebahagian. Cinta lama itu,
cinta monyet. Kesilapan yang telah dia pelajari.
“Mana aku tahu dia dah
mengaku silap dia?”
Dah 15 tahun perkara tu
berlaku, Farah. Mungkin kau tak sedar, tahun lepas, reunion sekolah. Pada waktu tulah aku sedar dia dah berubah. Dia
datang dengan baju kemeja, kemas bergaya. Tapi merendah diri. Macam mana aku
boleh tahu? Pasal aku tengok dia, Farah. Mata kau mengekor tajam Jay. Kau rasa
macam kau kenal lelaki tu. Tapi bila kau sedar itu adalah cinta kau yang dulu,
kau cuba tak endah. Tapi dengan pantas otak-fikir-rasa kau dah buat penilaian
pada Jay. Hanya dengar suara dia dari jauh, halus dia bercakap ‘Jangan panggil
aku Jay dah. Nama aku Jilani. Jay tu nama budak-budak dulu,’ kau dah buat
keputusan Jay / Jilani dah berubah. Tapi kau tetap menolak kehadiran dia. Bila
dia cuba mendekati kau, kau menolak dia. Aku tahu pasal aku adalah kau, Farah.
Mungkin ini kesilapan yang kau buat, kerana kau tak sedar. Dalam setiap
kehilangan, pasti akan ada yang akan hadir untuk mengisi kekosongan itu. Dan
dalam diri kau sendiri kau rasa kau kesunyian. Jadi kenapa perlu kau menolak
panggilan Jilani selama 2 miggu yang lepas? Dia cuba nak memujuk kau. Selepas
reunion tu, dia cuba mencari kau. Dia minta nombor telefon kau daripada Leha
dan Anne. Dan dia hubungi kau. Kau orang nampak rapat setelah sekian lama tak
bertemu. Kau orang berbual dan keluar bersama. Walau dia tak pernah ajak kau
menjadi teman dia, tapi aku tahu itulah yang paling diinginkannya sangat. Tapi
kenapa kau tak mahu membalas panggilan dia, Farah?
“Aku belum bersedia untuk
dia. Aku masih rindu mak.”
Bila kau duduk di atas
kerusi rehat kau di laman rumah, ada kau nampak Jilani?
“Tak.”
Waktu tu, sudah lebih
setahun Jilani meninggal.
“Kenapa perlu kau
bercerita sedih macam ni pada aku!?”
Kerana aku nak kau sedar,
walau Jilani dah meninggal, adakah kau berasa sedih waktu tu? Kau gembira bila
Daus menangis kerana Tiqah pukul Daus pasal Daus dah buat sepah dengan dapur
mainan mereka. Kau tersenyum dengan kerenah cucu-cucu kau tu. Kau tahu hujung
minggu tu, Sulaiman akan bawak keluarganya bersama dengan Sarimah dan Salman
pula akan bawa Halimatun balik ke kampung untuk makan malam bersama dan mereka
akan bawa kau pergi berjalan keliling dunia untuk ucapkan terima kasih mereka
kepada kau yang membesarkan mereka. Ada kau nampak diri kau bersedih?
“Aku nampak diri aku
sedang senyum tapi mata aku menangis.”
Itulah senyuman gembira,
Farah. Aku gembira dengan kebahagiaan yang kau ada. Kau bersyukur kau berjumpa
kembali dengan Jilani. Jilani dah membahagiakan keluarganya. Tetapi itu cuma
masa depan yang aku nampak.
“Belum tentu ianya
betul.”
Tetapi belum pasti ianya
tidak akan menjadi kenyataan. Jadi sekarangnya, kau bangkit. Telefon bimbit kau
dah bising dari tadi. Panggilan dari Jilani aku rasa. Bangun dari katil kau dan
cuci muka. Lekas, bangkit. Kau nak biarkan lagi panggil itu terbiar begitu
saja? Kau nak biarkan masa depan yang aku ceritakan tadi menjadi cerita dongeng
ciptaan kata hati kau? Lekas, bangun.
“Iyalah…!”
Tapi sebelum tu. Boleh
aku tengok kau senyum sekali lagi di dalam cermin?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan